Anugerah Industri Muzik (AIM) 2012 kini berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam. Pada edisi ke-19 penganjurannya, sebanyak 16 kategori dipertandingkan. Acara gilang-gemilang ini akan dikendalikan dua personaliti terkenal, Aznil Nawawi dan Adibah Noor



Pastinya waktu ini, ramai yang ternanti-nanti, album manakah yang akan mendominasi beberapa anugerah penting, seterusnya dinobatkan sebagai Album Terbaik.

Meskipun iklim industri muzik ketika ini masih lagi melihat penguasaan genre rock dan karya daripada band bebas, usah ketepikan album pop yang tidak kurang hebat penangannya. Genre muzik tidak pernah kekal pada satu kedudukan, sebaliknya terus melalui proses evolusi.

Begitu juga dengan cita rasa pendengar. Sejarah pernah membuktikan jika satu masa dulu kumpulan muzik dari Indonesia pernah `menjajah' stesen radio kita, namun semua itu tidak kekal lama. Muzik rock tempatan yang dimainkan kumpulan pemuzik bebas kemudian mengambil alih kedudukan istimewa berkenaan.

Selepas beberapa tahun menambat hati pendengar, proses itu kini semakin menampakkan perubahan. Lagu pop berunsur ketuhanan semakin mendapat tempat. Mengambil kira perkara itu, tidak mustahil album Hikmah nyanyian Nora dan diterbitkan suaminya, Johan Nawawi, mungkin mengungguli kategori terbabit.

Malah album itu juga mendapat pencalonan dalam dua kategori lain yang tidak kurang hebatnya iaitu Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Wanita) dan Rakaman Album Terbaik. Siapa tahu AIM edisi ke-19 membawa tuah buat pasangan suami isteri ini?
<b>
Siti beri saingan</b>

Kategori lain yang turut menjadi perhatian ialah Persembahan Vokal Terbaik Lelaki dan Wanita. Bagi kategori Wanita, pastinya saingan sengit membabitkan pemegang rekod paling kerap memenangi kategori ini, Datuk Siti Nurhaliza dan penyanyi yang baru-baru ini berjaya mengharumkan nama negara apabila menjuarai pertandingan Asian Wave Shanghai 2012, Shila Amzah. Peluang dua penyanyi ini boleh dikatakan sama rata dan hanya rezeki yang akan membezakan mereka.

Bagi kategori lelaki, beberapa calon dilihat layak menggenggam anugerah berkenaan. Antara lima calon akhir iaitu Azlan &amp; The Typewriter, Faizal Tahir, Jamal Abdillah, Hazama dan Stephen Rahman-Hughes, mungkin kemenangan akan berpihak kepada Jamal yang diakui memiliki vokal sangat hebat. Pencabar terdekatnya sudah tentu Azlan yang memiliki suara nyaring yang sukar ditemui pada penyanyi lain.

Cabaran artis baru

Kategori Artis Baru Terbaik pula sering dianggap sebagai badi, berdasarkan apa yang berlaku sebelum ini. Puncanya, pemenang kategori ini akhirnya tenggelam dek kebanjiran ramai bakat baru lain. Dari sudut positif, kategori ini bagaikan motivasi buat bakat baru lebih berjaya dalam kerjaya seni mereka.

Melihat senarai lima calon teratas, rasanya kumpulan Salam Musik mempunyai peluang cerah berdasarkan keunikan konsep serta muzik yang mereka bawa. Namun, usah dipandang sebelah mata bakat Keroz Nazri kerana anak muda ini mampu memberi kejutan pada malam kemuncak nanti, berdasarkan pencapaiannya sebelum ini.

Apa pun keputusan yang diumumkan, diharapkan tiada kontroversi seperti insiden pada tahun lalu. Sudah cukup rasanya kritikan pedas yang diterima AIM selama ini. Semoga anugerah ini akan terus menuju kematangan sesuai dengan usianya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top