
Gejala buli sama ada yang berlaku di asrama mahupun di sekolah kini dilihat semakin serius dan berada pada tahap yang membimbangkan. Baru-baru ini, anak kepada aktres jelita, Rozita Che Wan pula menjadi mangsa buli di asrama tempatnya belajar.
Ammar Effendy, 15 tahun, yang merupakan anak sulung kepada Rozita, telah dilaporkan menjadi mangsa buli kepada pelajar Tingkatan Lima, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Kuantan, Pahang.
"Saya tak faham kenapa budak-budak sekarang semakin jahat. Nasib baik saya 'shooting' ketika itu dan bekas suami yang pergi ambil anak-anak saya. Jika saya yang pergi, memang dengan mak bapa mereka saya marah," jelas Rozita dengan nada kesal.
"Anak saya telefon saya sambil menangis beritahu dia kena buli di asrama. Dia beritahu saya, dia kena tumbuk di telinga dan dada oleh pelajar Tingkatan 5 di situ. Difahamkan, puncanya gara-gara buku yang dipinjamkan.
"Mujur apabila buat pemeriksaan X-Ray, tidak ada apa-apa yang teruk berlaku. Sejak Tingkatan 1 dia masuk, ini kali pertama dia kena macam ni. Pening saya dengan perangai budak-budak sekolah sekarang,"ujarnya mengeluh.
"Kita sudah buat laporan polis. Apa yang saya tahu, budak tu sekarang kena gantung persekolahan selama dua bulan."
Ekoran dari insiden yang berlaku, Rozita dan bekas suaminya telah mengambil keputusan untuk menukarkan anaknya ke sekolah yang lain.
"Saya agak terkilan sebab dari Darjah 1 lagi saya nak anak-anak saya masuk MRSM. Tapi bila dah dapat masuk, ini jadinya. Bukan setakat Ammar saja, adiknya Aniq Ezzra yang belajar di sekolah sama juga kami terpaksa pindahkan ke sekolah lain.
"Bekas suami cakap, takut jadi apa-apa pada mereka, baik pindahkan mereka saja. Kiranya sudah sebulan jugalah mereka dah tak belajar di MRSM. Sekarang ini, mereka belajar di sebuah sekolah di Subang," ujar Rozita mengakui walaupun terkilan namun dalam pada masa yang sama, dia berasa lega kerana anak-anak kini di depan matanya.
# Selingan Berita Hiburan dan Isu Semasa
0 ulasan:
Catat Ulasan