Pelakon dan pelawak Enot kini bertugas sebagai penyampai radio Internet Bapakku.FM yang diasaskan penyampai radio, Isma Halil Hamzah, sejak sebulan lalu.

Enot mengendalikan tiga rancangan khas, Dapur Diva Divana setiap Khamis bermula jam 9 malam hingga 12 tengah malam dan pada Jumaat bermula jam 12 tengah malam hingga 6 pagi, berganding dengan Haikal, mengendalikan Suaka Cinta VS Puaka Cinta. Pada Ahad malam Isnin bermula jam 12 tengah malam hingga 3 pagi pula, tampil dalam rancangan Lebur.

Katanya, menjadi penyampai radio Internet dianggap pembuka langkah untuknya membina kerjaya baru selepas dunia lakonan tidak menampakkan sinar.

"Memang saya dicalonkan dalam Top 5 Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) untuk dua tahun berturut-turut kategori Pelakon Komedi Wanita Popular, tetapi tawaran tidak setimpal dengan gelaran diperoleh.

"Bayangkan ada yang panggil menjalani penggambaran untuk enam babak mahu bayar saya RM200. Sampai begitu tahap mereka meletakkan saya dalam industri.

Enot
Enot
"Bila saya tanya kenapa mahu bayar saya serendah itu, kata mereka saya belum pernah menang anugerah. Saya hanya geleng kepala.

"Bayangkan dengan gelaran diperoleh, saya mahu dibayar dengan harga pelakon tempelan. Kalau sehari diberi RM500 saya masih boleh terima," katanya yang pernah menang Pelakon Harapan di Anugerah Skrin 2003.

Tambah membuatkan Enot sedih, sejak kebelakangan ini kerjaya lakonannya semakin teruk apabila tidak mendapat tawaran sejak September lalu.

"Saya bertuah ada Didie Alias. Sebagai rakan, dia banyak membantu. Bagi menampung perbelanjaan harian, saya menjadi pembantu peribadinya dan jika ada tawaran mengacara, dia pasti menjemput saya bersama menjayakan semata-mata mahu menolong kawan.

"Begitupun, dia tidak mahu saya terus berada di bawahnya, sebaliknya dia mahu saya bangkit dan membina kembali kerjaya. Kata-kata nasihat dan desakan Didie membuatkan saya berfikir, di saat berdepan keadaan tidak menentu, saya dipertemukan dengan Isma.

"Dinilai apa yang berlaku, ia seperti didorong. Menjadi penyampai radio di Bapakku.FM adalah jawapan kepada masalah yang berlaku. Yang pasti, rezeki saya kembali berkembang baik," katanya.

Kata Enot, peluang menjadi penyampai bermula awal tahun apabila bertemu Isma di satu kedai mamak berhampiran konti Bapakku.FM.

Dalam pertemuan itu, mereka berbual mengenai proses dan perkembangan radio Internet dan hatinya jadi tertarik dan menyatakan hasrat mencuba dan menjadi kakitangannya.

"Keesokan harinya, Isma meminta saya datang ke konti untuk berbincang dan lusa dia terus minta saya datang memulakan tugas.

"Bagaimanapun, sebagai permulaan, saya harus mengikuti orientasi diberikan dengan bekerja bersama semua penyampai yang ada.

"Setelah yakin dengan kemampuan saya, Isma memberikan tugas mengendalikan tiga rancangan," katanya ketika ditemui di konti di Ampang, baru-baru ini.

Kata Enot, satu perkara yang tidak boleh dipisahkan dengan dirinya adalah memasak dan kelebihan itu digunakannya untuk mewujudkan rancangan Dapur Diva Divana. Selain berceloteh dan memutar lagu bersama pendengar, Enot buat demonstrasi bagaimana membakar kuih.

"Bapakku,FM menjadi stesen radio pertama menampilkan rancangan masakan secara langsung. Selain mendengarnya di radio, pendengar boleh menyaksikan saya memasak menerusi talian www.bapakku.fm atau muat turun 'tune in' bapakku.fm. Dengan cara ini penonton boleh memperoleh resepi dan cara pembuatannya dengan lebih jelas.

"Suaka Cinta VS Puaka Cinta pula adalah rancangan mengenai seloka cinta. Bagaimanapun, yang beraksi romantis adalah Haikal dan saya pula menjadi sebaliknya, sesuai dengan tema rancangan.

"Sebagai orang baru, banyak perkara harus dipelajari, apatah lagi program dikendalikan Bapakku.FM dibuat secara manual. Sekarang saya harus dengar semua lagu dan menilai apa yang digemari dan apa yang tidak, begitu juga kerja-kerja dalam konti.

"Bagaimanapun, buat permulaan, saya turut dibantu kakitangan lain. Apatah lagi semua penyampai yang ada lelaki dan hanya saya wanita. Begitupun, bekerja dengan mereka seronok dan banyak ilmu baru ditimba," katanya.

Kata Enot, selepas menyertai Bapakku.FM, pelbagai perancangan turut dirangka pihak pengurusan dan kemungkinan besar mereka mahu membawa Dapur Diva Divana ke luar dengan mengadakan demonstrasi jelajah promosi yang akan diadakan tidak lama lagi.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top