Pelakon Anzalna Nasir berlakon dalam filem komedi berjudul Kahwin 5 terbitan Showbiz Productions yang bakal ditayangkan di sekitar 70 pawagam seluruh tanah air, mulai 27 Disember depan. Tertarik dengan skrip dan barisan pelakon yang terlibat, pelakon jelita, Anzalna Nasir tidak mengambil masa yang lama untuk menerima tawaran berlakon dalam filem Kahwin 5. Setelah kejayaan memegang watak penggoda dalam drama bersiri, Adam dan Hawa, Anzalna sekali lagi diberi kepercayaan memegang watak yang sama menerusi filem tersebut. Katanya, walaupun sudah agak jemu memegang watak seperti itu, namun setelah meneliti skrip dan jalan cerita, ia memiliki keistimewaan yang tersendiri. "Pada awal saya membaca skrip, saya akui ia adalah sebuah karya yang memiliki kelebihan dan kelainan tersendiri sehingga membuatkan saya tertarik untuk terlibat sama menjayakan filem ini. "Menerusi filem ini, saya memegang watak sebagai Farra, seorang gadis berasal dari keluarga yang susah dan memiliki muslihat tersendiri untuk memikat Dr K," katanya. Sementara itu, Anzalna akui sudah tiba masa untuk dirinya mempelbagaikan watak dalam lakonan kerana dia tidak mahu penonton bosan dengan penampilannya yang sering memegang watak penggoda.
"Saya rasa sudah tiba masanya untuk saya mencuba watak lain, selain menjadi seorang penggoda. Lagi pun penonton akan jemu sekiranya saya hanya melakonkan watak seperti itu. "Sebagai seorang pelakon, saya mahu mencuba pelbagai watak untuk menjadi lebih versatil," ujarnya. Anzalna juga memberitahu, kritikan yang diberi penonton terhadap lakonannya menerusi drama bersiri, Adam dan Hawa, diambilnya dari sudut positif. "Kritikan itu telah membuktikan peranan saya sebagai penggoda dalam drama itu menjadi dan ia sesuatu yang membanggakan. "Namun saya kecewa, ada di kalangan penonton berfikiran cetek yang menyamakan watak itu dengan karakter sebenar saya. Saya akui ia sedikit sebanyak beri kesan terhadap keyakinan saya untuk terus melakonkan watak seperti itu," jelasnya. Dalam perkembangan lain, Anzalna bakal memulakan penggambaran pada 7 Disember ini menerusi drama terbaru 13 episod berjudul, Maskara, bergandingan dengan barisan pelakon popular seperti Lisa Surihani dan Nasha Aziz.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top