
Cinta pandang pertama antara Rickieno dan Ramlah membawa ke alam perkahwinan.
DARI mata turun ke hati, itulah gambaran yang diberikan oleh penyanyi 60-an, Rickieno Bajuri, 68, apabila ditanya perasaannya terhadap isteri, Ramlah Pondo, 49, yang dinikah pada 9 April lalu.
Pasangan itu dinikahkan oleh Pegawai Tadbir Agama Daerah Kuala Langat, Ustaz Md. Razali Hassanusi, pada pukul 11.35 pagi di sebuah surau berdekatan rumah adik Ramlah di Bandar Seri Ehsan, Bukit Changgang, Banting.
Kata Rickieno, sebaik sahaja terpandang sosok Ramlah di kalangan peminat yang ketika itu sibuk bergambar dengannya, hati beliau menjadi tidak keruan.
Sikap ramah Ramlah yang menjawab setiap pertanyaannya membuatkan penyanyi dari kumpulan The Cliffters itu teruja untuk terus berkenalan.
“Sebelum ini pun saya sering melayan peminat tapi hati tidak pula terbuka untuk mengenali secara dekat. Itulah jodoh. Apa pun saya bersyukur kerana sekarang sudah ada teman untuk berkongsi cerita.
“Lagipun, saya sudah lama hidup solo dan kebetulan dia pun sama. Jadi setelah tiga bulan mengenali hati budi, kami ambil keputusan untuk bernikah,” katanya yang bertemu dengan Ramlah pada 8 Januari lalu sewaktu Konsert Pop Yeh Yeh di Stadium Bandaraya Johor Bahru.
Rickieno hidup membujang sejak 2006, setelah isterinya, seorang wanita Indonesia meninggal dunia. Manakala Ramlah pula bergelar balu sejak suaminya meninggal dunia pada 2008.
Hasil perkahwinan lalu, Rickieno mempunyai empat orang anak yang kini menetap di Bandung, sementara Ramlah dikurniakan lima orang anak.
Ramlah yang menerima emas kahwin sebanyak RM300, seutas rantai emas dan dua bentuk cincin iaitu permata dan emas putih menerima Rickieno sebagai pasangan hidup kerana lelaki itu jujur.
“Dalam usia sekarang, apa yang saya mahu adalah seorang teman. Saya lihat dia seorang yang jujur dan boleh dibawa berbincang dalam apa juga perkara.
“Sebelum bergambar bersama, saya hanya mengenalinya salah seorang artis 60an. Saya tidak tahu namanya sehinggalah apabila ia muncul di pentas dan menyanyikan lagu Bisikan Cliffters!
“Waktu itu barulah saya tahu ini rupanya penyanyi Rickieno Bajuri. Saya terpikat dengan sifat ramah dan sopannya dan apa yang berlaku adalah ketentuan Allah,” katanya yang berasal dari Batu Pahat, Johor.
Ramlah yang bekerja di Johor Bahru itu berkata, buat masa sekarang beliau dan suami tinggal berasingan kerana Rickieno bertugas sebagai guru bahasa Indonesia di Singapura.
“Kami masing-masing bekerja. Nasib baik Singapura dan Johor Bahru dekat sahaja. Jadi bolehlah berulang-alik,” katanya.
# Selingan Berita Hiburan dan Isu Semasa
0 ulasan:
Catat Ulasan