Sinopsis Sebelum Kiamat

Telemovie Sebelum Kiamat ini berkisar tentang seorang budak bernama Radi yang memberi impak besar dalam kehidupan individu di sekelilingnya. Dia membantu tok imam menyarankan penduduk kampung sembahyang berjemaah di surau selain membantu seorang pelacur yang dihimpit masalah.

Plot cerita menerusi telemovie Sebelum Kiamat ini cukup ringkas di mana seorang budak mampu mencetus kesedaran kepada ramai orang.

Sebelum Kiamat mengisahkan Radi yang masih bersekolah rendah dibesarkan bapanya, Osman yang garang dan panas baran. Osman yang hanya bekerja kampung menceraikan isterinya ketika Radi masih kecil.

Ini membuatkan Radi hidup berdikari dan bersikap penyabar serta tabah. Biarpun, sering dimarahi bapanya dia reda kerana bersyukur masih mempunyai seorang ayah berbanding kanakkanak tidak bernasib baik lain.

Radi sering merindui ibunya, namun tidak tahu sama ada ibunya masih hidup atau mati kerana setiap kali bertanya ayahnya, dia akan dimarahi. Ayahnya memberitahu jika hendak bertemu ibunya, tunggulah hari kiamat.

Dari situ Radi mula mengumpulkan cerita dan bahan rujukan mengenai hari kiamat dan sentiasa berharap hari kiamat cepat tiba supaya dia bertemu dengan ibunya.

Ustaz Hakimi di sekolah sering dijadikan rujukan mengenai hari kiamat membuatkan dia pelik dengan kelakuan Radi. Suratan takdir ditempuh Radi apabila ayahnya meninggal diserang binatang buas ketika bekerja di hutan.

Selepas jenazah ayahnya dikebumikan, Radi tinggal sementara dengan Ustaz Hakimi. Namun, selepas itu dia ingin mencari tanda kiamat kerana merindui ibunya dan mengambil keputusan pergi ke bandar.

Di bandar, Radi mula menemui tanda hari kiamat mengikut tafsirannya sendiri. Pelbagai pengalaman ditempuhinya membuatkan dia yakin hari kiamat sudah hampir.

Ketika sedang makan, Radi terlihat berita di TV yang mengenai kejadian gempa bumi. Seorang pemuda, Zairy hairan melihat tingkah lakunya lalu bertanya mengapa Radi gembira melihat kesengsaraan orang lain.

Radi jujur memberitahu gempa bumi adalah tanda hari kiamat, bermakna dia akan dapat berjumpa ibunya tidak lama lagi. Dia menunjukkan gambar ibunya pada Zairy.

Zairy minta izin merakam gambar ibu Radi menggunakan telefon bimbit dan meminta nama ibunya kerana ingin membantu. Dia juga mengajak Radi tinggal bersama, tetapi Radi enggan kerana suka tinggal di masjid. Baginya rumah Allah adalah sebaik-baik tempat untuknya berlindung.


Zairy mula mendekati Radi dan cuba membetulkan persepsi Radi mengenai hari kiamat. Katanya kiamat adalah kerja Allah dan tidak siapa tahu bilakah akan berlaku. Namun, Radi enggan mendengarnya.

Selepas sekian lama, Radi mula mempercayai kata-kata Zairy. Dia mula putus asa dan merasakan apa yang dilakukannya hanya kerja sia-sia. Dia bercadang pulang ke kampung.

Hari terakhir di masjid yang ditumpanginya, selepas semua jemaah pulang, Radi dalam tangisan memohon doa agar dipertemukan dengan ibu yang sangat dirinduinya.

Dia sedar sebelum dia mati, belum tentu kiamat akan berlaku. Apakah seterusnya yang berlaku? Semua persoalan terjawab apabila penonton mengikuti Sebelum Kiamat sehingga penamat.

Pelakon drama Sebelum Kiamat: Muhammad Naim Daniel Bahari, Soffi Jikan, Sherry Merlis, Zamarul Hisham, Liza Rafar,Noorkhiriah A Shapie, Datuk Rahim Razali

Info Sebelum Kiamat
TELEMOVIE: Sebelum Kiamat
PRODUKSI: Enuja Production Sdn Bhd
PENERBIT EKSEKUTIF: Mohd Ismail Hassan Ali, Rahmatun Nisa Abdul Wahab
PENERBIT: Zainuddin Mohd Ismail
PENGARAH: Murali Abdullah

1 ulasan:

  1. secara peribadi dapat saya ulakan sebelum kiamat adalah sebuah naskhah agak agak berat secara keseluruhannya dan membawa motif tersendiri tentang hukum hakam perihal islam.
    walaupun drama ini sebenarnya tertumpu kepada kisah pergolakan, tetapi keseluruhannya ia memberi mesej yang amat berguna kepada penonton.

    BalasPadam

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top