BAHANG persaingan sengit antara 11 pelajar Akademi Fantasia musim sembilan (AF9) makin membara apatah lagi dengan penyingkiran Laika walaupun mendapat pujian pada malam konsert pertama, Sabtu lalu.

Persembahan yang mereka tampilkan pada malam konsert tidak jauh bezanya dengan persembahan ketika tirai AF seminggu sebelumnya. Walaupun ada antara mereka yang agak menyerlah jika dibandingkan dengan pelajar yang lain, rata-rata secara keseluruhannya, masih banyak yang perlu diperbaiki untuk meraih undi.

Apatah lagi AF9 dipanaskan lagi dengan kehadiran peng�kritik tetap, Fauziah Datuk Ahmad Daud atau lebih mesra disapa sebagai Ogy yang digelar 'singa'. Sebelum ini, Ogy pernah menjadi pengkritik tetap pada musim kelima dan keenam.

Ketika konsert itu Sabtu lalu, hampir semua pelajar mendapat kritikan pedas daripada Ogy dan ada juga antara mereka yang berjaya mendapat pujian. Turut menjadi juri, Hattan dan Adibah Noor.


Bukan mudah mendapat pujian daripada seorang yang sudah lama berkecimpung dalam dunia hiburan. Dengan hanya melihat corak persembahan seseorang, Ogy sudah mengetahui tahap kemampuan mereka untuk menceburi bidang hiburan dan seterusnya dikenali dan bakat mereka diiktiraf sebagai penghibur yang mampu memberikan nafas baru kepada industri hiburan tanah air.


Ogy turut kesal dan kecewa dengan persembahan pelajar AF9. Baginya, pelajar itu sepatutnya sudah bersedia dari semua aspek sebelum masuk ke gelanggang program realiti dan menjadikan musim-musim sebelumnya sebagai teladan.

Memandangkan ini musim terakhir, Ogy mengharap�kan AF9 mampu menjadi legenda. Namun, Ogy tidak mampu menyembunyikan perasaan kecewanya.

"Saya sangat kecewa dengan persembahan mereka. Pengetua mereka seorang yang hebat. Saya pernah bekerjasama dengan Amy dan saya tahu Amy seorang yang sangat komited dengan kerja.

"Amy seorang yang bersungguh-sungguh apabila melakukan sesuatu. Oleh itu, tidak ada alasan bagi mereka untuk tidak dapat melakukan tugasan yang diberikan dengan baik.

"Gugup dan hilang fokus tidak patut dijadikan alasan apabila persembahan mereka itu kurang membanggakan. Mereka perlu ikhlas setiap kali membuat persembahan kerana mereka perlu ingat kejayaan mereka terletak di tangan pengundi.

"Saya juga mahu lihat pembaharuan dalam setiap persembahan yang bakal dipersembahkan. Mereka kena ikhlas dan tidak boleh menipu kami yang sudah 'otai'.

"Satu lagi yang menggang�gu ialah prop yang turut sama di pentas. Sama ada menjadi penari atau sebagai pelakon dalam lagu, tarikan seperti itu sudah digunakan sejak 70-an lagi. Lainlah kalau prop-prop itu memberikan sesuatu atau impak kepada si penyanyi," katanya.

Kata Ogy, dia turut mengikuti perkembangan mereka setiap hari melalui diari AF yang dipaparkan di televisyen dan berpendapat mereka tidak sepatutnya dimanjakan kerana ia hanya akan membuatkan mereka mencari alasan bagi menutup kelemahan mereka.

"Mereka terlalu banyak keluhan dan alasan. Saya menggalas tanggungjawab untuk menyedarkan mereka bahawa dunia hiburan bukan seperti yang mereka bayangkan.

"Mereka perlu bekerja keras jika mahu menjadi legenda seperti pengetua mereka. Saya perlu berlaku jujur ketika memberikan kritikan kerana saya ingin melahirkan seorang lagi penghibur untuk mewarnai dunia hiburan.

"Saya perlu bersuara lantang dan memberi komen sejujurnya untuk mendidik mereka. Dengan cara itu saja mampu merangsang minda mereka untuk berfikir secara kreatif sebagai anak seni. Saya mahu penghibur yang lahir dari AF kali ini lebih baik daripada yang sebelumnya dan tidak berniat untuk menjatuhkan semangat dan moral mereka," katanya.

Jika dibandingkan dengan pelajar yang terdahulu dan pelajar musim ini, Ogy mengakui pelajar musim ini sangat lemah dan tenaga pengajar perlu bekerja keras bagi menyediakan mereka cabaran di luar yang memerlukan mereka kuat dari segi mental, emosi dan spiritual. Mereka perlu menyuntik sikap tidak mudah mengalah dalam diri.

Ogy yang juga menjadi hos untuk program realiti mencari juara memasak, Jaguh Kampung, turut bersetuju pelajar tersebut sudah mempunyai ego dalam diri masing-masing yang berkemungkinan kerana mereka berasakan mereka sudah hebat apabila berjaya menjadi pelajar AF dan mereka menjadi perhatian orang ramai.

"Tugas kami adalah untuk membawa pelajar kembali berpijak ke dunia nyata bahawa masih banyak yang mereka perlu pelajari. Perkara pertama yang mereka harus pelajari ialah melakukan pergerakan yang tidak sepatutnya ketika menyanyi bukan cara untuk menutup kegugupan mereka di pentas," katanya yang menyifatkan pelajar musim kedua dan kelima adalah pelajar AF yang paling baik.

Siaran Langsung Konsert AF9 untuk Minggu kedua berlangsung di Studio 1, Astro Bukit Jalil, jam 9 malam esok menyaksikan persaingan 11 pelajar yang tinggal, Afif, Amir, Azri, Erul, Kay, Raqib, Aida, Eka, Lena, Miza dan Nera.






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top