Hamid Gurkha atau nama sebenarnya Abdul Hamid Ab Rahman mula dikenali melalui filem Panglima Badul pada 1978, Pak Hamid masih aktif dalam bidang seni, biarpun usianya kini menjangkau 78 tahun. Dilahirkan pada 22 Ogos 1933, ketika negara masih lagi di bawah penjajah, Pak Hamid memilih untuk menyertai pasukan tentera selama tujuh tahun,bermula pada 1950.
“Masa itu, terlalu banyak dugaan dan cabaran.
“Semasa peristiwa di Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 dan apabila mendengar berita balai polis diserang oleh 180 pengganas komunis, hati saya melonjak untuk menghulurkan bantuan, tetapi segala perhubungan telah dipotong oleh komunis.
“Peristiwa itu masih bermain di fikiran. Sebab itu apabila ada isu dicetuskan baru-baru ini mengenai Mat Indera sebagai pejuang, saya rasa terkilan kerana kami lebih mengetahui siapa pejuang,” katanya yang kini baru selesai penggambaran filem Jiwa Kacau dan Halimunan.
Hamid Gurkha Johan Bintang Radio RTM
Bercerita mengenai penglibatan awal di dalam industri seni, Pak Hamid berkata, perjalanannya dalam bidang seni bermula ketika menyertai pertandingan Bintang Radio RTM pada 1965.
Katanya, setelah merangkul tempat pertama dalam pertandingan tersebut, Kementerian Kebudayaan dan Kesenian terus melamarnya untuk membuat persembahan pentas.
“Selepas itu, saya bergerak di bawah kementerian dan tidak lama kemudian, (pelawak) Datuk Jamali Shadat mengajak menyertainya sebagai pelawak pentas.
“Sehingga sekarang saya masih bersama Jamali untuk mengadakan persembahan. Semasa bersamanya, kami berjaya menampilkan album sketsa lawak jenaka pada 80-an, terbitan Life Records.
“Pada awal 90-an, filem Main-Main Hantu memberi impak besar kerana filem itu memperkenalkan nama saya kepada masyarakat,” kata bapa kepada lapan orang anak itu.
Filem itu turut dibintangi oleh Nancie Foo, Melissa Saila, Alice Voon, Lili Patra, Azman Hassan, Nor Albaniah dan Bibi Yem.
Beliau juga pernah menjayakan filem Gila-Gila pada 1979, Sikit Punya Gila (1982), Aku Yang Berhormat (1983), Talak (1984), Ragam Pemandu (1989), Konstabel Mamat (1992), Impian (1996), Silat Lagenda (1998), Senario The Movie (1999), Kemarau Cinta (2005), Salah Bapak (2006) Zombie Kampung Pisang dan terbaru, Alamak Toyol.
Di atas kesungguhan beliau dalam bidang seni, Pak Hamid pernah membawa pulang trofi Artis Komedi Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) ketiga pada 1982.
Tolak rakam album
Merenung ke arah mata tua ini, nampak bagaikan ada kekecewaan di hatinya terhadap segelintir syarikat rakaman yang masih gagal menilai harga artis veteran sepertinya.
Ada kalanya, perkara itu membuatkannya patah hati untuk merakamkan album kerana ditawarkan harga tidak berpadanan dengan bakat, kebolehan dan pengalamannya.
“Sebelum ini, saya ada terima tawaran merakamkan album sketsa lawak jenaka daripada beberapa syarikat rakaman, tetapi saya tolak kerana bayaran ditawarkan langsung tidak berbaloi.
“Ia seakan penghinaan buat saya. Setelah lebih 30 tahun bergiat dalam industri ini, itu sahaja yang mampu mereka bayar. Saya bukanlah terlalu meletakkan harga tinggi, tetapi ia sangat mengecewakan.
“Ada juga di antara mereka yang memberi alasan, album sekarang sukar dijual berbanding album dahulu. Itu adalah alasan biasa digunakan untuk melembutkan hati kita, tetapi saya tetap tolak kerana perkara ini menjatuhkan kredibiliti saya sebagai pelawak yang masih aktif,” katanya, yang kini banyak menghabiskan masa bersama 30 cucunya.
