Shila Amzah mahu tumpu kerjaya, serah jodoh pada Tuhan
Shila Amzah mengatakan tak akan membenarkan mana-mana lelaki masuk meminang dirinya buat masa sekarang, sebaliknya menyerahkan soal jodoh kepada ketentuan Tuhan.

Seakan disuntik semangat baru hingga tiada garis duka pada wajahnya ketika pertemuan di sebuah majlis, semalam, penyanyi Patah Seribu itu tampak teruja menjawab segala pertanyaan media.

Berbanding ketika kemelut antara kekasihnya, Sharnaaz Ahmad, dan bapanya hebat diperkatakan baru-baru ini, Shila atau nama sebenarnya, Nur Shahila Amir Hamzah, 23, hanya menutup mulut, selain selesa meluahkan rasa menerusi Twitter.

Shila Amzah
Shila Amzah bersyukur kerana diberi kekuatan menempuh dugaan yang secara tidak langsung mematangkan diri, selain menganggap semua yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri.

"Setakat ini saya tidak akan benarkan diri saya dirisik. Bagi saya, jodoh, pertemuan, ajal, maut biarlah Tuhan yang menentukan. Kita tidak mengetahui jodoh kita. Andai yang bercerai pun boleh rujuk semula.

"Apa yang pasti, saya mahu memandang ke depan. Dugaan yang Allah beri nampaknya sama besar dengan rezeki yang dikurniakan. Saya perlu lebih realistik, malah kini saya sudah nampak hikmahnya," kata Shila .

Lagu untuk Sharnaaz?

Mengakui suka memendam, anak pasangan ND Lala dan Fauziah Sarman, lebih senang meluahkan perasaan menerusi karya muzik. Namun dia enggan mengulas lanjut ketika ditanya apakah nukilan terbarunya, Masih Aku Cinta dan Cinta Hati ditujukan khas kepada si dia.

"Saya tak nak komen hal itu. Sekarang saya mahu tumpukan perhatian kepada pembikinan dua album iaitu album Melayu dan Mandarin dalam tahun ini. Yang pasti, dua dendangan berkenaan dimuatkan dalam album itu yang dijangka dipasarkan Mei ini.

"Saya mahu menggembirakan hati orang dan peminat. Mereka seperti keluarga sendiri apabila memberi sokongan tidak berbelah bagi walau ketika pelbagai andaian meletus. Mereka teguh berdiri di belakang saya dan tidak sewenangnya percaya aneka cerita dipaparkan," katanya.

Tunai umrah Mac

Turut dicalonkan dalam Anugerah Pilihan Kanak-Kanak Nickelodeon bagi kategori Artis Asia sebaris dengan Psy, Shila memaklumkan dia juga tidak sabar menjadi tetamu Allah bersama keluarganya, Mac ini, bagi mengerjakan umrah.

Sudah merancang dan mengosongkan jadual kerjaya selama dua minggu sejak tahun lalu, anak sulung daripada empat bersaudara itu berharap perjalanan dan ibadat mereka dipermudahkan oleh Yang Maha Kuasa.

"Saya memang sibuk kerana jadual penuh setiap minggu sejak memenangi Asian Wave tahun lalu. Kalau bukan kerana isu itu (kontroversi) pun saya sudah dihambat waktu. Syukur nawaitu mengerjakan umrah sekeluarga bakal terlaksana. Sekembali dari Tanah Suci, baru rakaman album akan disambung semula," katanya. ~ BH

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top