Selepas asyik dikaitkan dengan Remy Ishak, kali ini beralih kepada Farid pula

SELEPAS sekian lama asyik digandingkan atau dikaitkan dengan Remy Ishak, Maya Karin beralih angin bertukar pasangan baru pula. Kali ini dengan Farid Kamil.Sebagai orang berpengalaman, tidak sukar untuk Maya membina keserasian dengan Farid. Kemesraannya terserlah. Ini semua adalah untuk menghayati watak sebagai Katerina dalam filem terbarunya, Lagenda Budak Setan 2: Katerina.

Tapi bagi Maya, ini bukan pertama kali digandingkan dengan Farid. Kali pertama mereka ditemukan menerusi filem Anak Halal.

Katerina sepatutnya dilakonkan oleh Nur Fazura. Tetapi entah apa yang berlaku pada pelakon itu, watak Katerina dibawakan oleh Maya. Tapi Maya enggan mengulas lanjut kenapa dia dipilih menggantikan tempat Nur Fazura.

Katerina cukup istimewa

SEPERTI dijanjikan, Tarantella Pictures dan Astro Shaw meneruskan trilogi Lagenda Budak Setan (LBS) yang sebelum ini meraih kutipan hingga RM4.6 juta dengan LBS 2: Katerina bersama plot lebih padat, mendebarkan dan sarat air mata.
Sehebat garapan terdahulu yang diangkat daripada novel tulisan Ahadiat Akashah, kali ini rasa cinta Kasyah yang masih kuat terhadap Ayu terus diuji dengan kemunculan Katerina atau Kate apabila mereka dipertemukan tanpa sengaja selepas bertahun terpisah.

Selain Farid Kamil sebagai Kasya, sudah pasti tumpuan utama khalayak terarah kepada Maya Karin yang menggantikan Nur Fazura memegang peranan sebagai Kate apatah lagi sebelum ini pelakon asal dikatakan cukup menyerlah.

Enggan membiarkan komen ramai mengganggu tumpuan di lokasi, wanita berdarah campuran Melayu-Jerman itu hanya tersenyum tatkala diajukan isu berkenaan namun cukup berhati-hati menyusun kata meminta penonton menilai kemampuannya selepas melihat hasilnya.

Sebagai pelakon, Maya akui dia memberikan seluruh jiwa untuk menjadi seperti Katerina iaitu gadis berjiwa kental yang mendambakan kasih Kasyah. Malahan malah kepercayaan pengarah, Sharad Sharan memberi amanah itu kepadanya dianggap sebagai cabaran untuk disahut.

"Saya pernah bekerja dengan Sharad dalam filem Ombak Rindu yang juga diadaptasi daripada novel penuh air mata, cuma ketika itu dia produser dan saya memang teringin bekerja di bawah arahannya selepas melihat sentuhannya dalam LBS.

"Daripada Sharad, dia mahu melihat Katerina yang baru selepas melalui transformasi kehidupan dan secara total Kate yang dibawakan Fazura tidak mungkin sama dengan perwatakan Kate yang dizahirkan saya nanti," katanya.

Baginya tidak sukar menterjemah keperitan yang dilalui Kate apabila dia turut mencedok pengalaman bercinta yang pernah dialaminya sejak zaman belasan tahun hingga kini kerana yakin setiap insan pasti melalui suka duka di alam percintaan.

Namun ketika ditanya sama ada dia meletakkan kesepian Kate seperti yang dirasai kini – solo dan hidup sendirian tanpa insan bergelar suami – dengan pantas Maya mengelak seterusnya mengakui dia masih ceria dikelilingi ramai teman dan keluarga tercinta.

Pada masa sama masih merahsiakan perjalanan kisah yang menimpa Kate bersama Kasyah, akui Maya dirinya juga merasa bertuah dapat bergandingan semula dengan hero dalam Anak Halal, Farid.

"Ya ini ibarat pertemuan semula kami. Keserasian memang sudah ada namun biar siapa pun teman gandingan kita, pelakon yang baik sewajarnya tidak punya masalah untuk beraksi. Cuma bonus jika kita lebih dulu mengenali siapa pasangan kita," katanya lagi yang masih sempat mencuri masa menyiapkan album baru di bawah kendalian Audi Mok.

