PEMILIK nama sebenar Jeannette Struys atau lebih dikenali sebagai Jojo Struys ini tidak asing lagi dalam industri hiburan tanah air.
Biarpun telah menjangkau usia 35 tahun, wanita ini menganggap dirinya masih belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga.
Namun begitu, dia mengaku sedang melalui sebuah perhubungan dengan seseorang yang istimewa bergelar kekasih.
"Siapa yang tidak mahu kahwin? Saya harap suatu hari nanti saya juga akan mempunyai keluarga yang sempurna.
"Saya juga sedang dalam proses untuk mengenali seorang lelaki yang saya anggap begitu istimewa dalam diri saya. Bagi saya perkahwinan bukan sesuatu yang boleh diambil mudah.
"Ia tidak perlu dilakukan terburu-buru, perkahwinan adalah satu keputusan besar yang mana kita perlu bersedia dari segala segi," ujarnya yang menginginkan seorang suami yang mampu berada di sisinya ketika susah dan senang.
Bercerita tentang cinta, Jojo mengakui dia beberapa kali merasai patah hati, namun begitu dia tidak pernah menolak kehadiran lelaki dalam hidupnya.
Malah dia menganggap kesemua teman lelakinya sebelum ini menjadi salah satu sumber inspirasi untuk dia berkarya.
"Kita tidak boleh menolak cinta, jika kita bercinta dan akhirnya putus ia memang menyakitkan tetapi daripada situ kita sedar betapa berharganya cinta," ujarnya.
Cintakan bidang penyiaran
Dalam pada itu, wanita yang kini sibuk sebagai pengarah program "Astro Hitz Yuna Inspired" ini menganggap dirinya terlalu obses dengan kerjaya.
Memulakan kerjaya sebagai model ketika usia belasan tahun, Jojo melangkah kaki ke bidang penyiaran sebagai pengacara, pelakon, penyampai radio dan penerbit.
Lulusan Universiti Curtin Perth, Australia ini juga menambah, dia bertuah kerana mendapat tempat dalam industri ini.
"Saya tidak pernah merancang untuk melangkah ke bidang ini, apa yang saya lakukan selalunya berkaitan antara satu sama lain. Ia bagai diatur oleh tuhan.
"Bagaimanapun, buat masa ini saya sangat cintakan bidang penyiaran. Setiap apa yang saya lakukan sama ada berjaya atau tidak, saya tidak pernah menyesal," katanya.
Sedikit demi sedikit dia mengorak langkah dalam bidang ini sehingga berjaya menubuhkan syarikat penerbitan sendiri iaitu kyanite.tv yang mula beroperasi pada tahun 2010.
Menariknya dia turut mendapat tajaan dan sokongan DiGi, Canon dan Malaysia Airlines bagi menerbitkan program membabitkan Yuna.
"Sebelum ini saya hanya sibuk dengan mengacara tetapi menerusi syarikat sendiri, saya puas hati kerana dapat menerbitkan rancangan TV sendiri.
"Saya mahu dikenali kerana kemampuan saya bekerja dan bukan bergantung kepada rupa paras semata-mata," ujarnya.
Sokongan keluarga
Anak tunggal dalam keluarga berdarah campuran Cina, Belanda dan Perancis ini beruntung kerana apa juga yang dilakukan sentiasa mendapat sokongan daripada pihak keluarga.
"Bapa saya paling memberi sokongan terhadap kerjaya saya. Dia sanggup memotong setiap artikel yang berkaitan dengan diri saya di mana-mana akhbar.
"Dia akan simpan dan hantar kepada keluarga kami yang berada di luar negara. Emak saya pula rajin menyimpan setiap majalah yang ada gambar-gambar saya.
"Walaupun kerjaya saya lari daripada apa yang saya belajar dahulu, tapi ibu bapa saya tidak pernah menghalang. Malah mereka selalu memberi kata-kata bahawa apa juga yang kita buat pastikan ia dapat membahagiakan kerana hidup ini singkat," katanya.
Bercerita tentang pengalaman sepanjang bergelar artis, Jojo memberitahu setiap hari yang dilalui adalah merupakan pengalaman manis yang mematangkan hidupnya.
"Semasa menjadi model, pengalaman manis dapat pergi ke negara-negara luar dan bertemu dengan ramai orang dalam bidang yang sama. Manakala ketika berada di industri ini pengalaman sudah tentu berbeza.
"Bagi saya setiap yang saya lakukan mempunyai pengalaman yang manis terutamanya apabila bertemu dengan ramai orang," katanya.
Buat program amal
Selain itu, ramai yang tidak mengetahui bahawa Jojo antara artis yang gemar menganjurkan aktiviti amal kebajikan.
Tahun lalu, dia terlibat dalam menganjurkan kempen kesedaran Aids yang melibatkan lebih 40 selebriti tanah air. Pada tahun ini dia dalam fasa pertama mengutip dana untuk disumbangkan kepada rumah kebajikan Darul Salam.
"Saya hanya seorang yang kecil tinggal di dunia yang sangat besar. Tapi saya percaya jika kita bersatu untuk membantu mereka yang kesusahan ia boleh memberi kesan yang besar dalam hidup seseorang.
"Kerja amal bukan hanya beri duit semata-mata tetapi adalah untuk mengumpul suara dan peluang memberi kesedaran," ujarnya.
Dia juga banyak menulis artikel di akhbar The Star tentang beberapa isu bagi memberi kesedaran kepada pembaca.
Jelas Jojo, dia menggunakan platform sebagai artis ini bukan untuk kepentingan diri tetapi juga bagi membantu masyarakat.
"Saya mencari ruang untuk memberi sedikit kebahagiaan kepada mereka yang susah yang juga secara tidak langsung memberi sedikit kegembiraan kepada saya," katanya.
Selain kempen kesedaran Aids, Jojo turut terlibat dalam beberapa kempen antaranya kepupusan haiwan terlindung, kesedaran kanser payudara dan kutipan dana untuk Yayasan Chow Kit.
0 ulasan:
Catat Ulasan