MasterChef mula ‘serang’ Malaysia
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar AHMAD ZAKKI JILAN
|
RASMI… Azlin Reza Azmi (tengah) bersama Chef Johari Edrus (kiri) dan Chef Zubir Md. Zain yang dipilih sebagai juri uji bakat pada majlis pelancaran MasterChef Malaysia di Kuala Lumpur, baru-baru ini. |
MULA diperkenalkan pada tahun 1990 di saluran BBC di United Kingdom, program realiti masakan, MasterChef tidak perlu menunggu lama untuk mengecapi populariti luar biasa.
Bertahan sehingga ke hari ini, fenomena MasterChef terus menular hampir ke seluruh dunia sehingga menjadikannya sebagai salah sebuah program realiti paling popular.
Maka itu, tidak hairanlah apabila ‘virus’ MasterChef sudah merebak dan difahamkan lebih daripada 10 buah negara sudah pun memiliki francais MasterChef untuk tayangan di negara masing-masing.
Antaranya adalah Amerika Syarikat, Greece, Indonesia, India, Croatia, Australia, New Zealand, Filipina dan Sweden.
Semuanya merangkumi francais MasterChef dan juga Junior MasterChef yang ternyata sudah berjaya menambat hati jutaan penonton.
Kini, siri popular itu sudah bersiap-sedia untuk menyerang Malaysia apabila stesen berbayar terulung negara, Astro sudah pun berjaya memiliki hak penyiarannya untuk tayangan di negara ini.
Bakal bersiaran Oktober ini di Astro Ria (saluran 104, Astro), MasterChef Malaysia dilihat mampu mencetus satu fenomena baru dalam industri penyiaran negara.
Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi berkata, pihaknya begitu optimis dengan penerimaan masyarakat terhadap MasterChef Malaysia kelak kerana ia akan memberikan sentuhan yang segar dalam penerbitan program realiti di negara ini.
Ujarnya lagi, apa yang bakal ditonton kelak pasti membuatkan penonton teruja untuk menyaksikannya.
“Kami tidak mahu menunggu lama untuk mendapatkan francais MasterChef di negara ini kerana ia merupakan sesuatu yang cukup hangat diperkatakan oleh masyarakat ketika ini.
“Bukan itu sahaja, inilah masanya untuk kita melihat sendiri bakat terpendam rakyat tempatan dalam mencipta serta melahirkan masakan yang mampu membawa ke peringkat tertinggi,” ujarnya optimis.
Azlin Reza berkata demikian sewaktu majlis pelancaran MasterChef Malaysia yang berlangsung di Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Pada majlis itu juga turut diumumkan pemilihan dua chef terkemuka iaitu Chef Johari Edrus atau lebih dikenali sebagai Papa Joe dan Chef Zubir Md. Zain sebagai juri sepanjang uji bakat MasterChef berlangsung.
Ketika ditanya tentang kesukaran untuk mendapatkan hak penyiaran MasterChef di negara ini, Azlin Reza tidak menafikan prosesnya begitu rumit dan mencabar.
“Kami telah berbincang dengan pemegang hak program itu di United Kingdom selama hampir setahun. Selepas beberapa siri perbincangan dan percaya dengan kredibiliti Astro, barulah mereka membenarkan kami berbuat demikian.
“Apatah lagi, peminat MasterChef di negara ini memang cukup besar dan atas alasan itu, kami tidak teragak-agak untuk membawanya kepada penonton negara ini,” jelas Azlin Reza yang enggan mendedahkan jumlah bayaran untuk mendapatkan hak eksklusif MasterChef.
Walaupun MasterChef merupakan produk antarabangsa, namun, beliau menjanjikan versi Malaysia nanti akan tetap memiliki sentuhan tempatan terutama dari aspek penyediaan makanan dan resipi yang dicipta.
Pihaknya juga yakin dengan penerimaan masyarakat terhadap rancangan itu walaupun MasterChef Malaysia menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
“Saya tidak melihat bahasa akan menjadi masalah sepanjang MasterChef Malaysia bersiaran nanti. Itulah keunikan negara kita yang memiliki masyarakat majmuk yang pastinya memberikan tontonan menarik kelak.
“MasterChef Malaysia juga sebenarnya mahu menonjolkan kreativiti rakyat tempatan dalam menyediakan makanan serta melahirkan resipi baru tetapi tetap memiliki nilai budaya dan warisan negara ini.
“Ditambah dengan sedikit elemen penyediaan makanan antarabangsa, saya pasti MasterChef Malaysia akan berada dalam liganya tersendiri,” ulasnya panjang lebar.
Ditanya tentang hos rancangan itu, Azlin Reza menjelaskan pihaknya memang ada menyenaraikan beberapa nama yang difikirkan layak untuk mengemudikan program itu.
Namun, ia terlalu awal untuk didedahkan kerana pihaknya perlu mengadakan beberapa siri perbincangan.
“Kami mahu utamakan sesi uji bakat terlebih dahulu dan Insya Allah, semuanya akan diumumkan dalam sidang akhbar yang seterusnya,” katanya lagi.
Dalam majlis itu juga, Astro turut mengumumkan hadiah yang akan menanti pemenang MasterChef Malaysia yang berupa wang tunai sebanyak RM100,000. Malah, Astro juga akan menerbitkan dan mengedarkan buku resipi juara MasterChef Malaysia.
0 ulasan:
Catat Ulasan