LAMA senyap tidak bermakna terkubur. Tatkala ayat itu sampai ke telinga diri, Zarina Zainoordin, dia bingkas menafikannya.

Jelasnya, usah lekas menjatuhkan status begitu jika jarang melihat kelibatnya di kaca TV kerana bimbang ia menjadi doa. Bersulam bicara lembut sesekali berseloroh anak kelahiran Johor Bahru ini ada banyak cerita yang ingin dikongsi.

Peluang mendekati zarina pada majlis previu drama baru Astro Prima, membuka ruang yang baginya meluahkan rasa.

Sebalik senyuman dan gelak tawa, Zarina tiba-tiba terdiam seketika tatkala ditanya kisah cintanya bersama pelakon Ungku Ismail Ungku Abd Aziz. Rasanya baru saja terpandang kisah cintanya di sebuah dada akhbar, namun entah apa sebabnya, Zarina bagai enggan mengulas lanjut.


Namun, atas desakan dan sikap profesional untuk tidak lari daripada persoalan yang diaju, dia akur menjawab.


"Hubungan kami dah berakhir dan sekarang kami lebih selesa atas dasar persahabatan. Baik Ungku mahupun saya, kami sepakat untuk mengalihkan tumpuan itu kepada kerjaya dan soal peribadi masing-masing. Tidak perlu memeningkan kepala atau meletak beban kalau keserasian sudah tidak ada lagi.

"Kami masih berbaik dan lebih selesa berkawan seperti awal perkenalan dulu. Tiada apa yang perlu dibincangkan dan saya menyifatkan semua�nya ketentuan takdir. Namun, saya begitu menghormati keluarga�nya dan sudah pasti kegagalan hubungan ini tidak sekali menjauhkan saya daripada mereka.

"Memang saya sukar menjelaskannya dan begitu berat untuk mengulas panjang tapi inilah hakikat yang saya lalui. Sebagai anak seni, saya akur dengan tuntutan media yang tidak lepas memaparkan kisah peribadi saya.

"Bagaimanapun, saya bimbang kisah ini akan melangkaui hal kerjaya yang kian berkembang positif ketika ini. Apapun, saya harap semua pihak faham dengan menghormati keputusan kami," katanya mengakui sudah lima bulan sendirian.

Meskipun enggan diungkit lagi kisah cintanya yang tersadai di tengah jalan, berpaksi kepada kedudukan sebagai anak seni, Zarina faham.

Mengenali Ungku yang sebelum ini pernah membintangi beberapa drama termasuk Sutun sejak menjalani penggambaran bersama, Syurgamu Ramadan tahun lalu dan kemudian yakin menjadi pasangan kekasih beberapa bulan selepasnya, Zarina mengandaikan ketentuan ini punya hikmah di sebaliknya.

"Siapa pula yang tidak mahukan kebahagiaan. Saya sendiri sebagai wanita sentiasa mengharapkan keindahan dalam percintaan, namun semuanya di luar kemampuan saya. Justeru apa yang berlaku saya anggap takdir yang sebenarnya menyembunyikan 1,001 hikmahnya. Mungkin saya boleh meletak fokus yang lebih kepada kerjaya dan percaturan masa depan.

"Bagaimanapun, tidak timbul soal serik atau fobia kerana semuanya adalah satu proses pembelajaran yang memberikan saya pengalaman. Ia akan memimpin untuk saya menjadi lebih kuat dan tidak mudah putus semangat.

"Insya-Allah jika ada rezeki, saya tidak menolak sesiapa saja yang mendekati kerana saya percaya, biar kawan seribu namun berkasih setia pada yang satu," katanya.

Mengalih topik perbualan petang itu untuk melihat per�kembangan kerjayanya, si anak gadis yang pernah membintangi filem Gol & Gincu, Cinta Fotokopi dan Dimensi Cinta lekas mengukir senyuman di bibirnya. Bimbang untuk terus bersembang mengenai kisah peribadi, Zarina bercerita de�ngan penuh semangat mengenai kemunculan istimewa yang akan dilakukan.

