Kisah cendawan agung Ramli





TERBIASA digelar Papa Rock, figura bervokal serak ini jujurnya, sangat sopan melayan pertanyaan-pertanyaan yang barangkali sudah terlalu kerap disuakan ke wajahnya.

Tenang dan senyum yang basah di bibir, sambil membahasakan penulis sebagai adik, Ramli bercerita tentang cintanya terhadap alam nusantara yang belum tamat penjelajahannya selama ini. Dalam setiap karya, nusantara menjadi elemen yang sudah sebati, tidak banyak setitis esen nusantara adalah pelengkap kepada resipi lagunya untuk halwa telinga peminat muziknya.

Jika difikirkan sepintas lalu, dia sudah ada senarai diskografi sebagai khazanah seni untuk hari esok, namun, Ramli Sarip yang dikenali ramai sebagai ikon rock itu tidak pernah beku untuk berkarya.

Terbaru, dia bakal muncul dengan sebuah album kompilasi edisi terhad, yang mengandungi 23 buah lagu hit sepanjang zaman. Turut diselitkan, empat lagu bonus Musafir Rindu, Keroncong Di Sape dan Sayang Papa serta sebuah lagu lama, Nyanyian Serambi yang disusun semula. Album berkenaan akan dilancarkan pada 26 April ini.

Pada Rabu dan Khamis ini, Ramli juga dipilih sebagai penghibur sempena persembahan Minggu Setiusaha di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

ALBUM KOMPILASI

Saya anggap kompilasi yang bertajuk Mutiara Zaman itu nanti sebagai sebuah karya teristimewa. Semua lagu yang terkandung ialah pilihan saya sendiri, saya buat sendiri dan anggap ia sebagai album mesti beli, mesti dengar dan mesti simpan. Siapa yang minat, yang ada akar Melayu dalam dirinya, pasti orang itu akan sukakan album itu.

PERJUANGAN DALAM MUZIK

Saya masih berjuang dalam roh nusantara. Saya anggap lagu boleh mendatangkan perasaan yang indah. Memanglah orang lihat saya masih dengan imej rock, tetapi akar budaya Melayu itu segar dalam diri saya. Dari situlah lahirnya benda (muzik dan lagu) saya.

LAGU DUET

Ya, dalam album berkenaan ada lagu duet bersama dua wanita hebat. Saya berduet dengan Dayang Nurfaezah untuk lagu Musafir Rindu dan Sayang Papa bersama Ana Raffali. Lagu Sayang Papa ada sedikit elemen inang dan Jawa manakala lagu Musafir Rindu pula sudah 10 tahun terperap. Asalnya, saya tulis lagu berkenaan untuk Tan Sri SM Salim, tapi dia pun dah sakit-sakit, jadi tak kesampaian hajat itu.

KONSERT LUAR KUALA LUMPUR

Saya seronok jika dapat ke Sabah, Sarawak atau kawasan pedalaman. Penonton di sana lebih jujur. Kalau ke Sabah, saya sukakan alam semula jadi. Di sana nyaman dan banyak benda yang asli. Saya ada sebuah lirik tentang perjalanan ke Sabah. Bila saya nampak Gunung Kinabalu, saya sebutkan ia sebagai cendawan agung, paksi alam yang gagah perkasa. Banyak lagi perkataan yang menggambarkan rasa dan perasaan saya. Semua itu ada tertulis dalam album kompilasi nanti. Ada 10 buah lagu yang dilengkapkan bersama perasaan dan situasi sebenar saya ketika lagu ditulis.

TREND MUZIK DAN MUAT TURUN

Saya tak puas jika hanya ada lagu yang dimuat turun sebab saya sendiri akan beli dan simpan semua album saya. Bukan nak kata saya tidak mengikut trend tapi dalam aspek pemilihan lagu, saya ikut konsep makanan. Macam nasi lemak dan masak lemak cili api, makanan itu akan terus jadi santapan untuk berpuluh tahun akan datang. Tapi bukan bermakna saya jenis yang tidak mengikut trend. Biarlah lagu-lagu itu ada nilai kerana saya orang lama yang berjiwa terbuka.



0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top