Rancangan majalah terbaru TV9, Khurafat memaparkan kisah-kisah benar amalan khurafat yang masih dipraktikkan sehingga masa kini.

Dokumentari 13 episod ini diterajui Ahmad Fedtri Yahya selaku pengacara dan penerbit yang bakal menemui penonton setiap Selasa, jam 9.30 malam, mulai 17 Januari 2012.

Firman Allah SWT dalam Surah Yunus Ayat 106: "Dan janganlah engkau menyembah atau memuja yang lain daripada Allah yang tidak dapat mendatangkan manfaat dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepadamu. Sekiranya engkau mengerjakan yang demikian maka jadilah engkau orang-orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu)".

Menilik nasib, memuja kubur untuk meraih rezeki, sihir, amalan nasi kangkang dan pemakaian tangkal adalah antara kepercayaan khurafat yang boleh menjurus kepada kufur serta syirik di kalangan umat Islam.

Khurafat membuka tirai dengan episod pertama, Pemujaan Kubur menceritakan bagaimana tiga lelaki memakai jubah dan serban, merintih menangis kerana tidak dapat menemui jalan keluar dari makam Tok Pulau Manis, Kuala Terengganu selepas dipercayai memuja nombor ekor di kubur ulama Syeikh Abdul Malik Syeikh Abdullah yang turut dikenali sebagai Tok Pulau Manis.

Kemungkaran yang dilakukan itu menjerat diri mereka apabila tidak dapat mencari jalan keluar dari makam tersebut. Perbuatan terkutuk ini akhirnya disedari Imam Masjid Pulau Manis, Kori Endut ketika ingin menunaikan solat Subuh.

Peristiwa yang boleh dijadikan iktibar dan pengajaran kepada kita ini diteruskan lagi menerusi episod menarik berikutnya. Tahukah anda telur digunakan dalam perubatan tradisional untuk mengubati penyakit?

Dalam episod kedua pada 24 Januari ini, Khurafat mendedahkan perubatan tradisional di Kelantan yang menggunakan telur untuk dijampi sebelum digunakan bagi beberapa tujuan seperti tapak membina rumah baru, merawat demam dan menghalau gangguan makhluk halus.

Adakah anda percaya pada patung lambaian puteri dari Siam yang digunakan untuk kelihatan cantik dan menundukkan seseorang dengan amalan menjijikkan? Ikuti kisah Patung Lambaian Puteri yang akan disiarkan dalam episod ketiga Khurafat pada 31 Januari.

Beranikah anda berjumpa dengan seseorang yang bertapa dalam gua untuk mendapatkan nombor ekor dan memohon hajat? Episod keempat merungkai kisah pemujaan gua pada 7 Februari ini dan banyak lagi dalam Khurafat yang bakal menemui anda setiap Selasa.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top