Penyanyi K-Pop, Alexander atau nama sebenarnya Alexander Lee Eusebio pernah menganggotai kumpulan K-Pop terkenal, U-Kiss kini berani mengorak langkah bergerak secara solo bagi meneruskan minatnya dalam bidang nyanyian.

Anak kelahiran Hong Kong ini juga baru sahaja selesai mengadakan aktiviti promosi di Jepun dan Malaysia bagi memperkenalkan single terbarunya, Bad Girl kepada peminat yang ternanti-nanti kemunculan solonya, selepas keluar daripada U-Kiss pada Mac lalu.


Mengakui terasa janggal bergerak secara solo, Alexander sedar dia harus meneruskan perjuangan kariernya memandangkan itulah impiannya sejak kecil.

“Secara jujurnya, saya masih belum dapat membiasakan diri bergerak secara solo memandangkan sebelum ini kesemua persembahan dibuat secara berkumpulan bersama dengan U-Kiss. Secara tidak langsung, dengan bergerak secara solo ini juga membuatkan saya terasa rindu dan teringat kenangan bersama mereka.

“Namun, begitu, saya harus kuat dan yakin dengan jalan pilihan ini. Saya pasti, tidak lama lagi saya akan dapat membiasakan diri,” katanya di Sri Pentas, Bandar Utama, baru-baru ini.

Kedatangannya ke Malaysia adalah bagi membuat persembahan sempena Alexander Live in KL Solo Showcase 2011 di Cheras Leisure Mall, Ahad lalu dan sebagai artis jemputan untuk Konsert Star Live 2011.

Bercerita mengenai pengalamannya bergerak secara solo, Alexander pernah tersalah koreografi semasa membuat persembahan di Jepun, baru-baru ini.

“Bagaimanapun, saya cepat tersedar akan kesalahan itu dan berjaya menanganinya. Nasib baiklah, setiap persembahan saya diiringi penari latar, jadi saya tidaklah keseorangan semasa membuat persembahan pentas,” katanya.

Biarpun selalu sibuk memenuhi undangan nyanyian, namun perkara itu tidak menghalangnya untuk terus berhubung dengan keluarga.

Mempunyai keluarga yang memahami akan minatnya dalam bidang nyanyian, Alexander cukup bertuah apabila sentiasa mendapat sokongan daripada mereka.

Anak bongsu ini juga sering meminta nasihat dan berkongsi masalah dengan kakaknya, Victoria yang hanya tua dua tahun daripadanya.

“Saya tidak mempunyai ramai rakan baik. Namun setiap kali ada masalah, saya pasti akan bercerita dengan ibu, ayah atau kakak saya bagi mengurangkan tekanan yang dihadapi.

“Memandangkan kami hanya dua beradik sahaja (saya dan Victoria), maka hubungan yang terjalin antara kami sangat akrab,” katanya.

Menyentuh mengenai kehidupan peribadinya, penyanyi berketinggian 182 cm ini mengakui sehingga kini dia masih belum mempunyai teman wanita.

Menurutnya, masa yang ada hanya diperuntukkan untuk memenuhi aktiviti promosi dan undangan nyanyian selain menghabiskan masa bersama keluarga dan rakan-rakan.

“Saya masih belum mempunyai teman wanita kerana tiada masa untuk mencari. Sekiranya ada, saya pasti teman wanita saya kecewa kerana saya sangat sibuk dengan karier saya sendiri. Tunggulah sehingga pendapatan dan karier saya stabil dulu,” katanya sambil memberitahu inginkan wanita yang boleh memahami dan menyokong dirinya, berdikari dan matang.

Selain tertumpu kepada bidang nyanyian, Alexander turut memasang hasrat untuk berlakon di dalam drama Korea.

Penyanyi yang boleh bercakap dalam tujuh bahasa ini; Inggeris, Mandarin, Portugis, Jepun, Korea, Kantonis dan Spanish turut meminati pelakon Korea, Seo Ji Sub dan meletakkan harapan untuk berlakon di dalam pelbagai bahasa.

“Saya ada juga terfikir untuk berlakon tapi mungkin dalam tahun depan. Selain drama Korea, saya teringin untuk berlakon dalam bahasa lain seperti drama Taiwan ataupun Malaysia,” katanya secara berseloroh.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top