Konsep Dunia Ilmu TV AlHijrah
TV AlHijrah semakin berani tampil memberikan konsep yang berlainan dan menarik dalam memenangi hati penonton setia yang semakin bertambah.
Konsep Dunia Ilmu yang ditampilkan TV AlHijrah berjaya mendapat tempat dalam kalangan penonton dengan program berunsur Islam yang lebih interaktif dan informatif dengan pendekatan mudah dan menarik sesuai untuk penonton masa kini.
Program 30 Minit Ustaz Don adalah rancangan utama berunsur Islam yang menjadi fenomena masyarakat Malaysia dan begitu sinonim dengan TV AlHijrah yang mana usia rancangan ini sudah mencecah setahun.
Berkonsepkan program tazkirah interaktif yang diminati segenap lapisan penonton tanpa mengira lapisan umur, pengisian rancangan 30 Minit Ustaz Don menekankan pembelajaran mengenai fardu ain dan masalah asas dalam mengenali hukum tajwid dalam bentuk yang mudah dan ceria.
Membawakan pendekatan yang lebih menarik dan mudah buat penonton, pembawaan rancangan 30 Minit Ustaz Don begitu berbeza dengan program lain kerana ia akan memberi peluang kepada penonton untuk melakukan amali dan praktikal ketika menonton siaran langsung.
Kini 30 Minit Ustaz Don sudah mencecah rating tertinggi di TV AlHijrah dan menjadi rancangan hiburan Islamiah seisi keluarga yang mampu ditonton kanak-kanak berusia tiga tahun ke atas. Rata-rata penonton yang ditemui memberi respon yang positif untuk siaran langsung 30 Minit Ustaz Don.
Mengikuti rentak isu semasa dalam dan luar Negara, TV AlHijrah juga menyediakan sebuah program berjudul Bicara bersama pengacara, Amin Idris yang membincangkan pelbagai isu ehwal semasa daripada perspektif Islam dengan perdebatan terbuka bersama barisan tokoh-tokoh ilmuwan yang hebat dalam bidang masing-masing.
Interaksi dengan tokoh ilmuwan
Dalam meneruskan wadah penyampaian ilmu Islam yang dipanggil Talaqqi seperti yang diamalkan dalam tradisi keilmuan Islam, TV AlHijrah memperkenalkan program baru berjudul Cinta Ilmu yang memfokuskan kepada bidang Tasawuf dan Fiqh Syariah.
Program ini akan menampilkan dua tokoh ilmuwan iaitu Ulama Nusantara yang tidak asing lagi, Syeikh Muhammad Nuruddin AlBanjari AlMakki dan Dr Zulkifli Mohamad AlBakri
Program ini memberi peluang kepada penonton berkomunikasi bersama dua tokoh ilmuwan ini secara langsung dan menjawab segala kemusykilan, selain menambahkan kefahaman berkaitan agama Islam.
Semoga program yang disiarkan TV AlHijrah ini dapat memartabatkan lagi usaha dakwah kese daran keilmuan yang tinggi serta membentuk masyarakat yang lebih cintakan Ilmu melalui dunia penyiaran yang semakin mencabar dan penuh dengan transformasi.
Kembara depan TV
Di manakah anda boleh mengembara mencari ilmu sambil melihat peninggalan dan mendengar pandangan pakar mengenai sejarah, peradaban dan budaya sebuah negara bangsa yang hebat?
Apatah lagi jika ia membabitkan tamadun Islam?
Jawapannya, sudah tentu di TV AlHijrah. Satusatunya televisyen berbentuk Islamik di negara ini yang mampu membawa penontonnya dalam sebuah kembara ilmu, merentas benua dan sempadan bangsa untuk satu persamaan yang jitu iaitu Islam.
Melangkah menuju tahun baru Hijrah 1434, ini adalah tahun kedua TV AlHijrah bersiaran dan terus mempromosi konsep kandungan kembara ilmu yang diterbitkan sendiri oleh pasukan penerbitan dalaman.
Antara program yang berpaksi kepada konsep kembara ilmu dan menjadi jenama kebanggaan TV AlHijrah adalah dokumentari kembara Ayat Riwayat.
