Pelakon Fasha Sanda yang sedang meniti bahagia semakin cantik dan berseri sewaktu hamil. Seri wanita mengandung.
“Sebenarnya saya tidak ada amalkan apa-apa petua kecantikan secara spesifik sepanjang tempoh kehamilan ini. Namun, tidak dinafikan saya masih menjaga diet ketika hamil. Tetapi ini bukanlah bermakna saya mengikat perut. Sebaliknya, saya hanya makan nasi sekali sehari. Saya lebihkan makan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam diet harian. Makan memang kena makan. Sebab kalau terlampau diet nanti bimbang boleh menjejaskan kandungan. Setakat ini, doktor maklumkan saya dan bayi sihat. Tidak ada sebarang masalah,” ulas Fasha Sandha apabila ditanya tentang rahsia kecantikannya ketika sedang hamil.
Fasha percaya tahap emosinya sekarang ini turut mempengaruhi penampilannya ketika ini. Ini kerana ketika ini dia merasa cukup bahagia dengan kehidupannya sebagai seorang isteri dan bakal menjadi seorang ibu.
“Saya sekarang sedang menjalani kehidupan yang cukup menggembirakan. Mungkin kerana itu orang melihat saya tampil lebih cantik ketika ini. Saya percaya apabila kita bahagia, ianya akan terpancar di wajah kita. Terus-terang saya katakan, perasaan yang saya alami sekarang cukup membahagiakan. Sebelum berkahwin, saya tidak pernah merasakan perasaan seperti ini. Sekarang saya rasa cukup istimewa dan sangat dihargai. Menang indah perasaan bergelar seorang isteri dan kini saya sudah tidak sabar-sabar ingin menjadi seorang ibu,” ujar Fasha lagi.
Bercerita tentang kandungannya yang memasuki usia 18 minggu, Fasha memberitahu kini dia sudah dapat merasakan pergerakan bayi di dalam kandungan. Oleh itu, dia berasa bagaikan tidak sabar-sabar mahu melihat rupa paras bayinya itu.
“Apabila dapat merasakan pergerakan bayi, saya rasa cukup teruja. Maklumlah ini kehamilan pertama. Memang seronok apabila membayangkan saat-saat kelahiran itu. Tetapi dalam masa yang sama, saya juga berasa berdebar-debar menunggu tarikh kelahiran itu. Mudah-mudahan semuanya berjalan lancar dan ketika ini saya banyakkan berdoa kepada Allah, minta Dia permudahkan segalanya,” ujar Fasha.
0 ulasan:
Catat Ulasan