Mahu terus mencabar diri

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar NOOR ASREKUZAIREY SALIM dan ihsan ASTRO


hi 01.1

TIGA bintang utama Awan Dania musim ketiga iaitu (dari kiri) Gambit Saifullah, Jehan Miskin dan Scha AlYahya yang mempunyai pengikut tersendiri.



BERILAH apa sahaja watak kepada pelakon kacak ini. Jarang sekali dia gagal melunaskan tanggungjawab yang diberikan kepadanya.

Lakonannya boleh membuatkan penonton dan peminat merasa benci dan dalam masa yang sama, sayang kepadanya.

Walaupun ada yang berfikiran skeptikal terhadap bakat yang dimiliki oleh Jehan Miskin, namun, bagi empunya diri, dia tidak ambil pusing dengan kata-kata orang.

“Saya tahu apa yang saya lakukan kerana saya sendiri tentukan kemahuan saya dalam bidang ini.

“Orang boleh bercakap apa sahaja tentang saya tetapi saya lebih selesa untuk bersikap positif dan memperbaiki diri untuk menjadi pelakon yang lebih baik,” ungkap Jehan sewaktu dihubungi Hits, baru-baru ini.

Selama sedekad melayari lautan seni, matlamat Jehan hanyalah untuk memberikan yang terbaik dalam bidang seni yang amat dicintainya ini.

Jauh sekali hendak mengejar populariti, apa yang dimahukan oleh Jehan adalah untuk peminat mengiktiraf hasil kerjanya.

“Bagi saya kalau peminat suka dengan lakonan saya, ia adalah satu kejayaan untuk saya sekali gus membuktikan ia telah memberikan impak kepada mereka.

“Saya masih ingat lagi akan kata-kata seorang teman sewaktu saya mula-mula menceburi bidang seni. Katanya, hasil kerja adalah utama, kemudiann barulah wang dan populariti akan bergerak seiring.

“Itulah pegangan saya sehingga ke hari ini dan saya dapat melihat peminat telah dapat menerima kehadiran saya sebagai seorang aktor.

“Walaupun saya sedar populariti saya tidak sehebat pelakon lain, tetapi setidak-tidaknya saya konsisten di mana saya tidak berada di tangga teratas dan tidak juga di kedudukan tercorot.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dan berpuas hati dengan apa yang saya miliki hari ini. Apa yang penting masyarakat nampak bakat saya lalu membuatkan saya lebih dikenali,” kata Jehan yang dilahirkan dan dibesarkan di Gelugor, Pulau Pinang dalam nada yang penuh optimis.

Tidak pernah kesal dengan jalan yang dipilihnya ini, bagi Jehan, sepanjang 10 tahun menjadi aktor, dia telah diberikan peluang yang barangkali sukar dimiliki oleh pelakon seangkatannya.

Sebagai contoh, berpeluang membintangi bangsawan Tun Fatimah dan Naga Chini yang pernah dipentaskan di Istana Budaya beberapa tahun lalu antara pengalaman manis yang tidak akan dilupakan Jehan.

Aktor berusia 31 tahun yang pernah membintangi drama-drama popular seperti Manjalara, Frontpage, Mertua vs Menantu, dan Miftahul Jamilah ini juga mengakui dia kini menjadi semakin selektif dalam setiap tawaran yang diterimanya.

Seiring dengan usianya yang sudah mencecah awal 30, Jehan berkata, dia mahu melakonkan watak-watak yang lebih mencabar dan dapat memberikan kepuasan untuk dirinya sebagai seorang aktor.

Dalam hal ini, Jehan memberikan contoh filem Apokalips arahan Mamat Khalid yang disifatkannya sebagai sesuatu yang luar biasa.

“Membintangi filem Apokalips memberikan pengalaman dan kepuasan yang belum pernah saya rasai sebelum ini.

“Ia adalah sesuatu yang benar-benar mencabar kredibiliti saya sebagai pelakon dan saya amat berpuas hati dengan lakonan saya dalam filem itu,” katanya yang pernah membintangi filem Qaisy & Laila, Gong dan Anak Halal ini penuh optimis.

Namun, dalam masa yang sama juga, dia tidak mahu melupakan peminatnya dan atas alasan itu, kadang-kala dia akan menerima tawaran berlakon demi memuaskan hati mereka.

Ujar Jehan atau nama sebenarnya, Mohd. Jehan Miskin ini, ada kala peminat mahu melihatnya membawakan watak-watak yang dapat menghiburkan mereka.

“Dalam mengejar kepuasan untuk diri sendiri, saya juga perlu memikirkan tentang apa yang peminat mahukan daripada saya.

“Walaupun ada ketikanya tawaran yang saya terima itu adalah klise dan pernah saya bawakan sebelum ini, tetapi, saya akan cuba pelbagaikan rentak lakonan saya agar ia kelihatan berbeza,” jelas anak bongsu daripada tiga beradik ini panjang lebar.

Demi masa depan, Jehan telah menubuhkan syarikat produksinya sendiri iaitu Mastermind Group sejak tahun 2009.

Katanya, menduduki kerusi penerbit juga memberikan kepuasan yang berbeza kerana dia berpeluang mencipta watak dan menghasilkan drama dengan pendekatan yang berbeza.

Pernah menerbitkan drama Buta Warna yang menampilkan penyanyi rock unggul, Awie sebagai teraju utama dan ditayangkan di saluran Astro Prima tidak lama dulu, Jehan mahu terus mencari peluang melebarkan empayar seninya menerusi syarikatnya itu.

“Apabila menulis sinopsis untuk sesebuah drama, semangatnya begitu berbeza kerana ia memberikan inspirasi kepada saya untuk menghasilkan sesuatu yang menarik.

“Saya juga dapat mencipta watak untuk diri saya sendiri. Apabila sudah mencecah usia 30-an ini, cita rasa saya terhadap kerjaya sendiri sudah mula berubah dan tidak sama seperti mana ketika usia 20-an.

“Ini adalah evolusi hidup saya sebagai seorang anak seni dan saya terus mahukan yang terbaik buat diri saya,” kata adik kepada bekas gimnas negara, Faiznur Miskin ini memberikan pendapatnya.

Menerusi syarikatnya itu juga, Jehan tidak hanya terikat kepada penerbitan drama sahaja. Sebaliknya, dia juga terlibat sebagai penganjur acara yang juga disifatkannya telah membuka lembaran baru dalam diari hidupnya.

Malah, Jehan kini melebarkan sayap seninya sebagai seorang pengacara untuk acara yang dianjurkan.

Kalau disingkap diari seni Jehan, bidang pengacaraan bukanlah sesuatu yang asing kerana dia pernah mengacarakan program realiti, So You Think You Can Dance yang pernah ditayangkan di 8TV tidak berapa lama dulu.

“Saya berasa puas apabila dapat mencabar diri sendiri dengan benda-benda baru. Sebagai contoh, saya bukan seorang penggemar bola sepak tetapi saya telah menjadi pengacara untuk sebuah acara secara langsung sempena perlawanan bola sepak antara Manchester United dan Arsenal di Pulau Pinang, baru-baru ini.

“Acara yang dihadiri lebih 1,000 orang peminat itu membuatkan saya benar-benar teruja kerana dapat bersama-sama dengan mereka.

“Secara tidak langsung, ia melonjakkan adrenalin saya untuk menjadikan saya lebih bersemangat sewaktu bekerja,” cerita Jehan yang dilahirkan pada 4 Disember 1979 ini sambil ketawa kecil.






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top