`Shila anak baik.'

Itulah luahan Fauziah Sarman, 44, ibu penyanyi, Shila Amzah tatkala berkongsi apa yang terbuku dalam hatinya ketika anak kesayangan dihambat kontroversi tak berkesudahan.

Biarpun hanya sepotong ayat, ia cukup menggambarkan ketulusan hati seorang ibu yang tegar menyayangi anaknya.

Suka atau tidak, Fauziah mengaku turut menjadi tumpuan wakil media yang mahu mendapatkan perkembangan terkini Shila selepas usaha menemubual suami, ND Lala dan Shila tidak berhasil.

"Sebagai ibu, saya hanya menjalankan tanggungjawab saya iaitu membimbing dan memberi nasihat. Tidak perlulah saya mengeluarkan pendapat kerana seelok-eloknya rujuk saja kemusykilan kepada ayah Shila," katanya penuh diplomasi.

Ditemui ketika menemani Shila membuat persembahan sempena pelancaran Yee Sang Terpanjang di Pavilion, Bukit Bintang, kelmarin, anak jati Banting, Selangor itu cukup tenang sepanjang perbualan.

Seperti suaminya, Fauziah yang akrab disapa Kak Zie masih dengan sifat ramah dan mesra melayani wakil media seperti tidak ada apa yang berlaku.

Pengalaman berdepan media setiap kali Shila menghadiri majlis atau membuat persembahan sejak penyanyi itu berusia sembilan tahun, membuatkan wanita ini `masak' berdepan apa juga situasi.

Biarlah Shila belajar sesuatu daripada situasi

Ditanya perihal permata sulungnya yang meluahkan rasa dengan lagu Ombak Rindu di laman Youtube, baru-baru ini, sambil tersenyum, Fauziah berkata, biarlah Shila belajar sesuatu daripada situasi itu.

"Semua insan pasti melalui fasa bercinta, terluka dan bahagia. Saya berkahwin pada usia Shila dan sudah tentu saya memahami perasaannya.

"Andai itu caranya dia meluahkan isi hati, biarkan saja. Mungkin jika tidak sekarang, esok lusa dia pasti tersenyum sendiri," katanya.



Ditanya reaksinya terhadap dua lagu baru ciptaan Shila iaitu Masih Aku Cinta dan Cinta Hati yang dikata ditujukan buat si dia, sekali lagi kuntuman senyum berbunga di bibir.

"Seperti bapa Shila nyatakan, kami tidak menggalak dan tidak pula menegah. Dia suka berkarya. Malah, sejak dulu Shila suka berkongsi apa saja perasaannya melalui muzik," ulasnya ringkas.

Menyentuh mengenai pemergian ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah sekeluarga bulan depan, Fauziah mengiyakan khabar itu tetapi menyatakan ia sudah dirancang sejak tahun lalu.

"InsyaAllah, semoga segala-galanya dipermudahkan. Sebenarnya, pemergian kami tiada kaitan dengan apa yang berlaku.

Jika diikutkan, sejak tahun lalu lagi kami mahu berangkat, tetapi adik-adik Shila masih bersekolah dan jadual Shila pula padat.

"Jadual Shila sudah dikosongkan untuk dua minggu. Jika diikutkan, Shila perlu terbang ke China meneruskan promosi tetapi ia ditangguhkan hingga kami pulang dari mengerjakan umrah," katanya.

~ BH

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top