Fizz Fairuz mencipta kontroversi apabila bertunang mengejut, dan putus tunang pun mengejut.

Pertunangan Fizz Fairuz hanya bertahan seminggu apabila pelakon itu memutuskan ikatan dengan tunangnya Ahad lalu, selepas mengetahui wanita berkenaan rupa-rupanya sudah bersuami.


"Saya benar-benar tertipu dan tidak menyangka tunang saya itu isteri orang," kata Fizz, 34, semalam.

Pertunangan Fizz secara diam-diam dengan seorang wanita berusia 26 tahun di Kuantan, Pahang pada 10 Februari lalu, mengejutkan banyak pihak kerana sebelum ini dia hangat bercinta dengan pelakon, Almy Nadia, 27, sejak tujuh tahun lalu.

"Saya tidak menyangka perkara sebegini berlaku dan kehidupan saya seolah-olah `diatur' oleh dia (bekas tunangnya) sejak kami berkenalan setahun lalu," katanya yang menyifatkan kemungkinan dia terkena buatan orang.

Fizz berkata, empat hari selepas bertunang iaitu pada Khamis lalu, baru dia tahu tunangannya itu isteri kedua seorang usahawan berusia 40-an dan mereka bernikah di selatan Thailand beberapa tahun lalu.

"Khamis lalu, saya dikirimkan mesej oleh kawan adik wanita itu (bekas tunang) dan dia menjelaskan status sebenar. Malah, saya juga sudah berjumpa suami wanita itu, Sabtu lalu.

Gambar Fizz Fairuz dengan bekas tunang,Azlyn Massiela Mohd Nazar

"Lelaki itu mengesahkan kepada saya yang tunang saya itu isteri keduanya dan perbincangan kami berdua diadakan secara baik," katanya ketika dihubungi.

Menurut pelakon Nur Kasih The Movie itu, dia sudah menghubungi keluarga bekas tunangnya dan menyuarakan hasrat untuk memutus ikatan pertunangan yang bertahan seminggu.

"Cukuplah, saya tidak mahu ada apa-apa lagi hubungan dengan dia," katanya.

Fizz berkata, dia mengenali wanita itu di satu lokasi penggambaran di ibu kota kira-kira setahun lalu dan perkenalan mereka bermula apabila memiliki kenalan sama di Kuantan.

"Sejak itu hubungan kami semakin rapat dan ia turut diketahui Almy Nadia. Namun sepanjang setahun mengenalinya, saya tidak pernah tahu latar belakang, tempat kerja, pendidikan termasuk keluarganya.

"Sedar-sedar, saya sudahpun bertunang dengan dia dan hanya mengenali keluarganya ketika majlis berlangsung," katanya.

Menurutnya, kini dia baru menyedari tindakannya bertunang dengan wanita itu secara tergesa-gesa sudah tentu menyakitkan hati Almy Nadia dan dia meminta maaf kepada pelakon jelita itu.

"Kepada semua, saya mohon maaf terutama Almy Nadia. Saya tertipu dan sakit sekarang. Ini ujian terbesar sepanjang bergelar anak seni.

"Saya turut berasa pelik kerana tujuh tahun mengenali Almy Nadia, saya sukar mengikat tali pertunangan, tetapi setahun bersama wanita itu, saya terus bertunang," katanya.

Fizz berkata, sehari sebelum majlis pertunangannya diadakan, dia seperti ditunjukkan petanda musibah apabila tangan kirinya melecur selepas terkena air panas dan dalam perjalanan ke Kuantan, kenderaannya turut rosak.

"Sebelum ke rumah wanita itu, saya memaklumkan kepada rakan-rakan tidak mahu bertunang kerana tidak sedap hati, namun apakan daya ia sudah pun berlaku," katanya.

Kata Fizz, selepas kecoh isu pertunangannya di Internet, dia dihujani banyak panggilan media yang mahu mencari sebab dia bertunang sedangkan sebelum itu hangat bercinta dengan Almy Nadia, namun dia mengelak.

"Selepas diuji sebegitu, saya tidak lalu makan dan tidur. Saya mohon maaf (kepada media) kerana tidak menjawab panggilan kerana fikiran berserabut," katanya.

Menurutnya, Almy Nadia juga pernah menyuruhnya berubat secara alternatif selepas menyaksikan keadaannya tidak terurus sejak berkenalan dengan bekas tunangnya itu.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top