Showdown 2011 lebih berliku
SETELAH melalui detik mencabar selama tiga minggu berturut-turut, kini satu-satunya program realiti tarian jalanan di Malaysia iaitu Showdown 2011 telah pun memilih 12 peserta pilihan bagi bertanding untuk menentukan juara musim kedua.
Memberi suasana berbeza kepada program realiti ini, baru-baru ini pihak 8TV telah mengaturkan sebuah sidang akhbar yang bertempat di Golden Palm Tree Resort, Bagan Lalang, Selangor, bagi memperkenalkan senarai kru 12 teratas yang telah dipilih berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan.
Showdown 2011 ialah satu-satunya program realiti di Malaysia yang berjaya mengumpulkan bakat-bakat terpendam anak muda yang meminati tarian dan objektif 8TV berjaya dilaksanakan apabila program ini juga berjaya mencapai rating yang mencecah hampir satu juta merangkumi siaran televisyen dan di laman web.
"Showdown bukan hanya dikenali sebagai sebuah program realiti, malah ia telah menjadi bualan generasi kini dan tidak salah jika menjadi budaya kepada mereka yang ingin bergelar penari hebat," tutur Pengurus Besar Kumpulan 8TV dan NTV7, Airin Zainul.
Uji bakat yang diadakan pada awal Januari lalu telah berjaya menarik 100 penyertaan krew-krew dari seluruh negara persembahkan bakat sekali gus mencuba nasib di dalam tarian jalanan untuk menjadi pasukan pilihan.
Sesi pencarian krew Showdown 2011 telah memulakan penjalanan mereka pada 8 Januari lalu yang mana Sarawak menjadi destinasi pertama dan diakhiri Kuala Lumpur dan seterusnya sesi Battle juga diadakan pada keesokan hari.
Tiga krew teratas Showdown tahun lalu, Wakaka Crew, Gile Battle Crew dan Floor Fever juga telah turun padang bagi mengendalikan bengkel kepada peserta juga peminat yang hadir untuk berkongsi seterusnya dapat mempelajari teknik tarian yang betul.
Apa yang menariknya, setelah melalui cabaran Battle dan sebelum sampai ke peringkat Meltdown, kru-kru yang dipilih harus melalui satu ujian yang dinamakan Blind Test.
Ujian ini mengharuskan setiap kru perlu menunjukkan tarian mereka di belakang tabir putih tanpa menunjuk muka dan memperkenalkan diri masing-masing.
Ini merupakan cabaran paling getir setiap kru yang menempuh cabaran ini kerana mereka tidak akan berpeluang berinteraksi dengan para juri secara langsung. Apa yang menjadi kejutan ialah mereka sebenarnya tidak diberitahu kehadiran juri menilai tarian dan kamera yang merakam aksi-aksi bertenaga mereka.
Cabaran ini diwujudkan untuk melihat tahap kesungguhan perserta dalam menghadapi tekanan dan juga menilai kreativiti serta keseragaman tarian yang dipersembahkan. Hasilnya empat kru telah disingkirkan dan satu kru telah menarik diri kerana kecederaan yang dialami oleh salah seorang ahli kumpulan menyebabkan mereka tidak dapat meneruskan cabaran lain.
KUMPULAN Dejavu Breakerz dari Kota Kinabalu, Sabah.
Kecekalan, ketabahan dan kreativiti mereka sekali lagi dicabar apabila kesemua peserta dikejutkan awal pagi dan dibawa ke pesisiran pantai bagi menguji dan seterusnya mengeluarkan pengetahuan yang telah dipelajari melalui bengkel yang telah disediakan.
Di dalam ujian tersebut, Zero dari Giler Battle Crew dan Boojee dari Floor Fever telah dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan kru yang telah dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu penari biasa dan penari hip hop.
Namun, setelah melalui ujian terakhir, hanya 12 kru sahaja telah dipilih bagi menggungguli senarai 12 teratas Showdown 2011.
