The Crow milik Bradley?
Filem lakonannya seperti The Hangover, He’s Just Not That Into You, The A-Team dan Valentine’s Day semuanya mendapat sambutan menggalakkan sekali gus melonjakkan lagi popularitinya.
Sementara namanya masih panas ketika ini, Cooper tidak mahu melepaskan peluang menerima tawaran filem yang menarik untuk mengukuhkan lagi portfolionya.
Terbaru, Cooper dikatakan cukup tertarik dengan tawaran daripada syarikat produksi, Relativity Media untuk membintangi filem pembikinan semula (remake), The Crow.
Barang kali ada yang terlupa, filem The Crow pernah diterbitkan pada tahun 1993 dan dibintangi oleh mendiang Brandon Lee.
Daripada perbincangan awal, Cooper nampaknya tidak mahu melepaskan peluang untuk membintangi filem tersebut. Namun, pihak Relativity Media lebih selesa untuk mengunci rapat mulut mereka tentang pengesahan itu.
Begitu juga dengan pemilihan pengarah untuk filem itu, Juan Carlos Fresnadillo yang dikatakan sudah pun menandatangani kontrak pengesahan akan mengarahkan filem The Crow.
The Crow mengisahkan tentang seorang penyanyi rock, Eric Draven yang mati dibunuh bersama tunangnya sehari sebelum hari perkahwinan mereka.
Setahun selepas itu, misteri mula menyelubungi kejadian itu apabila Draven dikatakan hidup semula dan menjelma sebagai seekor gagak hitam.
Ketika ini, masih terlalu awal untuk mengesahkan pelakon lain yang akan membintangi filem itu termasuk penulis skripnya.
0 ulasan:
Catat Ulasan