Plot ceritanya diterjemah dalam jalur program realiti televisyen dan disumbat mewarnai pentas teater. Kiranya, pementasan teater dalam bentuk program realiti yang penuh drama namun dipersembahkan dengan lakonan yang hebat selain ekspresi wajah yang kuat.
Kononnya program realiti, Rupa, Bukan Sekadar Berbakat Besar yang ingin mencari peserta yang mempunyai wajah kacak dan jelita meletakkan satu tugasan iaitu semua peserta perlu menghidupkan watak masing-masing dalam teater berjudul 1 Plastik Hitam.
Lengkap dengan pengacara program realiti dan suntikan komedi mengusik penonton serta barisan peserta, mereka kemudian akan mempamerkan lakonan sebenar menerusi teater yang kononnya menjadi kayu ukur bagi meraih undian penonton.
Syahrul menyifatkan 1 Plastik Hitam sebagai naskhah komedi dalam sulaman drama seribu satu pengertian tersirat, apa yang menariknya apabila konsep dan idea keseluruhannya yang membuka peluang interaksi terbuka antara pelakon dan penonton digarap buat pertama kali.
"Memang unik dan saya sudah dapat membayangkan ia akan menjadi sesuatu yang berbeza. Penonton yang datang menonton teater itu nanti akan berpeluang mengundi peserta yang juga pelakon bagi melayakkan mereka ke peringkat seterusnya.
"Penonton akan diberikan langkah-langkah untuk mengundi dan sambil menonton gaya mereka berlakon di pentas, penonton boleh mengundi dan keputusannya akan diumumkan pada akhir program itu.
"Idea ini datang apabila saya ingin sekali mendekatkan penonton atau pencinta seni teater dengan seribu satu masalah yang timbul hari ini khususnya gejala sosial dan agenda politik yang penuh konspirasi dalam sesebuah organisasi.
"Saya sengaja wujudkan beberapa watak utama dalam perjalanan teater ini seperti Perempuan Berpurdah, Graduan Muflis, Budak Perempuan Beruniform Sekolah, Busker dan Lelaki Perkasa bagi menghidupkan objektif utama cerita yang ingin disampaikan.
"Setiap watak yang saya hidupkan itu tidak hanya menggambarkan individu, sebaliknya mereka mencerminkan sebuah kelompok masyarakat yang berlainan latar belakang. Setiap watak itu sebenarnya adalah gambaran kepada senario sebenar hari ini dengan seribu satu kemelut yang sebenarnya berlaku, namun ada kalanya ia kesamaran dan jarang sekali diambil serius.
"Namun konsep program realiti itu saya adakan bagi meringankan kembali plot cerita asalnya agar penonton tidak terlalu terikat dengan penyampaian yang serius. Elemen komedi dan jenaka ringan memang saya letakkan dalam skrip dan olahannya pula bergantung kepada pelakon sendiri," katanya yang ditemui di Balai Berita, petang minggu lalu.
Mengangkat bentuk teater 'absurd' yang pernah popular sekitar tiga dekad lalu, 1 Plastik Hitam mengupas isu dalam jalur kisah yang ringan dan menghiburkan.
Tolak ke tepi aspek komersial yang digarap menerusi realiti televisyen Rupa, Bukan Sekadar Berbakat Besar itu, 1 Plastik Hitam sebenarnya mengisahkan beg plastik hitam yang ditinggalkan seorang Perempuan Purdah di sebuah taman awam dan diamanahkan kepada Budak Perempuan Beruniform Sekolah untuk menjaganya.
1 Plastik Hitam akan mula dipentaskan di Stor Teater, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada 7 hingga 11 Disember ini. Pas masuk boleh didapati dengan harga RM20 pada hari persembahan.
Makluman lanjut boleh didapati di laman facebook dengan carian 1 Plastik Hitam atau di Twitter dengan carian hashtag #1PlastikHitam.
0 ulasan:
Catat Ulasan