Faizal Tahir ada alasan tersendiri untuk melelong trofi dimenangi sepanjang enam tahun dalam arena seni seperti dikongsikan menerusi Twitter peribadinya, semalam.
Niat yang tersemat sebaik mengikuti berita kekejaman Israel terhadap penduduk Gaza di bumi Palestin sejak Maal Hijrah lalu mendorongnya berbuat sesuatu demi meringankan beban saudara seagama dan antara caranya adalah menerusi pengumpulan dana.
Baginya, trofi dimenangi menjadi koleksi sentimental yang tentu saja tidak boleh diukur dengan wang ringgit, namun andai ia mampu membantu insan lain, sekurang-kurangnya hasil penjualannya memberi nafas kepada mereka yang memerlukan.
"Berita rejim Zionis membedil Gaza dan membunuh insan tidak berdosa termasuk kanak-kanak sangat merobek hati. Sebagai Muslim, saya tidak boleh berpeluk tubuh. Bagaimanapun, saya bukan jutawan. Saya berharap orang ramai memahami tujuan lelongan ini. Saya yakin pembelinya nanti mempunyai niat sama, selain menjaganya sebaik mungkin.
"Memang ada yang melayangkan pandangan sinis dan mempertikaikan mengapa perlu melelong trofi? Mereka kata, doakan saja dari jauh. Ya, selain berdoa, kita perlu berbuat sesuatu. Saya percaya Tuhan memberikan saya rezeki (trofi) ini bersebab dan kini saya memanfaatkannya ke jalan yang baik, iaitu membantu saudara seagama.
"Tidak perlu mempertikaikan keputusan ini, saya berterima kasih kepada peminat dan penganjur anugerah yang menghadiahkan semua trofi. Saya amat menghargainya. Semoga niat baik tidak disalah erti serta dipermudahkan-Nya," kata nya.
Menerusi akaun Twitternya semalam, Faizal atau nama sebenar, Ahmad Faizal Mohammad Tahir, 34, meletakkan status: "Saya mahu menjual atau melelong semua trofi milik saya bagi mengumpul dana untuk GAZA. Semua trofi saya."
Niat disokong isteri, bapa
Mendapat sokongan isteri, Siti Raihanim Noran, Faizal berkata, bapanya, Dr Mohd Tahir, yang juga orang kuat badan bukan kerajaan (NGO) yang ada hubungan dengan pertubuhan di Palestin, Aqsa Syarif, turut terkejut sebaik mendengar niatnya ingin mengumpul dana menerusi lelongan trofi.
"Saya hanya menyatakan hasrat ini kepada isteri dan baru tadi menyampaikan hajat itu kepada ayah. Dia terkejut, tetapi pada masa sama, menyokong usaha ini. Saya buat semua ini bukan untuk nama, sebaliknya rasa kemanusiaan, selain beramal. Syukurlah kita hidup makmur.
"Bagi yang masih belum memahami mengapa saya berbuat demikian, cuba ikuti perkembangan Gaza yang setiap hari terus bermandi darah. Mendengar dan membaca berita kematian serta bom meledak di sanasini sudah membuatkan kita sedih, apatah lagi melihat visualnya.
"Inilah saja sumbangan mampu saya lakukan. Buat masa ini saya masih mendapatkan pandangan beberapa individu mengenai kaedah lelongan. Saya ingin merealisasikannya secepat mungkin. Apa pun, masih ramai memberi sokongan dan merestui nawaitu ini," katanya yang akan menyalurkan hasil jualan itu kepada Aqsa Syarif.
Antara trofi dimenangi Faizal
- Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-15, (Artis Baru Terbaik, Persembahan Vokal Lelaki Terbaik Di Dalam Album, Album Rock Terbaik, Album Terbaik).
- AIM17 (Album Rock Terbaik, Album Terbaik).
- Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-23 (Persembahan Terbaik, Vokal Terbaik).
- AJL25 (Persembahan Terbaik)
- AJL26 (Tempat Ketiga).
- Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010 (Penyanyi Lelaki Popular).
- Shout! Awards 2010 (Vokal Hebat).
0 ulasan:
Catat Ulasan