Baru-baru ini negara kita telah dikejutkan dengan tragedi tanah runtuh di Hulu Langat, Selangor. Kejadian yang berlaku pada petang Sabtu lalu telah mengorbankan 16 nyawa dari Rumah Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa di Felcra Samungkis, Batu 14, Hulu Langat.

Tragedi menyayat hati itu berlaku ketika penghuni rumah tersebut sedang sibuk melakukan persiapan akhir untuk sebuah majlis yang akan diadakan di premis mereka pada petang yang sama.

Ekoran dari kejadian tersebut, ramai pihak yang prihatin telah tampil menghulurkan bantuan bagi meringankan beban ahli keluarga mangsa yang terkorban serta mangsa yang cedera. Media Prima Berhad turut terpanggil untuk memberi sumbangan melalui Tabung Bantuan Bencana The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) – Media Prima dengan memberi sumbangan berjumlah RM50,000.

Artis Malaysia juga tidak terlepas pandang dengan tragedi tersebut apabila mereka turut meluangkan masa mereka dengan mengadakan persembahan amal bagi mengutip dana bagi membantu mangsa-mangsa tragedi tanah runtuh tersebut.

Antara artis yang terlibat ialah Faizal Tahir, Aizat, Jaclyn Victor, Black, Hujan dan Azlan & The Typewriter. Persembahan amal bercorak akusrtik ini akan disiarkan secara langsung menerusi program hiburan, Fuhhh! Istimewa : Akustika Amal Al-Taqwa, pada malam ini, jam 11.00 hingga 12.00tengahmalam di TV3. Program ini akan dihoskan oleh pengacara, Awal Ashaari.

Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan bolehlah memberi sumbangan menerusi Tabung Bantuan Bencana The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) – Media Prima melalui akaun Maybank bernombor, 564324129973 (Tabung TV3 Bersamamu).

 






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top