Soalnya bila atau tarikh lebih khusus mereka bakal diikat sebagai pasangan suami isteri? Farid dalam kenyataannya sebelum ini pernah memberikan bayangan untuk diberikan tempoh dua atau dua tahun lagi untuk melamar Danielle sebagai isteri.
Namun, bagi pihak sebelah Danielle, dia juga tidak boleh terlalu beriya-iya memberikan kenyataan kerana bimbang dituduh seperti perigi mencari timba. Malah dalam keselesaan dan keterbukaan si anak berdarah campuran ini bercakap mengenai sisi peribadi, terbit juga bimbang di hati kalau yang dirancang tak menjadi.
“Tiga tahun mengenali Farid, saya senang bertemankannya. Kalau diaju persoalan bersediakah saya untuk ke fasa seterusnya memegang status isteri orang, jawapannya sama sekali bukan senang. Takut yang diharap tak berakhir seperti yang diingini.
“Tetapi nak kata saya bersedia 100 peratus untuk mengakhiri zaman bujang, tidaklah juga. Soal kahwin ini harus difikir masak-masak. Sesuatu yang diharapkan atau mahu dicapai seperti satu proses pembelajaran yang terbaik untuk kita mempersiapkan diri.
“Kalau ada seru untuk berkahwin itu datang, kita melaluinya sebaik mungkin. Melihat orang atau rakan artis lain berkahwin, sejujurnya tak memberikan saya apa-apa kesan pun. Tak rasa apa pun. Mungkin juga saya jiwa kering. Yang menjadi perhatian saya saat menghadiri majlis kahwin orang lain lebih kepada melihat konsep atau tema perkahwinan saja,” katanya ketika ditemubual menerusi telefon, bari-baru ini.
Pelakon ini seboleh-bolehnya tidak suka merancang termasuk soal membabitkan perihal jodoh. Ketentuan pada hari mendatang diharungi sebaik mungkin kerana apa yang lebih baik baginya ketika ini ialah meneruskan apa sudah dimulakan.
“Saya yakin sesiapapun bercinta mahukan yang terbaik dalam hubungan dibina. Saya mengharapkan kesudahan terbaik buat kami. Bercinta, berkahwin, mempunyai anak dan meneruskan kehidupan hingga akhir hayat satu kitaran yang cukup indah dalam hidup manusia,” katanya yang sedang menunggu deretan tayangan empat filem lakonannya, Jiwa Taiko, Hanyut, Azazil dan Spilt Gravy On Rice.
Sepanjang bulan lalu juga, Danielle dan Farid terpaksa berjauhan kerana intan payungnya itu terbang ke Brisbane, Australia bagi mengikuti kursus perfileman pengkhususan dalam aspek lagak ngeri di Australia Stunt Academy selama sebulan. Farid sudah kembali ke Malaysia 30 November lalu.
Kalau disingkap, Danielle juga pada tahun ini meluangkan masa mengikuti kursus lakonan jangka pendek di Akademi Filem New York cawangan Los Angeles di Universal Studios. Ketika itu hubungan mereka dikatakan berantakan seketika sebelum kembali terkawal sekembalinya Danielle ke Kuala Lumpur 6 Mei lalu.
Adat bercinta, pasti ada pasang surutnya. Hubungan mereka pernah dikatakan terjalin selama dua tahun sebelum berpisah `sementara' secara baik. Dulu ramai yang berteka-teki mengenai cinta yang dianyam antara mereka tetapi kini tiada lagi tembok rahsia.
“Kami sudah terbiasa kalau tak jumpa dan berkomunikasi dalam tempoh lama. Malah, kami juga terbuka untuk tidak terlalu mengongkong masing-masing apabila sibuk dengan komitmen seni. Situasi jarak jauh ini ibarat ‘kacang’ saja buat saya.
“Sepanjang dia (Farid) berada di Australia, kami banyak berhubung melalui telefon dan SMS. Cara konvensional itu tetap menjadi pilihan. Alhamdulillah, jarak tak menjadi masalah untuk kami. Yang paling afdal ialah soal hati dan bagaimana kita menjadi lebih kuat saat berjauhan,” katanya yang sejak Oktober lalu turut bergelar hos mengacarakan program MyEG Extra Time menerusi saluran ESPN.
Profil Diana Danielle
NAMA: Diana Danielle Danny Beeson
USIA: 20 Tahun
TARIKH LAHIR: 22 November 1991
TEMPAT LAHIR: Houston, Texas, Amerika Syarikat
BINTANG: Scorpio
ADIK BERADIK: Anak tunggal
DRAMA: Janji Diana, Sembilu Kasih, Takbir Terakhir, Cinta Bulan, Mentari dan Air Mata Maria
FILEM: Idola, Evolusi: KL Drift, Malaikat Maut, Kecoh Betul, Magika, .. Dalam Botol, Hanyut, Jiwa Taiko, Azazil, Spilt Gravy On Rice.
0 ulasan:
Catat Ulasan