hi 04.1
MERIAH… Siti Nurhaliza bersama peminat yang mengiring persembahannya untuk lagu Ku Mahu dan Cindai.

APABILA memperkatakan tentang penyanyi nombor satu negara ini, perkara pertama yang akan terlintas di fikiran adalah kehebatan vokalnya yang memang tiada tandingan itu.

Berilah apa sahaja lagu kepadanya sekali pun, percayalah, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin tidak pernah gagal melunaskan tanggungjawabnya.

Jika tidak, mana mungkin trofi Vokal Wanita Terbaik Anugerah Industri Muzik sudah 11 kali menjadi milik mutlak penyanyi yang diberi jolokan biduanita muda negara ini.

Setiap lagu yang dinyanyikan Siti akan dibawanya dengan gaya dan cara sendiri sehinggakan lagu itu seolah-olah merupakan lagu asal nyanyiannya.

Malah, dalam setiap persembahannya juga, Siti pasti akan menyanyikan semula lagu-lagu penyanyi lain dalam interpretasinya sendiri

Dalam persembahan minggu setiausahanya anjuran Hotel Quality yang berlangsung di Pusat Konvensyen dan Pameran Matrade, Jalan Duta, Kuala Lumpur, baru-baru ini, Siti juga meneruskan tradisi itu dengan menyampaikan lagu-lagu kegemarannya.

Ini termasuklah lagu-lagu seperti My All yang pernah dipopularkan oleh Mariah Carey, When You Tell Me That You Love Me (Diana Ross) dan I Will Always Love You (versi Whitney Houston).

Tidak dilupakan, dua buah lagu klasik kumpulan Alleycats iaitu Hingga Akhir Nanti dan Seribu Bintang juga menjadi pilihan Siti dalam persembahannya itu.

Sengaja mengusik Siti, dengan trek rekod cemerlang yang telah dicatatkan sebelum ini, tidakkah dia teringin untuk mengadakan sebuah konsert penghormatan khusus buat penyanyi wanita popular negara.

Memang tidak mustahil, seandainya Siti menyampaikan lagu-lagu popular Francissca Peter, Ella, Ramlah Ram, Aishah, Fauziah Latiff dan Ziana Zain dalam sebuah konsert, ia pasti akan mencatatkan kejayaan luar biasa.

Sambil ketawa kecil, Siti menyifatkan idea itu sangat menarik dan tanpa segan silu dia sendiri memberitahu dia akan cuba menimbangkannya.

“Seronok juga kalau saya dapat mengadakan konsert begitu. Selain lagu-lagu saya sendiri, peminat juga memang mahu mendengar saya menyanyikan lagu daripada penyanyi lain.

“Insya Allah, kalau ada rezeki dan keadaan mengizinkan untuk saya mengadakan konsert tribute seperti itu, saya pasti akan melakukannya,” kata Siti yang ditemui dalam pertemuan singkat sejurus usai persembahannya pada petang itu.

Sebelum ini, anak kelahiran Kampung Awah, Temerloh, Pahang itu pernah mengadakan konsert tribute untuk Allahyarham Datuk Sudirman Arshad di Istana Budaya, beberapa tahun lalu yang telah mencatatkan kejayaan cemerlang.

Dalam perkembangan lain, Siti juga masih lagi menyimpan hasrat untuk mengadakan sebuah konsert tradisional yang sudah lama diidamkannya.

Tangguh album

BERBICARA dengan Siti tentang perkembangan karier terbarunya, juara Bintang HMI 1995 itu cukup teruja memperkatakan tentang pembikinan album Inggeris pertamanya.

Jelas Siti, kesemua 10 lagu sudah pun siap dirakamkan dan album yang berkonsepkan pop dengan suntikan irama R&B dan soul itu kini hanya tinggal untuk menjalani proses adunan serta kejuruteraan di Australia.

“Ini memang impian saya sejak sekian lama dan akhirnya, ia terlaksana juga. Kesemua lagu di dalam album ini ditulis oleh komposer dari Australia.

“Jika tiada aral melintang dan semuanya berjalan lancar, album ini akan menjengah pasaran sekitar bulan Mei atau Jun ini. Setakat ini, saya amat puas hati dengan proses rakaman vokal dan saya cukup sukakan lagu-lagu di dalam album ini.

“Malah, saya juga ada berduet dengan seorang penyanyi Australia, Christian Alexander dalam sebuah lagu,” cerita Siti panjang lebar.

Memandangkan tumpuannya kini kepada penerbitan album Inggeris sulungnya, ujar penyanyi yang cukup masyhur dengan lagu Purnama Merindu dan Cindai ini lagi, dia akan menangguhkan seketika penghasilan album solo Melayunya.

Jika tiada aral melintang, kata Siti, dia mahu merakamkan lagu-lagu Inggeris itu kepada bahasa Melayu seandainya sambutan terhadap album Inggerisnya menggalakkan.

“Saya rasa tidak salah untuk saya berbuat demikian kerana Maher Zain pun pernah melakukan konsep serupa apabila lagunya Insha Allah dialih bahasa kepada Melayu,” ujar isteri kepada usahawan terkenal, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa ini lagi.

# Selingan Berita Hiburan dan Isu Semasa






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top