Kru yang dipilih adalah Panic, Force 136, EGS Monster, Bounce Stepperz, Dejavu Breakers, Borneo Crew, Elecoldxhot, Blazin Squad, HMC Phlow, Roku Steps Stepholic dan Soulution.
HMC Phlow kembali bertanding
Bagi penonton yang mengikuti aliran perjalanan program realiti ini pada musim pertama, pasti mengenali kru penari yang menggelarkan diri mereka HMC Phlow yang dianggotai oleh Mohd. Faruq Mohd. Suhaimi 21, Mohd. Fareez Nor Azri 20, Mohd. Hydzly Shaari 20, Muhammad Fazrin Zainuddin 20, dan Mohamad Saiful Asraf Fairus 21.
Setelah hanya dapat tempat di senarai empat teratas yang hanya menyaksikan tiga kru mara ke final Showdown 2010, HMC Phlow kembali ingin merebut gelaran juara Showdown 2011 dengan tampil lebih bersedia dan bersemangat dengan teknik-teknik tarian yang lebih kreatif dan bertenaga.
Tidak mahu ketinggalan di dalam dunia tarian, satu-satunya kumpulan yang dianggotai oleh lima orang gadis iaitu Panic turut terpilih di dalam senarai 12 teratas untuk memberi saingan kepada kru-kru yang lain dan mempersembahkan teknik tarian terbaik mereka.
"Kami berbangga dapat mengetengahkan dan seterusnya menggilap bakat muda ini dan ia juga membuktikan Malaysia sebenarnya mempunyai penari-penari hebat setanding negara luar.
"Selain itu, adalah mengagumkan apabila kali ini terdapat ramai penyertaan kru wanita dalam sesi uji bakat. Ini membuktikan bahawa bakat wanita di dalam bidang tarian jalanan tidak boleh dipandang rendah," jelas Airin lagi.
Kekal
BLAZIN SQUAD
Walaupun telah menempuh musim kedua, Showdown 2011 masih mengekalkan hos mereka, penyampai radio Fly.FM, Hafiz Hatim untuk menerajui program ini buat kali kedua.
"Hafiz telah melakukan kerja yang mengagumkan musim lepas. Ada sesuatu yang menarik tentang dirinya dan apa yang dibuatnya sehingga dapat menarik perhatian bukan sahaja kaum remaja, malahan kanak-kanak dan juga orang dewasa.
Ia adalah sebuah program santai, dan Hafiz berjaya untuk menarik perhatian orang ramai dengan keletahnya semasa mengacarakan program ini," jelas Penerbit Senior, Showdown 2011, Zebedee de Costa.
Tempat duduk juri profesional juga masih mengekalkan wajah yang sama seperti musim sebelumnya iaitu penyanyi, Joe Flizzow dan juga penari Maple Loo.
"Kesemua kru yang hadir tahun ini sangat berbakat dan lebih bersedia. Kita juga dapat menyaksikan energi luar biasa pada setiap peserta yang hadir. Saya sendiri cukup berbangga kerana Showdown telah menyediakan platform yang baik untuk penari-penari ini mempamerkan bakat mereka," tutur Joe yang turut memberitahu dia punyai dua kumpulan pilihan.
Bagi Maple Loo pula, sebagai juri, dia akan lebih tertumpu kepada aspek teknikal tarian memandangkan dia adalah seorang penari.
Tambahnya lagi, dia cukup teruja melihat persembahan para peserta kerana walaupun tidak cukup masa untuk berlatih, namun, mereka tetap mempersembahkan rutin yang kreatif dan kemas.
Malam ini, penonton boleh menyaksikan kesemua peserta ini bersaing di peringkat Dance Off selama 10 minggu berturut-turut di mana ia akan disiarkan secara langsung daripada i-City Shah Alam, Selangor.
Pada peringkat ini setiap kumpulan perlu memberikan yang terbaik kerana penyingkiran akan dilakukan pada setiap minggu. Hanya dua kumpulan yang layak ke peringkat The Final Showdown. Siaran langsung Showdown 2011 akan bersiaran di saluran 8TV setiap Rabu pukul 9.30malam.
0 ulasan:
Catat Ulasan