PELAJAR pun jadi mangsa penipuan! Itulah yang dialami oleh 58 penuntut Universiti Multimedia (MMU) di Melaka apabila sebuah syarikat perkhidmatan gagal memulangkan deposit rumah berjumlah RM46,980 kepada mereka sejak hampir setahun lalu.

Wakil pelajar tersebut, Muvinraj Christopher Pillay, 20, berkata, kesemua pelajar sesi kemasukan Jun 2009/2010 universiti berkenaan mula mendiami sebuah apartmen di Bukit Beruang yang dijadikan asrama pelajar pada Ogos 2009.

Menurutnya, syarikat tersebut ketika itu meminta setiap pelajar membayar wang deposit RM210 yang merangkumi yuran utiliti dan kunci kediaman.

"Selepas memasuki rumah tersebut, setiap seorang daripada kami diminta membayar lagi RM600 sebagai deposit rumah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Muvinraj, syarikat terbabit berjanji akan memulangkan semula kesemua wang deposit berjumlah RM810 yang diterima daripada setiap pelajar terbabit apabila mereka keluar dari pangsapuri tersebut pada Jun 2010.

Namun, dakwanya, semua itu hanya janji kosong belaka apabila sehingga kini, syarikat terbabit masih gagal memulangkan wang deposit tersebut walaupun telah beberapa kali didesak.

"Apabila ditanya, mereka cuma kata akan memulangkan deposit itu kepada pelajar tetapi sehingga kini setelah hampir setahun berlalu, kami masih belum menerima satu sen pun daripada mereka.

"Malah syarikat terbabit juga cuba melepaskan tanggungjawab apabila menyalahkan kami kerana menyebabkan kerosakan harta benda di dalam rumah," katanya.

Muvinraj memberitahu, dengan bantuan pihak universiti, kesemua pelajar terbabit bersetuju memfailkan tuntutan mereka kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di Wisma Persekutuan di Ayer Keroh pada Mac lalu.

Bagaimanapun, notis tuntutan itu gagal diserahkan memandangkan syarikat terbabit telah berpindah dan notis berkenaan dikembalikan semula kepada pelajar berkenaan.

Pada pendengaran tuntutan itu semalam, Presiden TTPM, Reihana Abd. Razak berkata, tribunal tersebut tidak dapat membuat sebarang keputusan kerana syarikat terbabit tidak mengetahui kes tersebut dibawa ke TTPM.

Beliau kemudian menetapkan 5 Mei ini untuk mendengar semula tuntutan itu selepas para pelajar tersebut dapat membuktikan serahan notis tuntutan mereka kepada syarikat terbabit.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top