Sinopsis pementasan teater Ahmad Albab

Pementasan teater Ahmad Albab mengisahkan kejadian yang terjadi di Negeri Terbelah Dua yang diperintah sultan yang sangat kedekut dan mementingkan kebendaan iaitu Sultan Mashod Al Buaya. Dek kerana sayangkan tiga puterinya, Puteri Mastura, Puteri Sapura dan Puteri Suhara, dia sanggup mencarikan jodoh mereka, namun Puteri Mastura tidak mahu terima pemuda pilihan ayahnya membuatkan Sultan Mashod Al Buaya marah dan mencabarnya lalu dikahwinkan dengan seorang pemuda miskin iaitu Syawal.

Pementasan teater Ahmad Albab

Sultan Mashod Al Buaya sangat menyenangi dua menantunya, Muharam dan Safar kerana selalu menghadiahkan barangan mahal walaupun hakikatnya mereka berdua sebenarnya adalah penyamun.

Sementara itu, Syawal dan Mastura hidup bahagia walaupun miskin. Suatu hari, Syawal kehilangan kambingnya lalu masuk mencari sehingga ke dalam gua. Di situ dia terjumpa Jin dan dari situ bermulalah kehidupan baru Syawal dan Mastura.

Apabila Mastura hamil, jin minta Syawal membawa bayi yang dinamakan Ahmad Albab itu berjumpanya setiap bulan dan sebagai balasan dia memberi hartanya kepada Syawal. Putera Muharam dan Safar mendapat tahu akan kekayaan Syawal lalu merancang melarikan Ahmad Albab untuk mereka dapatkan kekayaan daripada Jin, tetapi tidak berjaya.

Sultan Mashod Al Buaya akhirnya menyesal dengan apa yang dilakukannya terhadap Puteri Mastura selama ini dan berjanji akan berubah di mana dia menabalkan Syawal sebagai Sultan Negeri Terbelah Dua.

Pementasan teater Ahmad Albab

Pementasan teater Ahmad Albab mengisi program Pementasan Bangsawan Untuk Siri Semarak Bangsawan 2012.

Menyaksikan pementasan bangsawan Ahmad Albab, mengingatkan penonton semula kepada filem klasik Ahmad Albab yang diterbitkan pada 1968 lakonan Tan Sri P Ramlee sebagai Syawal, Puan Sri Saloma (Mastura), A R Tompel (Mashood), Mariani Ismail (Safura), Mimi Loma (Suhara), Karim Latiff (Safar) dan Tony Azman (Muharam).

Dalam pementasan terbaru ini, watak Shawal dibawakan Azmir Cuit dan watak Mastura dimainkan Jihan Raja Lawak. Azmir berjaya membawa wataknya dengan baik sekali, apatah lagi dia bertutur bahasa Melayu dalam gaya bahasa Arab.

Walaupun Azmir bukanlah daripada kalangan pelakon 'mainstream', dia masih berjaya menampilkan lakonan yang berkesan. Pun begitu Jihan masih agak kaku dan permainan jiwanya terasa kurang, barangkali kerana ini adalah pengalaman awalnya berlakon dalam pementasan bangsawan.

Watak lain seperti Ahmad Albab dewasa dibawakan Ezad Lazim, Sultan Mashod Al Buaya (Shazli Cuit), Puteri Suhara (Izatul Akmal), Puteri Safura (Rozita Rahim), Jin Akhlakeen (Khusiary Mahayuddin), Puteri Safar (Fairuz Selamat) dan Muharam (Mohd Khairy Rosli).

Bangsawan Ahmad Albab turut diwarnakan dengan kehadiran empat jin yang aksi mereka begitu mencuit hati.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top