`Lebih baik datang minta maaf'
"Jangan bagi kenyataan sewenang-wenangnya. Jika bersalah, lebih baik datang berjumpa saya untuk minta maaf," kata pelakon, Julia Ziegler mengenai kontroversi dengan pelakon Sharifah Sakinah atau Sakina yang berlaku dua tahun lalu.
Menurutnya, perselisihan faham antara mereka masih berlarutan sehingga kini tanpa permohonan maaf daripada adik kepada pelakon popular, Sharifah Norhaslinda dan Sharifah Shahirah itu.
"Apa yang dikatakan dalam laporan Harian Metro semalam (kelmarin) kononnya dia sudah berbaik dengan saya tidak benar. Malah, dia juga tidak bertegur sapa dengan saya ketika kami terbabit dalam satu program masakan pada Disember lalu," katanya ketika dihubungi, semalam.
Julia, 29, berkata, kali terakhir mereka bertemu ketika itu, dia melihat Sakina tidak menegurnya. Sambil merujuk laporan Harian Metro kelmarin, Julia turut muat naik komen peribadi dalam laman sosial Twitter dan dibalas Sakina sendiri.
"Katanya, dia malas nak gaduh, tetapi saya juga tidak faham apa maksud sebenarnya. Saya geram sangat kerana orang sekeliling masih bertanya sama ada saya sudah berbaik dengannya," katanya.
Pelakon utama filem Jangan Tegur ini berkata, perasaan benci dan menyampah dalam dirinya terhadap Sakina masih wujud. Namun, dia juga berharap kontroversi antara mereka tidak berpanjangan.
Dalam laporan Harian Metro kelmarin, Sakina menyatakan hubungan mereka kembali jernih selepas mula bertegur sapa.
Pelakon utama drama Bunga Merah Punya ini turut menyatakan tidak menyimpan dendam dan tidak kisah jika bekerjasama dengan Julia dalam drama atau filem baru.
"Saya ada mendengar dia menyesal terhadap perbuatannya pada saya disampaikan pada krew produksi. Jika benar, mengapa dia tidak datang meminta maaf sendiri pada saya?," katanya.
Sepanjang tujuh tahun bergelar artis, Julia menyatakan dia tidak pernah bergaduh dengan artis lain kecuali Sakina dan seorang pelakon senior.
Julia yang sibuk dengan latihan pementasan teater muzikal Asmara Songsang dan penggambaran drama TV3, Teduhan Kasih, menyatakan perasaan marah terhadap Sakina berpunca daripada sikap pelakon itu yang dikatakan menabur fitnah jahat.
"Pesan saya padanya, jika rasa bersalah, mengapa perlu menunggu masa lama untuk meminta maaf," katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan