Mentor pertandingan nyanyian, bukan majlis makan malam
KEJUJURAN ketua juri, Datuk Ramli MS memberikan teguran kepada protege apabila dirasakan ada bahagian yang perlu diperbaiki bagaimanapun tidak disokong semua mentor apabila ada sebahagiannya yang beranggapan dia sengaja ingin mematahkan semangat anak didik mereka.
Reaksi wajah kurang senang dengan teguran Ramli dapat dilihat dengan cukup jelas setiap kali kamera menghala ke wajah mentor. Justeru, apa peranan Ramli sebagai ketua juri? Adakah tidak layak untuk dia memberikan teguran apabila ada mentor yang enggan mendengar? Walhal, niat Ramli ikhlas memberitahu di mana kepincangan yang wajar mereka perbaiki.
Bukan saja tidak berpuas hati, sedikit kontroversi berlaku dua minggu lalu apabila Rahim Maarof mencabar Ramli menjadi mentor pada musim akan datang. Walaupun Rahim berkata kepada media dia hanya berseloroh, namun tindakannya mengejutkan penonton kerana ia berlaku di atas pentas.
Sebagai juri yang berpengalaman 35 tahun dalam bidang muzik, tidakkah Ramli berasa tercabar dengan pelbagai kerenah mentor? Tidakkah dia serik apabila kemampuannya dipertikai? Adakah dia masih ingin berada di kerusi ketua juri sekiranya terus ditawarkan?
Sebetulnya Ramli kurang bersetuju ketika diminta persetujuannya untuk ditemubual berhubung perkara berkenaan. Baginya tiada isu yang perlu diperbesarkan kerana dia tidak pernah 'mengambil hati' walau sedikit pun terhadap mereka yang tidak bersetuju dengan tegurannya.
“Bagi saya apa yang Rahim katakan hari itu tidak menjadi sebarang isu kerana dia hanya berseloroh. Apabila dia mahu saya sendiri lalui pengalaman menjadi mentor seperti mana dia melatih Aiman, dari kosong kepada seorang penyanyi, saya rasa Rahim tersalah tafsir. Dia sepatutnya memilih peserta yang sudah ada asas sebagaimana peserta lain.
“Sebagai juri, apa yang saya lihat, Aiman sepatutnya menunjukkan peningkatan dari sudut teknik nyanyian kerana dia menyertai pertandingan nyanyian.
Persembahan yang menghiburkan saja tidak memadai kerana itu cuma satu bonus. Dalam pertandingan Mentor, kami mencari penyanyi yang boleh menyanyi dengan baik dan kreatif, bukan penghibur semata-mata.
“Sepatutnya semua mentor perlu ambil berat terhadap vokal protege mereka kerana vokal adalah penyumbang markah paling besar iaitu 35 peratus. Sedangkan persembahan hanya menyumbang sebanyak 15 peratus. Jadi markah yang mana satu mereka mahu? Bagaimanapun kebanyakannya saya lihat lebih mementingkan keseronokan penonton berbanding kualiti vokal protege. Mentor ialah pertandingan nyanyian, bukan majlis makan malam. Saya memang tidak ambil kisah langsung fasal persembahan kerana pengkhususan saya hanya pada vokal.
“Walaupun saya memberikan markah yang tinggi kepada peserta, tetapi apabila markah mereka dicampur dengan undian khidmat pesanan ringkas (SMS) sebanyak 30 peratus, ia akan mempengaruhi keseluruhan markah mereka. Jadi jangan salahkan saya jika protege mereka mendapat markah rendah. Jika mereka fikir komen saya mempengaruhi pengundi, mereka silap,” kata Ramli.
Menurutnya lagi, sebagai juri, dia tidak suka memperkatakan perkara yang mengarut. Apa yang dikatakan kepada pasangan mentor dan protege adalah lahir daripada jiwa seninya. Sekiranya ada mentor yang berasakan komennya boleh menjatuhkan semangat protege mereka, tegasnya, mereka boleh menonton kembali persembahan anak didik masing-masing menerusi YouTube. Dari situ, mereka dapat mendengar lebih jelas lagi kesilapan peserta.
Jangan jadi penyanyi burung kakak tua
HANYA kerana mempunyai berpengalaman berpuluh tahun dalam dunia nyanyian, bukan bermakna mereka sudah memiliki ilmu yang cukup, justeru tidak boleh dijentik walau sedikit pun.
Sebaliknya kata Ramli, mereka sepatutnya berterima kasih kerana dia sudi berkongsi ilmu bersama mereka. Mentor harus bersikap lebih sensitif dan membuang ego dengan mengambil kira pandangan orang lain untuk memperbaiki kelemahan protege masing-masing.
Walaupun dirinya sering dipersalahkan, Ramli dengan rendah diri menyatakan dia tidak pernah mengambil hati terhadap kritikan mereka. Dia mengambil kata-kata negatif secara positif supaya dapat memperbaiki kekurangan diri.
Bagi peringkat separuh akhir yang sudah pun bermula Ahad lalu, Ramli berkata, dia tidak lagi menegur perkara yang sudah disentuh sebelum ini. Sebaliknya, dia melihat empat peserta yang layak iaitu Salma, Iqa, Ratnah dan Shiha pada satu peringkat lain. Ramli juga sempat menitipkan beberapa pesanan kepada siapa saja yang berjaya ke final.
“Pada peringkat akhir nanti mereka akan diberikan satu lagu baru. Apabila mendapat lagu sendiri, mereka perlu jadi diri sendiri. Dalam nyanyian, mereka perlu ada gubahan sendiri supaya mereka menjadi penyanyi yang intelektual. Saya tidak mahu mereka sekadar menjadi penyanyi burung kakak tua, iaitu penyanyi yang hanya menyanyikan lagu digubah tanpa berusaha untuk mencantikkan lagi lagu itu.
“Saya bukan mendengar muzik tetapi saya melihat muzik. Saya mendengar muzik menggunakan minda bukan telinga. Saya juga tahu apa yang ada di minda peserta.
Saya tahu mana yang bersungguh-sungguh dan mana yang main-main dalam pertandingan ini. Peserta yang berasa selesa dan main-main tidak mustahil akan dapat dikejar oleh peserta yang bersungguh-sungguh mahu menjadi penyanyi.
“Selepas habis mentor, mereka perlu ada pembimbing yang tahu apa itu bisnes nyanyian. Saya tidak mahu mereka mengalami nasib seperti peserta program realiti lain yang terus senyap kerana tidak mendapat bimbingan orang yang berkaliber,” katanya yang tidak akan serik untuk menjadi juri lagi jika diundang.
# Selingan Berita Hiburan dan Isu Semasa
0 ulasan:
Catat Ulasan