Pada musim kedua lalu, Ayat Riwayat melakukan penggambaran dan penyelidikan jauh merentas bumi Mesir, Ethiopia, Sudan dan Uganda.
Nabi Musa, Nabi Harun, Nabi Yusuf dan Nabi Sulaiman menjadi fokus tahun ini. Uniknya, pengisahan kali ini bukan sekadar dalam konteks menghurai ayat berkaitan, namun Ayat Riwayat turut menjejak kembali lokasi kejadian.
Jenama Ilmiah program yang menjalani penggambaran hampir tiga bulan ini, tentunya untuk mengupas keterperincian lokasi, bukti forensik fizikal serta penyusunan kepelbagaian perbandingan fakta, sebelum dirumus dengan satu teori penghujahan yang mantap.
Kandungan ilmiah berdasarkan surah AlQuran ini, khusus untuk membolehkan penonton menjejaki kisah Nabi yang termaktub dalam kitab suci itu akan terus dipaparkan dalam musim akan datang.
Kongsi tip umrah, haji dengan Ustaz Don
TV AlHijrah turut menghasilkan Kembara Tabung Haji Travel Bersama Ustaz Don, sebuah program kembara rohani yang menampilkan Ustaz Don Daniyal Don Biyajid sebagai teraju utama.
Program 13 episod tajaan Tabung Haji Travel ini sudah bersiaran dan memfokus kepada perkongsian ilmu dan tip berguna kepada jemaah Malaysia yang ingin menunaikan umrah dan haji.
Melalui penyampaian yang bersahaja, Ustaz Don mengemudi program ini dengan menyampaikan informasi berguna kepada penonton dengan berpandu kepada silibus Buku Panduan Umrah dan Haji terbitan Lembaga Tabung Haji Malaysia.
Ustaz kesayangan ramai ini turut menekankan aspek penghayatan dan pengertian rohani dalam mengerjakan rukun umrah dan haji serta ketika melakukan ziarah ke tempat yang sering dikunjungi.
Malah, program ini turut menjemput penonton dan peminat setia Ustaz Don turut serta dalam kuiz soalan terkumpul yang menawarkan pakej Umrah bersama Ustaz Don kepada pemenangnya tajaan Tabung Haji Travel.
Majalah Islam selami nasib umat
Majalah Islam memantapkan lagi konsep kembara ilmu di TV AlHijrah dengan memaparkan kandungan multi segmen yang mampu memberi nilai baru kepada penontonnya.
Selepas lima musim, Majalah Islam semakin matang menggarap isu yang dipilih, malah turut prihatin dengan nasib saudara Islam serantau.
Melalui segmen Salam Benua, Majalah Islam mengupas nasib saudara Islam di Palestin, Syria, Mesir, Rohinghya dan terbaru di Morro untuk memberikan gambaran terbaik mengenai situasi terkini masyarakat Islam berdasarkan perspektif wartawan tempatan.
Selain itu, Majalah Islam turut membawa segmen Perspektif dan Sketsa Kehidupan yang memaparkan kandungan berkaitan nilai kehidupan masyarakat yang digarap melalui sudut pandang Islam.
Program ini hanyalah sebahagian daripada konsep kembara ilmu yang diterapkan di TV AlHijrah. Menjelang tahun hadapan, pelbagai dokumentari baru akan diperkenalkan di TV AlHijrah bagi memantapkan lagi jenama kembara ilmu di stesen ini.
Pastinya, TV AlHijrah akan terus menyajikan hanya yang terbaik buat penontonnya kerana `Segalanya bermula di sini!'.
TRIVIA TV ALHIJRAH
* 1 November 2010 - Melancarkan ujian siaran
* 7 Disember 2010 bersamaan 1 Muharram 1432H
- Majlis pelancaran rasmi
* 1 Jun 2011
- Mula bersiaran di Astro saluran 114
* 27 April 2011
- Mula bersiaran di Unifi / Hypp TV
* 9 Ogos 2012
- Meluaskan siaran ke Perak dan Kedah
* 7 November 2012
- Meluaskan siaran ke Kelantan.
0 ulasan:
Catat Ulasan