Kalau artis lain selesa berbicara soal cinta, malah ada yang tidak kisah aksi mesra bersama kekasih dipaparkan, lain pula keadaannya dengan pelakon seksi, Julia Ziegler, 29.

Mengaku menjalin hubungan dengan jejaka berusia 30 tahun, Julia berkata, dia mahu bersikap `low profile' atau tidak menonjol dalam banyak perkara. Lagipun, dia bimbang keterbukaan menjaja kisah cinta kelak memakan diri.

Difahamkan, jejaka yang hanya dikenali dengan pangkal nama Z itu berkawan dengan Julia sejak lapan tahun lalu. Namun, ketika itu, mereka lebih selesa menjadi teman baik.



Ternyata pelakon kacukan Melayu-Jerman ini cukup pandai menyimpan rahsia cinta. Buktinya, tiada sekepingpun foto bersama jejaka itu tersebar di laman sosial. Tidak seperti sesetengah artis yang begitu terbuka memuat naik gambar mesra bersama kekasih sama ada di Twitter, Facebook atau Instagram milik mereka.

Bukan saja tiada foto bersama yang bocor di laman blog, malah gosip percintaan Julia dan Z juga tidak pernah bertebaran di akhbar, majalah atau laman blog. Ini menunjukkan Julia cukup pandai berahsia dan berpegang kuat pada pendiriannya.

Mengikut sumber, Z yang berjaya mencuri hati Julia dikatakan berkawan dengan suami kepada pelakon Fasha Sandha iaitu Jejai.

Jejaka dari Kuala Lumpur itu juga dikatakan pernah berkawan rapat dengan seorang selebriti berasal dari Borneo. Namun hubungan cinta itu tidak berpanjangan apabila putus di tengah jalan.

Selepas putus cinta dengan artis seksi, Z dikatakan kembali intim dengan Julia. Malah, hubungan mereka sudah diketahui keluarga kedua-dua belah pihak.

"Hubungan ini bermula atas dasar kawan tetapi lama kelamaan terbit rasa cinta. Malah, kami sudah mengenali keluarga masing-masing. Cuma setakat ini, kami tidak pernah membicarakan hala tuju hubungan ke arah lebih serius," kata Julia.

Julia memberitahu, dia dan teman lelakinya pernah berseloroh mengenai tema perkahwinan.

"Kami sekadar berseloroh, bukanlah suatu perbincangan serius. Kami lebih selesa begini dan tidak terburu-buru merancang perkahwinan.

"Bagaimanapun, pada usia sekarang, saya tidak menolak keinginan untuk berkahwin mula timbul. Lebih-lebih lagi apabila melihat adik sudah berkahwin dan kakak bakal menyusul tidak lama lagi," kata Julia.

Akui pelakon ini, dia tidak tahu bila mahu mendirikan rumah tangga.

Tak selesa besarkan kisah cinta

Julia berkata, dia tidak selesa membesar-besarkan kisah cintanya selepas melihat banyak kegagalan hubungan cinta di kalangan teman artis.

Agak menyepi tahun lalu, Julia yang bakal terbabit dalam pementasan teater muzikal Asmara Songsang selama dua hari mulai 1 Mac depan, mahu bekerja keras tahun ini.

Tahun lalu umpama tempoh `hibernasi' untuk Julia. Tahun ini, dianggap masa terbaik untuk dia membuat kemunculan semula.

Ditanya mengenai kehilangannya tahun lalu, kata Julia, dia banyak menghabiskan masa dengan bercuti dan membaca buku.

"Memang saya agak senyap dari sebarang publisiti tahun lalu.. Ia kehendak sendiri. Saya memilih untuk senyap bagi menenangkan fikiran. Akibat terlalu banyak berlakon, ada kala kita lupa siapa diri kita. Jadi saya pun mengambil keputusan untuk bercuti. Antara destinasi yang saya kunjungi ialah Australia, Indonesia, Singapura dan pengalaman paling indah ialah apabila dapat menunaikan umrah bersama keluarga.

"Banyak yang saya belajar sepanjang menunaikan umrah. Di sana, saya gemar memerhatikan karakter orang. Ia secara tidak langsung membuatkan saya amat bersyukur dilahirkan sebagai Julia Ziegler," katanya.

Memulakan kerjaya seninya menerusi filem Kayangan pada 2007, Julia tidak menafikan kemunculan wajah baru sedikit sebanyak mencabarnya. Namun, dia bersyukur kerana bakat lakonannya masih dihargai. Malah banyak tawaran yang diterima tahun ini sehingga dia tidak `menang tangan'.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top