Hattan, Arianie bakal bernikah semula

Hasrat penyanyi Datuk Mohd Shukri Sahabuddin atau Hattan untuk kembali ke pangkuan bekas isterinya, Arianie Mohd Abidin bakal menjadi nyata apabila dia mengambil keputusan untuk bernikah semula, Jun depan.


Menurut Hattan , tarikh itu dipilih kerana adik lelakinya juga akan mengadakan majlis perkahwinan pada bulan sama.

"Jadi senang apabila majlis perkahwinan dibuat serentak. Lagi pun, saya buat kecil-kecilan. Sekadar jemput rakan terdekat dan media yang saya kenal. Tak ada bersanding dan saya hanya buat perkara wajib," kata Hattan ketika ditemui pada majlis pratonton konsert kumpulan Led Zeppelin sempena pelancaran cakera padat (CD) dan cakera padat video (DVD) konsert itu di GSC One Utama, Bandar Utama, kelmarin.

Anak restu

Mengulas bagaimana hatinya terbuka untuk rujuk dengan Arianie, Hattan mengakui selain ketentuan takdir, perkara itu diputuskan selepas menyedari Arianie adalah wanita yang sesuai untuknya.

Apa yang lebih menggembirakan Hattan, hasratnya itu direstui anak tunggalnya, Adam.

"Apabila saya beritahu hendak berkahwin semula dengan ibunya, Adam berkata okay. Saya tahu dia memang tidak boleh menerima wanita lain kecuali ibunya. Selepas apa yang berlaku dan bermuhasabah diri, barulah saya sedar bahawa jodoh saya memang dengan Arianie.

"Saya sudah pun memaklumkan kepada Arianie bahawa saya ingin nikah semula dengannya Jun depan serentak dengan majlis perkahwinan adik. Dia pun bersetuju," kata Hattan.

Buang sifat negatif

Ditanya adakah mudah untuk dia memujuk bekas isteri kembali kepadanya, Hattan berkata, pada awalnya agak sukar kerana Arianie masih terkenang peristiwa lalu.

"Ketika saya menyuarakan hasrat untuk nikah semula, Arianie mengakui dia masih terbayang peristiwa lalu. Dia juga takut kerana saya garang. Tapi itu dulu. Selepas bermuhasabah diri, saya sudah banyak berubah. Saya beritahu Arianie, semua sifat negatif sudah saya buang jauh-jauh," ujarnya.

Hattan dan Arianie berkahwin pada 17 Disember 1996 sebelum bercerai talak pada 10 Mac 2005.

Hattan kemudian mendirikan rumah tangga bersama Noorfarashikin Othman pada 11 November 2011, tetapi berpisah selepas dua bulan.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top