Rozita Che Wan - Zain Saidin akan berkahwin.

Pelakon Rozita Che Wan, 42, akhirnya membuka `mulut' mengenai perancangan untuk berkahwin dengan buah hatinya, pelakon muda, Zain Saidin, 29, malah mengakui sudah memilih hujung Julai ini untuk bersatu.

"Insya-Allah kami akan bernikah, jika tiada halangan pada bulan berkenaan," kata Rozita.

Dia juga memilih untuk tidak mengikat tali pertunangan terlebih dahulu kerana menganggapnya tidak perlu memandangkan mereka sudah mengenali hati budi masing-masing.



Rozita atau lebih dikenali sebagai Che Ta mengakui kisah cintanya dengan jejaka wajah Pan Asia itu bukan rahsia lagi, lalu mereka sepakat dan bersedia menamatkan kontroversi cinta yang selama ini hangat diperkatakan menerusi media dan peminat.

"Hubungan kami selama ini memang tiada masalah. Kami sudah lama mengenali satu sama lain dan dia juga rapat dengan anak dan ibu saya," katanya.

Menurutnya, ibunya tidak menghalang hubungannya dengan jejaka itu walaupun jarak usia mereka 13 tahun.

Keputusan Che Ta mahu menamatkan zaman bujang meleraikan segala spekulasi cinta mereka yang selama ini menjadi persoalan ramai peminat termasuk Zain sendiri.

Dalam laporan media sebelum ini, hanya Zain meluahkan perasaan cinta terhadap Che Ta sehingga menyatakan mahu bernikah pada penghujung tahun ini manakala Che Ta pula mengambil sikap belum bersedia untuk berbicara lanjut.

Pelakon popular menerusi drama Kiah Pekasam ini menyatakan Zain seorang yang berani mengambil langkah mahu mengahwininya berbanding lelaki lain yang sekadar meluahkan perasan cinta.

"Dia seorang yang romantik dan paling penting berani melamar saya. Sesiapa saja boleh meluahkan perasaan cinta, tapi tidak sepertinya yang berani mengambil langkah seterusnya," katanya.

Che Ta yang akan menyambut ulang tahun ke-42 pada 9 Mac berkata, mereka bukan saja rapat ketika bersama menjayakan penggambaran program televisyen, Oh My English! malah Zain turut meluangkan masa bercuti bersama.

"Pada Tahun Baru Cina lalu, dia bersama keluarga saya bercuti ke Singapura. Selalunya apabila cuti sekolah tiba, dia merancang dengan anak saya memilih destinasi untuk kami bercuti bersama," katanya.

Mengakui diri sendiri bersikap tenang dan pendiam, Che Ta selesa dengan sikap Zain dan terbuka berdepan pandangan masyarakat terhadap hubungan cinta mereka.

Pasangan berkenaan akan muncul dalam program masakan, Masterchef Selebriti musim kedua yang akan bermula 7 Mac ini.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top