Rancangan 15 episod yang dihoskan Nazrudin Rahman dan Julie Woon ini memainkan peranan bak 'dewa cinta' yang cuba mempertemukan 30 gadis dengan empat lelaki yang mungkin ada ciri-ciri idaman mereka.
Setiap jejaka akan mempu-nyai tiga peluang untuk menarik minat gadis terbabit, bermula dengan pandangan pertama, peluang kedua dan ketiga yang lebih mencabar kerana akan menayangkan video bakat si jejaka.
Lampu akan dinyalakan sekiranya peserta wanita menyukai apa yang mereka lihat, namun mereka mempunyai pilihan sama ada mahu mematikan semua lampu.
Namun jika si gadis memilih untuk membiarkan lampu tabir mereka bernyala sehingga ke pusingan ketiga, si jejaka itu semestinya akan bertemu dengan gadis yang sudi berkenalan dengan mereka. Namun jika lebih daripada seorang gadis yang menyalakan lampunya, si jejaka itu akan diberikan satu peluang untuk bertanyakan soalan kepada gadis idamannya.
Setiap minggu, seorang gadis akan meninggalkan pentas bersama jejaka pilihannya. Selain itu, penonton boleh melihat perkembangan si gadis yang dibawa keluar dan boleh menyaksikan pertemuan pasangan ini menjalankan aktiviti bersama. Rancangan diari ini disiarkan setiap Ahad, jam 3 petang bermula 13 November lalu.
Secara kebetulan, pasa-ngan pertama yang melangkah keluar daripada program realiti TV ini, Wan Aishah Samsudin, 24, dan Izzat Omar, 25, menyertai Take Me Out atas dasar ingin membantu rakan yang mempelawa mereka tanpa mengetahui dia adalah orang yang sama. Mereka hanya mengetahuinya selepas beberapa hari mengadakan penggambaran untuk program itu.
Selain mempunyai kawan yang sama, mereka juga masing-masing mempunyai tujuh ekor kucing. Sering menjadi topik perbualan ketika keluar berdua, mereka yang baru bertemu tiga kali masih dalam proses mengenali hati budi masing-masing.
Masih muda, mereka masih tidak terfikir untuk berumah tangga dalam masa terdekat kerana Aishah masih belajar manakala Izzat ingin menumpukan pada kerjaya.
Aishah menegaskan, walaupun mereka mempunyai sahabat yang sama, dia hanya mengenali Izzat ketika mengikuti rancangan ini. Katanya, dia memilih Izzat kerana dia seorang chef dan dia pula seorang yang suka makan.
"Dia juga menggemari sukan lasak sama seperti saya. Sekiranya kami mempunyai masa, kemungkinan kami akan bersama-sama melakukan aktiviti lasak seperti bungee jumping," katanya.
Mengambil jurusan memasak di Jerman, Izzat berkata, perkara pertama yang dia agak terkejut apabila mengetahui Aishah adalah hasil daripada bayi tabung uji pertama dan kini sangat cantik dan menarik.
Izzat yang pernah dikecewakan dalam percintaannya masa lalu menganggap pengalaman itu sebagai pengajaran dan pengalaman berharga agar berhati-hati memilih pasangan.
Menyukai seseorang yang sangat memahami, ceria dan mempunyai minat yang sama dengan dirinya, Izzat mengharapkan bertemu gadis idamannya itu suatu hari nanti.
"Hubungan saya dengan dia hanya bertahan selama tiga bulan kerana saya tidak tahan dengan perangainya yang suka bersosial. Bukan tidak boleh tetapi pada saya ia tetap ada batasan.
"Kemuncak konflik yang timbul antara kami kerana dia menipu saya. Walaupun tidak lama tetapi perpisahan itu tetap sesuatu yang menyedihkan, apatah lagi saya masih menyayanginya," katanya.
Aishah yang sedikit lebih tinggi daripada Izzat pula masih belum dapat melupakan kisah lalunya dan hanya mahu berkawan dengan Izzat buat sementara waktu.
Sibuk dengan sesi pembelajaran, Aishah masih dalam proses mengubat luka pada hatinya setelah hubungan yang terjalin selama lapan tahun tidak berkekalan. Bagaimanapun, masing-masing tidak menolak sekiranya ada jodoh untuk bersama
Oleh Hellinie Sina
0 ulasan:
Catat Ulasan