JAWAPAN:
Tiada dalil yang sahih memerintahkan agar menanam tulang daripada akikah dan korban. Ia berdasarkan kepada anggapan masyarakat Nusantara yang menganggap masyarakat sentiasa menjaga kebersihan kerana tulang yang terbiar akan menimbulkan bau yang tidak menyenangkan dan mengundang pencemaran.
Dalam hal pengurusan pembahagian daging korban berlegar antara dua sahaja iaitu untuk dimakan dan untuk disedekahkan. Paling afdal ialah menyedekahkan kesemua daging korban kepada fakir miskin kecuali sedikit daripadanya yang sunat diambil untuk dimakan bagi mendapat berkat dan beramal dengan sunah Nabi SAW.
Baginda Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Apabila seseorang kamu melakukan korban, maka makanlah daripada daging korbannya.” (Riwayat Imam Ahmad dari Abu Hurairah RA / al-Jami' al-Saghir, No. 737).
Tidak harus orang yang melakukan korban menjual sebarang bahagian daripada binatang korban sama ada daging, kulit, tanduk, bulu, lemak atau sebagainya. Ia berdasarkan Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bermaksud:
“Sesiapa yang menjual kulit binatang korbannya, maka tiada pahala korban baginya.” (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)
Begitu juga tidak harus menjadikan kulit dan bulu haiwan korban sebagai upah tukang sembelih. Upah hendaklah datang daripada sumber yang lain dan bukan daripada binatang korban. Kesemua ini harus disedekahkan kerana ia telah termasuk dalam daging korban.
Diriwayatkan daripada Saidina Ali yang menceritakan: “Rasulullah SAW memerintahku supaya menguruskan (penyembelihan) unta baginda dan menyedekahkan daging, kulit serta kain atau pakaian yang diletakkan di atas belakang unta itu (kepada orang miskin). Dan baginda juga memerintahkan supaya aku tidak memberi kepada tukang sembelih upah dari unta itu.” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Namun, jika ia telah memberi upah kepada tukang sembelih dengan wangnya, kemudian setelah itu ia memberi pula daging korban kepadanya atas dasar sedekah jika ia miskin (bukan sebagai upah) atau memberinya sebagai hadiah (jika ia kaya), maka itu adalah harus.
Pihak yang diberi tanggungjawab untuk mengagihkan daging korban itu perlu mengedarkan daging kepada mereka yang layak dengan sebaiknya.
0 ulasan:
Catat Ulasan