PETALING JAYA: Pelakon Zed Zaidi, 30, yang baru melangsungkan perkahwinan pada Jumaat lalu mengakui masih berasa kekok dengan status baru itu.
Jelas Zed, selepas tiga hari bergelar suami kepada Nelly Natalia Mustafa, ada beberapa perkara dalam kehidupan suami isteri yang sedang dipelajarinya.
“Ada banyak perkara baru dan pelik yang saya cuba membiasakan diri dan pelajari sebagai seorang suami.
“Kalau sebelum ini, saya sudah biasa tidur seorang dan hanya ada bantal peluk sebagai teman tidur. Kini, saya rasa pelik juga apabila tidur berdua tetapi saya berasa gembira dan bahagia.
“Selain itu, saya juga dapat melakukan solat berjemaah dan membuat kerja-kerja di rumah bersama seperti membantu isteri di dapur,” katanya dengan nada teruja.
Pun begitu, Zed menambah, keterujaan isterinya menyediakan pelbagai jenis masakan menyebabkan dia berasa runsing kerana bimbang berat badannya meningkat.
“Isteri saya pandai memasak pelbagai jenis makanan dan ia membuka selera makan. Namun, saya risau juga kalau berat badan akan meningkat.
“Maklumlah, saya ini artis dan tentulah nampak tidak elok di depan televisyen kalau berlaku perubahan fizikal yang mendadak.
“Jadi, saya sudah berbincang dengan isteri agar memasak makanan yang bersesuaian,” kata pelakon drama bersiri terbaru, Fatimah Juling ini.
Menjawab pertanyaan tentang perancangan bulan madu, Zed berkata: “Buat masa ini, memang belum ada perancangan untuk bulan madu. Minggu ini, saya sangat sibuk menguruskan persiapan akhir untuk majlis resepsi kami pada 7 Mei ini.
“Tengoklah nanti, apabila semuanya sudah selesai, baru kami akan fikirkan soal itu. Lagipun, saya ini jenis yang tidak suka merancang awal-awal, lebih seronok kalau terfikir di saat-saat akhir dan terus pergi saja.”
Selepas berkahwin, Zed dan Nelly kini menetap di kediaman aktor itu di Damansara Perdana, di sini.
Pasangan yang berkenalan menerusi laman sosial Facebook itu bernikah pada 29 April lalu di Restoran Felda Villa, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
Majlis resepsi kedua mereka akan berlangsung pada 7 Mei ini di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur dengan tema moden tradisional.
Pada majlis perkahwinan Jumaat lalu, pengantin perempuan menerima mas kahwin RM300 dan wang hantaran sebanyak RM20,000.
0 ulasan:
Catat Ulasan