KEHADIRAN si pemilik nama Sri Rossa Roslaina Handiyani atau nama komersialnya, Rossa sering kali mengundang rasa senang hati di kalangan media mahu pun orang di sekelilingnya.
Biarlah mempunyai 1001 masalah sekalipun, penyanyi dari negara seberang ini tetap mampu menguntumkan senyuman dan gelak ketawa menceriakan suasana.
Kata Rossa yang telah pun bercerai dengan pemain dram kumpulan Padi, Yoyo, pada Jun 2009, menjadi seorang ibu tunggal ibarat seperti menerima sebuah anugerah untuk dinikmati dan tidak perlu untuk disesalkan atau ditangisi.
"Kita perlu menikmati setiap perjalanan hidup yang dikurniakan Tuhan. Alhamdulillah, saya gembira kerana teman dan keluarga yang rapat sering berada di samping saya.
"Lagipun orang yang berbintang Libra memang suka gelak dan seorang yang happy go lucky, begitu juga dengan saya.
"Tetapi saya akui ada masa-masanya saya menangis juga kalau sedih. Tetapi perasaan itu hanya sekejap sahaja dan terus berubah kepada gelak ketawa lebih-lebih lagi apabila ada yang mengusik saya.
"Kebetulan pula, orang yang saya suka juga seorang berbintang Libra. Opps!" selorohnya menggambarkan kegembiraan di hati kerana mendapat pasangan baru selepas bercerai.
Ditanya adakah Rossa seorang yang percayakan pada horoskop, perkara itu hanya dianggap sebagai hiburan semata-mata.
Tuturnya sambil ketawa: "Saya hanya ambil informasi horoskop yang baik-baik sahaja. Mana yang buruk tentang Libra, saya tak endahkan."
Cuba mengorek rahsia tentang orang yang disukainya seperti yang dinyatakan, penyanyi genit ini hanya tersenyum dengan membuat mimik wajah tersirat.
Tidak pula kedekut untuk berkongsi sedikit rahsianya, kata Rossa kekasihnya itu merupakan seorang yang baik dan pintar.
Dan pada masa yang sama juga lelaki itu banyak memberikan inspirasi dan nasihat kepadanya.
"Bagaimanapun, lelaki itu bukan daripada kalangan industri hiburan ya. Dia pun tidak suka dengan dunia glamor ini," ujarnya.
Bercerita pula tentang perkembangan baru kariernya, Rossa baru sahaja muncul dengan album barunya berjudul Harmoni: Jalinan Nada & Cerita.
Album yang memuatkan 14 buah lagu itu merupakan lagu-lagu kompilasi yang pernah popular serta dijadikan runut bunyi dalam filem dan drama yang antaranya lagu Tegar, Ayat-Ayat Cinta dan Hey Ladies serta tiga lagu baru iaitu Memeluk Bulan, Jagad Khayalku dan Ku Menunggu.
Sengaja mengusik lagu manakah didedikasikan khas buat kekasihnya, kata Rossa: "Tidak ada pun. Lagipun, dia bukannya seseorang yang meminati muzik. Kalau tanya okey atau tidak lagu ini? Dia akan kata okey saja."
Selain itu, Rossa juga mula menjinakkan diri dalam perniagaan bidang fesyen di mana dia kini mengeluarkan jenama pakaian sendiri iaitu Just A Girl.
"Nama jenama tersebut diinspirasikan daripada filem kegemaran saya iaitu Notting Hill.
"Memang dari dulu lagi saya sukakan fesyen dan peminat sering bertanya tentang baju-baju yang dipakai setiap kali keluar berjalan atau membuat persembahan."Bagaimanapun, ia akan dijual dengan harga berpatutan dan orang biasa juga mampu membelinya.
"Setakat ini saya masih lagi mengumpul baju-baju yang direka untuk dijual. Mana tidaknya. setiap kali ada stok baru, rakan-rakan saya sudah membelinya dahulu.
"Mungkin saya akan menjual menerusi laman web dan membuka sebuah butik," katanya.
10 SOALAN MENARIK BUAT ROSSA
1. Minat lelaki Eropah, Asia atau Asia Barat?
Asia. Saya pun tak tahu kenapa. Tapi memang saya suka orang Asia.
2. Suka bunga Ros, Orkid atau Lily?
Sudah tentunya Ros. Sesuai dengan nama saya.
3. Banglo atau Apartmen?
Saya pilih rumah banglo kerana ia lebih selesa.
4. Durian, epal atau anggur?
Durian! hahaha! Saya gilakan durian dan saya mahukan penkek durian sekarang!
5. Diet atau pergi ke gimnasium?
Diet. Sebab ia lebih mudah. Saya sanggup tahan lapar. Hahaha! Hmmm…Sebenarnya saya tak boleh nak diet kerana saya suka makan walaupun ketika itu sudah pukul 1 pagi. Tapi kalau minta memilih, saya akan pilih diet. Sebenarnya, dua-dua perkara itu tak pernah berjaya saya lakukan.
6. Bercuti di negara sendiri atau luar negara?
Bergantung pada keadaan, bajet dan dengan siapa saya pergi bercuti.
7. Selipar, kasut tinggi atau loafer?
Mestilah kasut tinggi kerana ia menampakkan kita lebih cantik.
8. Pilih satu. Datuk Siti Nurhaliza atau Kris Dayanti?
Hahahaha! Saya tak mahu pilih! Dua-dua kawan baik saya.
9. Bola sepak atau badminton?
Saya suka bola sepak. Ramai pemainnya kacak! Saya minat pemain Indonesia Irfan Bachdin dan pemain-pemain Filina kerana semuanya kacak!
10. Sering makan jamu atau makanan sampingan?
Saya jarang makan jamu. Justeru itu saya pilih makanan sampingan.
Foto RAYMOND OIILokasi Hotel Concorde
0 ulasan:
Catat Ulasan