Misi pencarian peserta program realiti terbaru di TV3, Sejuta Impian kini sudah berakhir dengan menyaksikan seramai 92 peserta telah terpilih ke peringkat seterusnya. Program realiti yang ditaja khas oleh Telekom Malaysia dan Dana Belia 1 Malaysia (DB1M) ini bakal mencetuskan fenomena program realiti tempatan apabila menawarkan insentif berjumlah RM1 juta kepada setiap impian bermula 15 Mei ini.
Ujibakat yang berlangsung di seluruh negara bermula Mac lalu menerima sambutan hangat apabila berjaya menarik perhatian dari seluruh rakyat Malaysia, dengan jumlah penyertaan sebanyak 400 orang melalui kaunter pendaftaran, 300 melalui pos serta hampir 300 penyertaan melalui pendaftaran secara online.
"Sejuta Impian merupakan program realiti televisyen yang akan membantu merealisasikan impian anda. Tercetusnya idea program ini apabila kami bekerjasama dengan DB1M dan mereka memberitahu mempunyai dana sebanyak RM1 juta untuk diberi kepada rakyat Malaysia. Tidak kira kecil atau besar harapan anda, Sejuta Impian akan menawarkan insentif tersebut kepada impian yang memberi inspirasi kepada orang lain.
"Pemberian dana tersebut juga berperanan untuk mencetuskan semangat dan bertindak sebagai titik permulaan bagi golongan belia sama ada individu ataupun secara berkumpulan dalam merealisasikan impian dan hasrat murni mereka demi kebaikan bersama," kata Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Encik Ahmad Izham Omar ketika ditemui pada sesi rakaman Sejuta Impian, di Studio Glenmarie, baru-baru ini.
Program ini diadili oleh barisan hakim tetap yang terdiri daripada tiga individu yang sangat berpengalaman, terkenal dengan pelbagai pencapaian serta arif tentang isu dan perkembangan semasa di dalam dan luar negara.
Barisan hakim tetap terdiri daripada Roshan Thiran (Leaderonomics), Norman Abd Halim (KRU) dan Yiu Lin (Klucthed). Mereka turut ditemani oleh seorang juri jemputan pada setiap episod antaranya Ketua Pegawai Pemasaran, Telekom Malaysia Berhad (TM), Rozalila Abdul Rahman, Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapha Omar, selebriti terkemuka seperti Ning Baizura, Harith Iskander, Hannah Tan, Azlan Iskandar dan ramai lagi.
"Kami menilai dari pelbagai aspek dan sudut perlaksanaan di mana setiap impian itu haruslah memberi mesej kepada masyarakat dan bukan untuk kepentingan diri sendiri sahaja. Sebelum buat keputusan, kami akan berbincang bersama-sama dengan yang lain," ujar Norman mengulas mengenai cara pengadilan.
Menurut Roshan, salah satu faktor peserta tidak mendapat sebarang ganjaran adalah kerana pembentangan idea yang kurang bagus. Ketika ditemui, Roshan turut mengakui bahawa beliau bersama juri yang lain agak sukar untuk membuat keputusan.
"Memang susah. Cabaran kami adalah untuk menjadi konsisten supaya orang tidak mempertikaikan kenapa orang itu dapat dan yang lagi satu itu tidak dapat. Adakalanya saya sampai rasa bersalah sehingga tidak boleh tidur."
Perkara ini turut dipersetujui oleh Norman yang mengakui agak sukar untuk berkata 'Ya' atau 'Tidak' kepada para peserta.
"Bila tengok mereka yang datang dengan harapan yang tinggi, kita rasa kesian. Namun, kita semua kena bersikap profesional," kata Norman yang turut mengakui ada peserta yang datang tidak bersedia dengan pembentangan idea mereka.
Jangan lepaskan peluang menonton Sejuta Impian yang akan bersiaran selama setengah jam bermula 15 Mei 2011, pada setiap Ahad, jam 7.30petang, di TV3. Program 20 episod ini menampilkan gandingan dua hos terkenal iaitu Nazrudin Habibur Rahman atau Naz dan Baki Zainal.
0 ulasan:
Catat Ulasan