Mila mahu berdikari

Sudahlah album kedua tidak `menjadi', ditambah pula dakwaan kononnya stesen radio enggan memutarkan lagunya, hati penyanyi Mila Jirin cukup kecewa.

Banyak modal dilaburkan untuk menghasilkan album berjudul Mila Jirin, namun entah mana silapnya, penjualan albumnya itu tidak memberangsangkan.

Mila Jirin
Dek silap percaturan, Mila bukan saja kecewa, malah berputus asa untuk menerbitkan album baru pada masa depan.

Namun, tidak mahu terus kecewa dan sedih, Mila mengatur langkah dengan menceburi bidang pengurusan acara melalui syarikatnya, Luvmila Corporation.

Sejak berkecimpung dalam bidang itu, banyak projek besar dikendalikannya.

Terbaru, syarikat Mila dilantik menjadi rakan penganjur Festival Wow Putrajaya 2013.

"Ini kali kedua Mila terbabit dengan festival ini. Jika tahun lalu, Mila membuat persembahan pada konsert sama, kali ini saya menjadi rakan penganjur bersama Perbadanan Putrajaya," katanya.

Mila berkata, disebabkan kegagalan album keduanya itu, dia tidak akan menghasilkan album baru untuk sementara waktu.

"Saya akan mempromosikan single terbaru yang didendangkan dengan Nubhan berjudul Cinta Qaseh," katanya.

Nafi ditaja

Diberi kepercayaan untuk syarikatnya mengendalikan program besar, Mila menafikan dirinya ditaja.

Baginya, setiap projek yang diterima adalah hasil usahanya sendiri selain kepercayaan penganjur.

"Tiada siapa yang menaja atau ditaja. Apa yang Mila peroleh adalah atas usaha sendiri dan tiada kaitan dengan skandal atau hubu ngan dengan sesiapa.

Biarpun bertubuh kecil, gadis berusia 26 tahun ini punya impian besar. Mila menganggap perniagaan yang diceburinya tidak lari daripada kerjaya seninya.

Selepas lima tahun bergelumang dalam industri seni, Mila sudah mula memahami setiap langkah dan jatuh bangun industri.

Dek kerana tidak mahu namanya terus tenggelam, pembabitannya dalam bidang pengurusan acara sedikit sebanyak membantu kerjaya seninya.

Selain itu, Mila memberitahu, dia mahu belajar menulis lagu.

Tak menyesal jadi penyanyi

"Hanya saya yang faham kehendak dan selera yang sesuai dengan jiwa dan muzik yang ingin dibawa. Mila tak pernah menyesal terbabit dalam bidang nyanyian, sebaliknya Mila anggap itu sebagai proses pembelajaran," katanya yang akan membintangi filem berjudul Kami Histeria terbitan Red Film.

Menyentuh kisah cinta, Mila mengaku sedang dalam proses mengenali hati budi seseorang. Namun, kata Mila, mereka bukan pasangan bercinta kerana dia mahu memberi tumpuan kepada keluarga.

"Mila mahu fokus kepada keluarga.

Adik Mila masih belajar. Mila adalah harapan mereka, jadi Mila hendak melihat mereka berjaya," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top