TV maya KRU
Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
saphilla.isa@kosmo.com
KRU bersama barisan artis yang memberi sokongan terhadap KRU TV.
ATAS dasar ingin menghimpunkan hasil produk yang banyak serta mahukan kebebasan dalam menghasilkan karya yang seterusnya, trio adik- beradik KRU mendapat idea menghasilkan KRU TV.
Bagaimanapun buah tangan trio adik-beradik KRU ini hanya boleh ditonton menerusi penggunaan realiti maya iaitu Tonton.
Memandangkan sudah ratusan produk KRU diterbitkan sepanjang pembabitan mereka di persada seni tempatan selama ini, KRU TV bakal menjadi saluran baru yang menampilkan kandungan terbaik dengan gabungan pengisian yang diterbitkan secara eksklusif.
"KRU telah menghasilkan pelbagai jenis program untuk stesen televisyen, filem dan muzik. Jadi, kami rasa dengan adanya KRU TV maka hasil-hasil produk yang dicipta kami dapat dikumpulkan dan ditonton oleh peminat.
"Malah, kami juga dapat menghasilkan produk-produk baharu tanpa sekatan mengikut kreativiti kami," kata Presiden Eksekutif KRU Media Sdn. Bhd., Norman Abdul Halim ketika ditemui selepas majlis pelancaran KRU TV di eCurve, Mutiara Damansaram, Kuala Lumpur.
Kandungan menyeluruh bagi KRU TV boleh didapati menerusi portal Tonton di www.tonton.com.my. Filem-filem popular terbitan KRU seperti Cicakman, Magika, Hikayat Merong Mahawangsa serta drama bersiri Webisode bakal menjadi santapan mata peminat di Tonton sejak ia mula ditayangkan pada 12 April lalu.
Sebagai persediaan awal juga, menurut Norman, KRU TV telah menyediakan beberapa rancangan hiburan sebagai ujian untuk maklum balas dari para pelayar Tonton.
"Terdapat lapan rancangan hiburan baru yang dihasilkan KRU seperti Paparazzi yang dihoskan oleh pendatang baru Neelofa dan Aina Suzaily, Jukebox yang memaparkan muzik popular daripada aliran era 90-an hingga masa kini serta anime, siri animasi berasaskan komik popular, Cicakman.
"Bukan itu sahaja KRU TV juga akan memaparkan program baru iaitu 24/7 yang memaparkan mengenai latar belakang artis seperti Stephen Rahman, Ummi Nazeera, Shahir dan ramai lagi," katanya.
Ditanyakan mengenai persamaan antara program Paparazzi dengan Melodi, Norman memberitahu, penubuhan KRU TV tidak bermaksud untuk bersaing dengan mana-mana program hiburan mahupun stesen tv ataupun web yang telah sedia ada.
"Paparazzi sebagai contoh merupakan program hiburan yang mendedahkan tentang gosip, perkembangan dan cerita mengenai artis tempatan dan Indonesia," katanya yang mempunyai stringer di Indonesia bagi mengorek cerita artis di sana.
Katanya, niat utama program Paparazzi bukan untuk menjatuhkan artis tersebut tetapi memberi sokongan dan pendedahan cerita mereka. Malah, tidak bermaksud mahu meniru atau bersaing dengan Melodi mahupun rancangan hiburan yang lain.
Biarpun tanpa sebarang promosi pada awalnya, saluran yang dihasilkan menerusi kerjasama KRU dengan Alt Media Sdn. Bhd. itu telah pun menduduki senarai kelima daripada 13 saluran yang ada di web TV tersebut.
Menyedari kemampuan mereka untuk menghasilkan ratusan jam program, jelas Norman, saluran web tersebut akan menjadi platform mereka untuk menyebarkan lagi hasil kreativiti yang ada.
"Kami mampu hasilkan 300 jam program untuk siaran tv. Tetapi kami percaya tidak ada stesen televisyen yang akan menayangkan semua hasil terbitan kami. Jadi menerusi KRU TV ini kami dapat menerbitkan sebanyak program yang ada untuk saluran kami sendiri," jelasnya dengan yakin.
Malah, KRU turut memperkenalkan artis baru mereka iaitu kumpulan Tiga, VIP yang dianggotai oleh Adam AF dan kumpulan Forteen.
0 ulasan:
Catat Ulasan