Menyentuh lagi soal filem, tatkala ditanya ada di antara lakonannya yang bagus dan mendapat maklum balas positif pengkritik namun kurang meraih kutipan, air mukanya berubah tetapi dia tidak cepat melatah sebaliknya melihat perkara itu dari sisi putih.

"Sebagai pelakon kita sudah melakukan yang terbaik, begitu juga pengarah, penulis skrip dan semua yang terbabit dalam filem itu. Jika hasilnya dan impaknya juga bagus tetapi kutipan tidak seberapa, tentu ada kurangnya yang mungkin boleh diperhalusi syarikat penerbitan.

"Namun komitmen saya tidak akan terhenti selepas penggambaran tamat. Jika diperlukan saya akan turun padang memenuhi undangan fotografi malah sedia bertemu penonton untuk promosi bergerak," katanya yang sememangnya mempunyai hubungan baik dengan wakil media apabila jarang berkata tidak untuk sesi fotografi.

Ketepikan perasaan ego lelaki

Farid turut merasai debaran berganda apabila sejajar perubahan masa, diri Kasyah digambarkan lebih matang malah kali ini jejaka dambaan Ayu dan Kate itu sudah punya cahaya mata tunggal bernama Athirah yang berusia enam bulan.

Secara jujur akui anak muda tinggi lampai itu, beraksi bersama bayi sekecil itu antara cabaran besar sepanjang 35 hari berada di lokasi tetapi pada masa sama situasi yang ada kalanya sukar dijangka menjadikan dirinya lebih penyabar dan bertanggungjawab.

"Walaupun bukan setiap hari bersama, Athirah cukup istimewa malah secara tidak langsung bayi itu mendewasakan saya. Siapa ibunya atau bagaimana kesudahan LBS 2: Katerina itu nanti, biarlah ia hanya dapat diketahui penonton.

"Berbanding watak Kasyah dulu, LBS 2 menonjolkan kredibilitinya sebagai seorang lelaki penuh sifat kematangan, bapa penyayang selain tentu saja bakal berdepan dilema sekali lagi yang membuatkannya berada di persimpangan," akui pelakon yang juga pengarah muda itu.

Tambah pengarah filem Kongsi itu lagi, paling menyukarkan apabila kebanyakan babak membabitkan adegan menangis apatah lagi sebagai lelaki antara ego yang sukar ditepis adalah mengalirkan air mata apatah lagi di depan lelaki lain!

"Memang susah menangis berturut-turut. Sekali pun hanya lakonan, bayangkan di depan saya ada ramai krew lelaki. Sebagai kaum Adam, kita tidak mampu mengenepikan rasa malu untuk menangis tetapi syukur, jiwa yang sarat dengan emosi Kasyah membuatkan babak sukar menjadi mudah," katanya.

Sudah lama tunggu Maya

Sharad sememangnya mengimpikan Maya membawakan watak Kate untuk trilogi ini tetapi menafikan wujud pertelingkahan atau masalah dengan Nur Fazura sebaliknya menegaskan darah campuran selain perubahan kematangan Kate tepat diajukan untuk Maya Karin.

"Saya sudah nampak kelebihan Maya Karin sejak Ombak Rindu lagi dan sebaik saja merancang menerbitkan trilogi LBS, namanya terus dalam kepala saya. Kali ini watak Katerina lebih dominan yang pastinya satu cabaran besar buat Maya untuk menggalas tanggungjawab ini.

"Saya pasti pengikut novel serta LBS terdahulu tidak akan kecewa. Saya sendiri sudah nampak keistimewaan trilogi ini dengan plot yang sarat, penuh dengan air mata selain sinematografi yang cukup cantik hasil jurukamera berpengalaman yang diterbangkan dari London, Mike," katanya.

LBS 2: Katerina yang dijadualkan menjalani penggambaran selama 40 hari mengambil Kuala Lumpur sebagai lokasi utama selain Pulau Langkawi dan Bhutan, India yang juga menjadi destinasi pertemuan semula antara Kasyah dan Katerina.

Sebaik saja pembikinan dan post produksi LBS 2 selesai, Tarantella Pictures bersama Astra Shaw akan melengkapkan trilogi cinta agung itu dengan memulakan penggambaran LBS 3: Kasyah yang dijangka dapat dimulakan September ini.

# Selingan Berita Hiburan dan Isu Semasa






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top