Tambahnya, walaupun pelbagai cabaran dilalui, ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus beraksi menerusi medium drama atau filem kerana beliau yakin, golongan peminatnya masih ada.
Tak sangka mampu melawak
Sehingga kini, Pak Hamid masih tertanya-tanya, bagaimana dia boleh bergelar seorang pelawak kerana perkara itu tidak pernah dibayangkan sebelum ini.
Sebelum menyertai pertandingan Bintang Radio RTM, Pak Hamid pernah menyertai pentas kampung untuk membuat persembahan sambutan hari raya dan sebagainya.
Ketika itu, niatnya hanya sekadar untuk memenuhi masa lapang dan melampiaskan minat dalam dunia seni.
“Saya memang minat untuk menceburi bidang seni tapi tak sangka pula saya akan jadi pelawak. Memang dari bangku sekolah lagi, saya sering buat lawak dengan kawan-kawan.
“Dulu, saya hairan kenapa saya sering dipanggil membawa watak komedi sahaja. Tetapi, lama-kelamaan saya mula menerima bahawa dunia lawak adalah dunia saya,” katanya yang kini menerima pencen askar RM720 sebulan.
Petua Pak Hamid
Walaupun usianya sudah lanjut, Pak Hamid bersyukur kerana tidak mengidap penyakit merbahaya.
Penglihatannya juga masih jelas dan boleh memandu untuk pergi ke lokasi penggambaran.
“Saya selalu amalkan ‘3 Kul’ setiap kali selepas solat. Setiap kali selepas solat, saya akan baca tiga surah tersebut dan selawat ke atas Nabi SAW tujuh kali.
“Saya turut amalkan bacaan selawat nabi setiap kali mandi di waktu pagi. Ketika jirus air ke badan, saya sertakan dengan doa agar ALLAH SWT menghindarkan penyakit.
“Dari segi pemakanan pula, saya amalkan pengambilan beras merah untuk kekal sihat sejak lapan tahun lalu. Itu sahaja. Yang lain saya serah kepada-Nya,” katanya.
Kenangan bersama P Ramlee
Mengakui beliau seorang peminat biduan agung Tan Sri P Ramlee, Pak Hamid mempunyai kenangan manis bersama bintang lagenda itu ketika sama-sama bergiat dalam industri lakonan.
“P Ramlee tahu saya minat dia. Masa dulu-dulu, saya memang selalu menyanyikan lagu-lagunya. Kalau berjumpa dengan P Ramlee, kami berbual mesra.
“Pada satu ketika, saya belanja P Ramlee makan. Allahyarham seorang yang baik dan tidak sombong dengan orang.
“Allahyarham banyak memberi tunjuk ajar. Nasihat mempunyai maksud tersirat,” katanya lagi.
Mengenai keinginannya di usia senja ini, Pak Hamid hanya menggelengkan kepala. Katanya, segala keinginan telah diperoleh.
“Nak beli baju baru, baju dah banyak. Nak pergi Makkah, dah pergi tiga kali. Apa lagi saya mahu? Segalanya sudah cukup bagi saya. Tidak perlu memasang keinginan lain kerana ia menyebabkan kita tidak akan puas dengan apa yang kita ada.
“Tanggungjawab sebagai bapa akan saya akhiri hari ini (25 Disember), apabila anak perempuan saya selamat diijabkabulkan. Selepas itu, saya hanya ingin melihat keluarga saya hidup dalam keadaan damai,” katanya.
Profil Biodata Hamid Gurkha
Nama Penuh: Abdul Hamid Ab Rahman
Tarikh Lahir: 22 Ogos 1933
Tempat lahir: Segambut
Nama Isteri: Timah Abdul Hamid
Idola: Tan Sri P Ramlee dan Seniwati Saadiah
Menetap: Klang
0 ulasan:
Catat Ulasan