
Gandingan Farhan (kiri), Atilia dan Ito Mohd. sewaktu menutup Konsert Live Blues and Jazz dengan lagu Sinaran di MaTic, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
ACAP kali masyarakat merasakan genre blues dan jazz merupakan muzik yang sesuai dinikmati oleh golongan atasan dan intelektual sahaja.
Lantaran muziknya yang dikatakan begitu eksklusif dan mahal maka tidak ramai yang begitu mudah untuk jatuh cinta dengan dua genre muzik itu.
Sedangkan, bahasa muzik itu adalah universal dan sebenarnya ia harus dinikmati dengan penuh terbuka tanpa adanya rasa prejudis.
Barangkali pendedahan masyarakat terhadap muzik blues dan jazz di negara ini tidak begitu meluas jika hendak dibandingkan dengan muzik pop mahupun rock.
Sudah tiba masanya, pandangan skeptikal ini dibuang dari minda masyarakat dan meletakkan kedudukan blues serta jazz yang sebenarnya sudah lama bertapak di negara ini sama seperti muzik lain.
Konsert Live Blues and Jazz yang berlangsung di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTic), Jalan Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini, misalnya, sudah cukup membuktikan penangan dua genre muzik itu memang cukup hebat.
Dibarisi tiga penyanyi terkenal iaitu Ito Mohd., Atilia dan Farhan yang masih berpegang teguh kepada muzik blues dan jazz dalam kerjaya mereka sebagai penghibur, ternyata persembahan pada malam itu berada dalam landasan tersendiri.
Apatah lagi diiringi oleh pemuzik tersohor negara dan Asia, Lewis Pragasam bersama kumpulannya, Asia Beat melengkapkan lagi perjalanan konsert yang memakan masa hampir dua jam itu.
Bagi Atilia, masyarakat hari ini seharusnya dapat menerima muzik jazz dengan terbuka dan melihatnya juga sebagai muzik komersial yang dapat memberikan hiburan optimum kepada masyarakat.
“Sebagai contoh, Konsert Live Blues and Jazz adalah platform terbaik untuk artis jazz dan blues seperti kami menonjolkan bakat masing-masing serta menjual muzik kami kepada khalayak.
“Sudahlah lagu-lagu kami tidak dimainkan di radio, jadi, kami harus mencari pentas kami sendiri agar muzik kami dapat didengar dan dinikmati oleh masyarakat.
“Sebenarnya, muzik jazz dan blues memang banyak pengikutnya di negara ini tetapi barangkali peluang itu tidak dapat diperolehi seperti mana artis popular yang lain.
“Apa yang saya harapkan agar persembahan seperti Konsert Live Blues and Jazz ini dapat dipentaskan di pentas yang lebih besar agar muzik kami dapat didengar.
“Jangan sesekali pinggirkan muzik yang kami perjuangkan ini kerana matlamat kami juga adalah sama iaitu mahu memartabatkan industri hiburan tempatan,” luah Atilia saat diminta pandangannya tentang penerimaan masyarakat terhadap muzik jazz dan blues.
Pemilik nama penuh Raja Putri Atilia Raja Haron ini juga memberitahu betapa bertuah dirinya apabila dapat melibatkan diri dalam persembahan seperti Konsert Live Blues and Jazz.
Lebih-lebih lagi dapat berkongsi pentas dengan Ito dan Lewis Pragasam bagaikan mimpi bertukar realiti buat Atilia.
Dalam konsert mini anjuran Kementerian Pelancongan Malaysia itu, Atilia telah menghiburkan hadirin dengan lima buah lagu iaitu Sangkar, You To Me Are Everything, Indah, L-O-V-E dan A Love That Will Last.
Sementara itu, Ito yang ditemui pula berkata, irama blues akan terus hidup di dalam dirinya biarpun muzik tersebut sudah semakin jauh dipinggirkan.
Tetap tegar memperjuangkan irama blues, kata Ito atau nama sebenarnya, Mohd. Arif Kendut, dia bersyukur kerana peminat masih lagi mahukannya menyanyi lagu-lagu blues yang diperjuangkannya sejak tahun 1978 bersama kumpulan Blues Gang.
“Industri kita memerlukan kepelbagaian dan dengan adanya muzik jazz dan blues ini, ia memberikan variasi serta memberi peluang kepada masyarakat khususnya generasi muda untuk mengenali dua genre muzik ini.
“Kalau kita perhatikan dalam American Idol, lagu-lagu blues masih lagi mendapat tempat di kalangan peserta. Jadi, sudah tiba masa untuk kita kembalikan kegemilangan muzik blues.
“Insya-Allah, saya akan menghasilkan sebuah lagu baru berentak blues sempena Hari Raya kelak. Percaya atau tidak, saya tidak mempunyai lagu Raya sendiri dan inilah masa untuk saya memiliki sebuah lagu sendiri,” kata Ito.
Walaupun sudah melewati usia 60 tahun, Ito masih membuktikan kehebatannya di atas pentas sewaktu menghiburkan peminatnya dalam konsert tersebut.
Masih lagi mampu menyanyi sambil bermain harmonika dengan gaya sendiri, memang tidak syak lagi gelaran Raja Blues tetap menjadi milik Ito.
Menyampaikan lima buah lagu termasuk Apo Nak Dikato, Katakan, Khatulistiwa dan Mak Siti, Ito berjaya mengembalikan kegemilangan muzik blues yang pernah menjadi kegilaan ramai satu ketika dulu.
Pemenang tempat ketiga Akademi Fantasia musim keempat, Farhan juga tidak mengecewakan ketika menyanyikan lagu-lagu seperti Route 66, Fly Me To The Moon, Idamanku, Big Spender dan New York, New York .
Sebagai penutup, kesemua artis menyampaikan lagu klasik dendangan asal Datuk Sheila Majid berjudul Sinaran.
# Selingan Berita Hiburan dan Isu Semasa
0 ulasan:
Catat Ulasan