Pertandingan yang mensyaratkan penyertaan dari kalangan orang asing itu telah ada juaranya. Seorang lelaki Yemen dan gadis Kemboja menjuarai kategori lelaki dan wanita.
Sepuluh peserta di kalangan orang luar negara memperlihatkan kesungguhan menyanyikan lagu Melayu dengan cara mereka tersendiri. Peserta juga mengakui penglibatan mereka dalam pertandingan seumpama itu boleh membantu mereka dalam mendalami dan menguasai Bahasa Melayu.
Itulah matlamat pertandingan julung kali itu diadakan iaitu memartabatkan lagi bahasa kebangsaan dan mengekalkan khazanah budaya negara. Ia juga boleh mempopularkan lagi Bahasa Melayu ke luar negara melalui warga asing tersebut.
Lebih 60 warga asing yang menetap di sini mencuba nasib pada peringkat saringan yang berlangsung pada 26 November lalu. Mereka memilih lagu-lagu pop serta lagu yang mempunyai sentuhan tradisional.
Malah kedua-dua juara memilih lagu bersentuhan etnik. Juara lelaki memilih lagu Mimpi Laila nyanyian Yasin manakala lagu Dondang Dendang nyanyian Noraniza Idris membawa tuah kepada peserta Kemboja. Lebih manis bila mereka mengalahkan peserta dari Indonesia.
0 ulasan:
Catat Ulasan