DIHIMPIT pelbagai isu, Persatuan Karyawan Malaysian (Karyawan) masih meneruskan agenda dalam memperjuangkan kepentingan ahli mereka agar terbela.
Karyawan yang masih diterajui Datuk Freddie Fernandez, membuktikan aktiviti membabitkan artis sebagai anggota tidak hanya cakap kosong. Menariknya, aktiviti yang dianjurkan masih mendapat sokongan ahli.
Baru-baru ini, Karyawan turut mengadakan lawatan menziarah pelakon veteran, Datuk Yahya Sulong yang berada dalam keadaan uzur akibat asma, sakit jantung dan sukar bernafas. Apa yang menyedihkan, beliau juga berdepan penyakit amnesia.
Lawatan kedua ini disertai Ketua Biro Pemuzik Profesional, Aznan Alias bersama 10 ahli Karyawan lain. Pada pertemuan itu, Karyawan juga menderma RM2,000 kepada bekas pelawak terkenal itu.
Yahya, 84, pernah dikenali sebagai pemain drum sekitar 1970-an dan sering mengadakan persembahan pentas. Beliau seorang yang berbakat besar dalam bermain muzik dan disegani ramai.
Di pentas lakonan, beliau popular dalam pelbagai filem antaranya Gila-Gila, Putus Sudah Kasih Sayang, Da Di Du, Toyol dan Prebet Lapok.
Aznan berkata, sumbangan dihulurkan menerusi kutipan Tabung Music Aid yang diwujudkan sejak setahun lalu. Matlamat tabung ini membantu pemuzik yang berdepan masalah kesihatan dan keuzuran.
"Pada mulanya saya bersama Aubrey Suwito dan beberapa pemuzik lain bekerjasama mencari jalan bagaimana usaha membantu artis yang ditimpa musibah.
"Lalu, sumbangan ini dikumpul hasil persembahan Aubrey Suwito Christmas With Friends yang diadakan pada Ramadan lalu. Persembahan itu membabitkan 13 pemuzik dan berjaya mengumpul sumbangan orang ramai sebanyak RM75,000.
"Yahya Sulong adalah penerima kesembilan selepas Karim Blues Gang, Zainal Rampa, Kasma Booty, Bob Kuman dan empat pemuzik kelab.
"Jumlah sumbangan RM2,000 hingga RM9,000 bergantung pada betapa serius masalah kesihatan yang dihadapi penerima," katanya.
Kata Aznan, seramai 200 pemuzik bernaung di bawah Biro Pemuzik Profesional masih bersatu dan percaya Karyawan dapat membantu dalam memperjuangkan nasib pemuzik tempatan.
"Kami berusaha bergerak mengumpul lebih banyak duit tabung ini. Selepas ini, saya bersama Aubrey turut merancang mengadakan persembahan lain untuk membantu.
"Buat masa ini, ada pemuzik lain berminat turut serta dalam aktiviti yang ingin kami anjurkan. Saya lihat sokongan ahli pada Karyawan masih kuat dan mereka juga kawan lama saya.
"Saya sendiri tidak anggap Karyawan sebagai tempat berpolitik. Apa yang penting, saya bersama pemuzik lain mahu memperjuangkan kepentingan pemuzik agar terpelihara," katanya.
Untuk aktiviti selanjutnya, Aznan bersama pemuzik di bawah Karyawan mahu memberi fokus dalam menambah baik akta membabitkan persembahan pemuzik. Katanya, pendapatan diterima pemuzik profesional masih rendah dan pelbagai masalah lain membelenggu.
"Pemuzik sebenarnya makin terseksa dengan situasi kini. Jika gaji orang lain naik, kami sebaliknya masih menerima pendapatan kurang.
"Jumlah persembahan juga tidak banyak. Ramai kata kita ada persatuan dan industri tetapi tidak dapat membantu dan buat hal masing-masing.
"Apa yang berlaku, persembahan artis tempatan sukar dapat sokongan penaja dan ada penganjur minta bayaran murah hinggakan mengambil pemuzik junior dan tidak mementingkan kualiti.
"Saya fikir lebih baik pemuzik bergerak di bawah persatuan seperti Karyawan kerana ia menjadi medium berkesan dalam menyampaikan maklumat pada pihak tertentu mengenai perjuangan kami," katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan