Sheila, Glenn duet terbaik

Oleh SAHLIZAH MOHAMED
sahlizah.mohamed@kosmo.com.my

hi 02.1

PADUAN vokal Sheila dan Glenn Fredly memukau dan menimbulkan keterujaan audiens.


MENEPATI jangkaan, paduan suara daripada ikon dua negara, Glenn Fredly dan Datuk Sheila Majid menjadikan Minggu Setiausaha yang dibawa oleh Neo Magik Sdn. Bhd. (Neo Magik) kelihatan eksklusif dengan gaya yang tersendiri.

Majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara itu turut diserikan lagi dengan pengacara Harith Iskander yang sentiasa sarat dengan lawak jenaka yang cukup menghiburkan.

Tampil membuat persembahan terlebih dahulu, kelibat Glenn bukan hanya diiringi dengan alunan muzik, malah turut mengundang jeritan dan tepukan gemuruh daripada penonton yang hadir.

Penyanyi kelahiran Ambon, Indonesia itu yang tampil ringkas mengenakan jean, kemeja putih dan bertopi putih dilihat cukup teruja untuk membuat persembahan di hadapan penonton yang terus melaungkan namanya.

Bermula dengan lagu Kau dan diikuti dengan Linda, Glenn turut mendendangkan lagu secara medley iaitu Mobil Mama dan Cukup Sudah.

Pada satu ketika, tindakan Glenn mengundang salah seorang penonton wanita ke pentas menimbulkan suasana 'tegang' daripada khalayak apatah lagi bila Glenn dilihat menatap wajah wanita itu sambil melantunkan lagu Terserah dengan penuh emosi.

Glenn turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada penonton yang hadir dan menikmati persembahannya.

"Saya sangat gembira dan teruja membuat persembahan di hadapan anda semua. Buat pengetahuan anda, ini adalah kali pertama saya dijemput untuk mengadakan persembahan pada minggu setiausaha dan ia sungguh hebat sekali," laung penyanyi berusia 36 tahun itu.

hi 02.2

RAKAN-RAKAN artis, Ziana dan Anuar Zain serta Zahid (kanan sekali) turut hadir memberi sokongan buat Sheila dan Glenn.


Usai dendangan sebanyak sembilan buah lagu, Glenn memberi laluan kepada ratu Jazz negara, Sheila mengambil alih pentas dengan membuka persembahan menerusi lagu Pengemis Muda sebelum disusuli dengan medley Kekasih Baru, Datanglah ke Dalam Mimpiku dan Relakan.

Diiringi persembahan di bawah kelolaan suaminya sendiri, Acis, Sheila kelihatan berseri mengenakan gaun rona putih dan kelihatan amat bertenaga.

Antara lagu hit yang yang diperdengarkan oleh Sheila ialah Lagenda, Antara Anyer dan Jakarta, Warna, Sinaran dan Ku Mohon.

Saat kemuncak persembahan yang berlangsung hampir tiga jam itu mula dirasai apabila kedua-dua bintang besar itu berkongsi pentas sebelum menutup majlis dengan menyampaikan lagu Aku Cinta Padamu.

Lantunan suara yang mengasyikkan terus membuat penonton dibuai dengan perasaan sendiri dan tidak ketinggalan ada dalam kalangan penonton yang menari di sisi meja masing-masing.

Secara tidak langsung, mereka berdua telah melakar sejarah masing-masing kerana digabungkan buat julung-julung kalinya untuk menjayakan majlis tersebut di hadapan kira-kira 1,000 penonton yang hadir.

Antara selebriti yang dilihat turut hadir ialah Ziana Zain, Anuar Zain, Amy Search dan Zahid (AF2).






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top