Perkahwinan penjaga gol skuad bola sepak kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat, 23, dan pasangannya, Nur Eilunie Natasha Nazri, 21, bakal berlangsung penuh gemilang dalam empat majlis dengan tema berbeza, bermula 28 Disember ini dan terakhir pada 13 Januari tahun depan.


Perkara itu diumumkan Khairul Fahmi atau lebih dikenali sebagai Apek pada sidang media di sini, semalam dan beliau turut memaklumkan, setakat ini pihaknya menerima tajaan bernilai lebih RM300,000 untuk majlis perkahwinan yang dirancang.

Apek berkata, majlis pertama ialah upacara akad nikah yang akan diadakan pada 28 Disember iaitu selepas berakhirnya Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki yang bermula Ahad ini.

Menurutnya, majlis akad nikah itu bakal berlangsung di rumah Nur Eilunie Natasha atau Leuniey di Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan sebelum disusuli majlis resepsi di pihak pengantin perempuan pada 30 Disember di Hotel Renaissance, Kota Bharu, bertemakan Melayu Kontemporari.

"Majlis resepsi sebelah lelaki pula akan diadakan pada 5 Januari di rumah saya di Kampung Cherang, Kota Bharu dengan tema Ala Kampung dan satu lagi majlis resepsi akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 13 Januari di Hotel The Royale Bintang, Damansara bertemakan Gaya Inggeris," kata Apek .

Menurutnya, lamaran untuk berkahwin dengan Leuniey dilakukan keluarganya dalam majlis makan malam bersama keluarga Leuniey, bulan lalu.

"Saya memilih Leuniey sebagai pasangan hidup kerana tertarik dengan kematangan dimilikinya serta sikapnya yang memahami kesibukan saya sebagai pemain bola sepak kebangsaan," katanya.

Apek berkata, segala persiapan perkahwinan diuruskan keluarganya serta Leuniey kerana dia kini sibuk menjalani latihan bersama skuad negara untuk menghadapi kejohanan Piala AFF Suzuki.

"Leuniey tidak pernah merungut kerana terpaksa menguruskan semuanya dan ini menyebabkan saya yakin dia pasangan yang amat memahami saya. Walaupun usianya muda namun dia lebih matang dalam kehidupan.

"Saya dan Leuniey masih belum merancang ke mana destinasi berbulan madu kerana sekarang ini fokus saya lebih kepada bola. Jika ada masa nanti, kami bercadang untuk berbulan madu di Switzerland atau Hong Kong," katanya.

Ditanya, mengapa Leuniey tidak hadir sama pada sidang media itu, Apek berkata ia disebabkan gadis pilihannya itu sedang mengikuti kursus perkahwinan.

Menurutnya, antara penaja bagi majlis perkahwinannya kelak ialah Air Wedding Couture (pelamin bagi majlis resepsi di Kuala Lumpur), Jakel Trading dan pakaian pengantin rekaan pereka fesyen, Ezuwan Ismail.

Katanya, butik pengantin milik Leuniey, N Touch Trade and Wedding Gallery pula menguruskan resepsi di Kelantan dan majlis pernikahan serta resepsi juga akan disiarkan secara eksklusif di Saluran Astro Ria.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top