Menafikan dirinya sudah tenggelam dalam lapangan nyanyian kerana rezekinya banyak dalam lakonan, bintang yang bakal muncul dengan filem lakonannya, Aku Bukan Tomboi ini menyifatkan semuanya hanya tanggapan.

"Alhamdulillah, walaupun tidak ada album atau 'single' baru, saya masih mampu berdiri sebagai seorang penyanyi dengan pelbagai undangan dan jemputan persembahan yang tidak putus. Setakat ini, ada saja permintaan untuk saya menyanyi di majlis korporat dan tertutup cuma tiada sebarang liputan saja membuatkan ramai beranggapan saya sudah tidak aktif.

"Hakikatnya, saya baru saja pulang dari Sarawak selepas lebih tiga bulan berulang-alik ke sana kerana mengadakan persembahan jelajah Bumi Kenyalang, Konsert Karnival Belia Sarawak. Bayangkan, berbulan-bulan jadual hujung minggu saya padat dan peluang itu saya gunakan sepenuhnya untuk mendekati peminat yang sudah lama merindui kemunculan saya.

"Terbaru, saya bakal tampil dengan sebuah lagu baru bersama gitaris terkenal, Man Kidal untuk satu projek khas. Jika diberikan rezeki dan keizinan, peminat akan kembali mendengar lagu baru nyanyian saya dalam gaya dan penyampaian baru," katanya.

Sejak mula menceburi dunia lakonan kira-kira tujuh tahun lalu menerusi percubaan sulungnya filem Pontianak Menjerit, rezekinya lebih cerah dan melimpah ruah dalam lapangan seni lakon ini. Malah komitmen dan sikap ingin belajarnya membuatkan banyak produksi semakin percaya untuk terus bekerja dengannya.

Selepas menerima pengiktirafan sebagai calon akhir bagi kategori Pelakon Harapan Wanita pada Festival Filem Malaysia Ke-18, nama Zarina kian kuat. Terbaru, Zarina bakal muncul dengan drama siri 13 episod berjudul Ayu Suraya bermula 26 April, setiap Selasa jam 10 malam di Astro Prima.

"Ayu Suraya adalah sebuah drama siri yang begitu berbeza baik pada plot ceritanya mahupun pengalaman saya sendiri sebagai seorang pelakon. Mana tidaknya, saya perlu berdepan dengan pelbagai perasaan, emosi dan karakter dalam satu masa kerana wataknya, Ayu seorang yang begitu rumit dan misteri.

"Kononnya Ayu dibelenggu zaman silam yang gelap dan membuatkannya menjadi gadis yang pelik dan berkelakuan misteri di sebaliknya personalitinya yang tampak normal. Saya memang tertekan awalnya dengan watak itu hingga ada kalanya saya sendiri bimbang tidak mampu menahan tekanannya. Namun alhamdulillah saya berjaya membawakan dengan gaya dan lontaran emosi saya yang tersendiri.

"Saya percaya peminat akan berpuas hati menontonnya nanti," katanya.

Ayu Suraya turut membariskan beberapa pelakon terkenal lain termasuk Riezman Khuzaimi, Shahz Jaszle, Wan Sharmila dan Syed Ali. Pastikan jangan ketinggalan mengikuti kisah Ayu bersama anak patungnya, Suraya, setiap Selasa, jam 10 malam di Astro Prima.

PROFIL

NAMA SEBENAR: Zarina Zainoordin
TARIKH LAHIR: 15 Oktober 1984
ZODIAK: Libra
TEMPAT LAHIR: Johor Bahru
PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
PROFESION: Penyanyi Dan Pelakon
FILEM: Gol & Gincu
SINGLE: Bagaikan Puteri (Filem Gol & Gincu)






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top