Jue yang memegang watak Dara dalam teater itu berkata, ketidakhadirannya menjalani latihan selama empat hari sebelum ini disebabkan mempunyai masalah kesihatan dan telah memaklumkan kepada pihak produksi tersebut.
"Sebenarnya saya telah memaklumkan kepada pihak produksi kerana masalah kesihatan. Mungkin terdapat salah faham pada masa itu membuatkan saya dianggap tidak berdisiplin.
"Bagaimanapun saya menafikan kononnya saya sakit akiibat perbuatan orang. Sedangkan badan saya lemah gara-gara terlalu fokus dengan latihan teater ini.
"Tambah pula banyak babak yang memerlukan saya berlawan dan bermain emosi. Sampaikan saya meminta doktor untuk memberikan ubat tidur bagi membolehkan saya mendapat rehat yang cukup," katanya.
Tambah Jue, dia juga menegaskan penundaan teater berkenaan yang sepatutnya bermula 22 Disember diubah dua hari kemudian tiada kaitan dengan 'kehilangannya' itu.
Dalam pada itu, Jue kesal dengan segelintir pihak media yang membuat andaian sendiri tentang dirinya.
"Pelik, entah dari mana sumber yang mereka (media) dapat sehingga mengatakan saya tidak berdisiplin, tambah pula penundaan pementasan buka kerana saya tetapi terdapat masalah teknikal di situ.
"Saya memberi komitmen sepenuhnya terhadap teater ini. Dan hanya kerana saya tidak hadir ke latihan untuk beberapa hari akibat tidak sihat, saya diberi pandangan yang negatif.
"Diakui, saya tidak melayan sebarang panggilan termasuklah media supaya tidak mahu mengganggu mood dengan soalan-soalan yang berbaur negatif tentang diri saya.
"Jika tidak, tahap kesihatan saya pastinya tidak seimbang dan ini membuatkan saya kurang penghayatan pada hari pementasan nanti," tegasnya.
Sebelum ini, penerbitnya, Megat Mohd Noor Salleh Ghani atau Keno kesal dengan sikap Jue yang secara keseluruhannya menyebabkan produksi tersebut terjejas.
Kerana hal tersebut, pihaknya telah pun menggunakan khidmat pelakon lain bagi menggantikan Jue, iaitu adik kepada pengarah Ahmad Idham, Abby Nadzri.
Bagaimanapun, Jue muncul dua hari sebelum pementasan untuk meneruskan latihan. Justeri itu, watak Dara tersebut dibintangi oleh dua pelakon.
Beritahu pengarahnya, Rosdeen Suboh, walaupun terdapat sedikit salah faham antaranya dengan Jue, dia gembira kerana Jue serta Abby berjaya menjiwai watak dengan baik.
"Memandangkan kami mempunyai dua orang 'Dara', maka saya gilir-gilirkan persembahan mereka. Tambahan pula, kesihatan Jue belum sihat sepenuhnya," jelas Rosdeen.
~ Mstar
Pementasan Se-Merah Padi yang turut dibarisi pelakon hebat iaitu Khir Rahman, Fauzi Nawawi dan Opie Zami itu masih lagi dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya sehingga 31 Disember ini
0 ulasan:
Catat Ulasan