Rosyam perluas empayar

Pelakon popular, Rosyam Nor merancang membuka syarikat produksi baru khusus untuk penerbitan filem. Penubuhannya akan dilakukan April nanti.

"Niat saya mahu meluaskan empayar perniagaan saya selepas terbabit dengan penerbitan drama. Mungkin orang lain tidak percaya dengan kebolehan saya untuk buat filem, tetapi saya pernah buktikan menerusi Castello pada 2006," katanya pada majlis Pratonton & Pelancaran drama Bunga Merah Punya di sini, semalam.

Menerusi syarikat produksi baru, Rosyam merancang menerbitkan lima filem baru tahun ini termasuk Balistik dan Isyarat Cinta yang sudah disiapkan.

"Pembabitan saya dalam bidang penerbitan filem bukan bermakna saya meninggalkan drama, sebaliknya apa dilakukan bukan untuk diri sendiri tetapi membantu membangun industri perfileman tanah air," katanya.

Sementara itu ketika ditanya mengenai popularitinya sebagai pelakon filem semakin 'menghilang', jelas Rosyam, dia yakin ia masih wujud.


"Populariti saya masih belum jatuh, cuma saya tidak aktif berlakon seperti dulu," katanya.

Menurutnya, dia lebih banyak memberi fokus pada kerja belakang tabir menguruskan syarikat produksi sendiri Suhan Movies & Trading Sdn Bhd.

Namun, dia masih mengharapkan sokongan berterusan peminat terhadap lakonan barunya.

"Suatu ketika dulu saya pernah menumpang populariti artis lain seperti Awie dan Erra Fazira.

"Begitu juga saya mengharapkan filem lakonan baru saya, KL Gangster 2 arahan Syamsul Yusof dihargai penonton," katanya.

Rosyam berkata, dia masih mahu terus berlakon tetapi bersikap selektif terhadap tawaran lakon diterima.

"Saya mahu mengukir nama kembali menerusi KL Gangster 2 dengan meletakkan harapan tinggi agar turut membantu pelakon lain," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top