Sungguhpun begitu, pemilik nama sebenar Nur Fazura Sharifuddin ini masih belum puas dengan bidang seni lakonan dan peragaan yang telah diceburinya itu.
Menurut pelakon jelita ini, dia akan meneruskan kerjaya itu sehinggalah sampai ke suatu tempoh waktu yang akan ditetapkan.
Jelas anak ketiga daripada empat beradik itu, buat masa ini, dia belum terfikir untuk berhenti daripada menceburi bidang lakonan.
Namun, Fazura membayangkan bahawa dia kemungkinan besar akan melupakan bidang yang diminatinya itu apabila berstatus seorang isteri dan ibu suatu hari nanti.
"Kalau saya sudah berkahwin, saya tidak mahu berlakon lagi. Cuma bila saya akan kahwin, saya tidak tahu. Hanya Allah sahaja yang mengetahuinya. Mungkin esok atau lusa jodoh saya datang, siapa tahu? Saya juga tidak ada tempoh waktu untuk terus berlakon.
"Buat masa ini, saya akan meneruskan kerjaya saya seperti biasa," katanya sewaktu ditemui selepas pratonton filem terbaru lakonannya berjudul Bujang Terlajak Belum Terlanjur arahan Prof. Madya A. Razak Mohaideen di sebuah pawagam di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dalam filem komedi itu, Fazura melakonkan watak Puteri bergandingan dengan pelakon popular antaranya Johan, Nabil Raja Lawak, Saiful Apek, Aby Yus serta Mustapha Kamal dan Susan Menon. Ia akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 19 Januari ini.
Anak kelahiran Pekan, Pahang itu berkata, meskipun dia mendapat banyak tawaran berlakon drama dan filem sejak kebelakangan ini, tetapi tidak semua tawaran itu diterimanya. Sebaliknya, Fazura hanya menerima tawaran melakonkan watak-watak yang dirasakannya sesuai sahaja.
Dalam filem Bujang Terlajak Belum Terlanjur misalnya, pelakon itu menerima tawaran berlakon di bawah filem terbitan Line Clear Motion Pictures itu kerana ia dikatakan mempunyai banyak mesej di sebalik jalan ceritanya.
Apatah lagi, selama ini kata Fazura, dia tidak banyak berlakon dalam filem komedi.
"Saya dapati filem-filem komedi arahan Prof. Razak sangat ringan. Saya terima tawaran berlakon dalam filem ini kerana saya suka dengan kelainan jalan ceritanya di mana ia juga mengandungi mesej-mesej tertentu. Apa yang penting saya berlakon filem ini untuk hiburkan penonton.
"Malah saya juga seronok dapat bergandingan dengan pelawak seperti Nabil, Johan dan Saiful Apek. Gaya lawak mereka tidak memerlukan daya berfikir yang tinggi tetapi mudah untuk membuatkan para penonton ceria apabila menonton filem ini nanti," ujarnya penuh yakin sambil tersenyum puas.
Kekangan orang tersayang?
Biarpun amat meminati dunia lakonan tetapi Fazura tidak menafikan pembabitannya sebagai pelakon turut mendapat kekangan.
Enggan mengulas sama ada kekangan itu turut dipengaruhi oleh teman lelakinya yang dikatakan seorang yang bertaraf VVIP, Fazura menjelaskan, ia berkaitan faktor sekeliling yang banyak mempengaruhinya.
Jelas anak seni yang dilahirkan pada 27 September 1983 itu, ibunya antara insan yang kurang senang dengan kerjayanya.
"Sebenarnya, ibu saya yang tidak suka saya berlakon. Sekarang ini, umur ibu saya pun sudah mencecah 52 tahun. Apabila semakin berusia, emosinya juga selalu berubah. Ibu saya kata, dia tidak setuju kalau saya mahu terus berlakon. Kalau boleh dia mahu saya terbabit dalam perniagaan.
"Sedangkan berlakon adalah minat saya. Sejak dulu ibu saya tidak suka saya berlakon apatah lagi ada adegan seperti pegang-pegang tangan. Ibu saya sekarang ini semakin sensitif dengan perkara seperti itu. Tetapi dalam filem lakonan saya ini, adegan seperti itu agak kurang," jelasnya.
Fazura juga menafikan dakwaan yang mengatakan dia semakin kurang muncul di khalayak ramai termasuklah berlakon drama dan filem kerana kekangan pihak-pihak tertentu demi menjaga hubungan intimnya dengan VVIP terbabit sejak akhir-akhir ini.
0 ulasan:
Catat Ulasan